Wednesday, March 10, 2010

Masa untuk Berjihad!

Rabu, Mac 10, 2010.

Tik-tok.

Tik-tok.

Masa berlalu begitu pantas.

Sedar tak sedar aku sudah berada di penghujung semester. Betul cakap Mdm Rohani beberapa hari yang lalu, "Your seniors often say to me, "Mdm, betul ke saya dah 4th year ni? (Mdm, am I really in the 4th and final year?)" " Satu hari nanti aku juga akan menuturkan kata-kata yang sama seperti mereka. Sekarang pun tak sangka sudah hampir tamat pengajian tahun pertamaku di kuliyyah farmasi IIUM.

Dan apa yang menanti di penghujung setiap semester? (jeng3x) Dua perkataan. FINAL EXAM. (uggh..scary..)

Hai, kenapa tiba-tiba berpeluh pulak tapak tangan ni? (hoho) Normallah rasanya. Semua orang pun akan menggigil dan berpeluh bila terfikirkan si FE itu. Macam simptom-simptom orang demam pula ye. (tersenyum) Bukannya menggigil sebab demam, sebab takut. Berdebar-debar sebenarnya.

Tambah-tambah saya ni. Ini kali pertama saya ambil FE taraf universiti. (cewah, siap ada taraf-taraf lagi) Hmm, macam manalah agaknya perasaan nanti ye? Macam mana bentuk soalan yang akan keluar? Dan yang paling penting sekali, mampukah aku menghadapinya? Macam-macam persoalan yang 'terbang' dalam mindaku ini. Dan semuanya bermula dengan "macam". (hehe)

14 hari dari sekarang aku bakal melangkah ke medan perang bersama-sama 103 rakan-rakan seperjuanganku. Medan peperangan kami kecil sahaja, hanya di beberapa lokasi yang tertutup. (Cakap jelah exam hall..hai..) Teringat pula kepada Rasul Allah SAW dan semua arwah muslimin yang awwabin dahulu. Merekalah yang mula-mula beriman kepada risalah Nabi SAW. Mereka jugalah yang tegar bersama dengan baginda Nabi walaupun mereka kehilangan segala-galanya. Para muhajirin berhijrah meninggalkan kampung halaman mereka, meninggalkan keluarga dan harta mereka, rumah mereka, unta-unta mereka, kebun-kebun tamar mereka, tidak sempat menuai hasil daripadanya. Para ansar yang bermaksud "yang membantu", mereka membahagikan harta yang dimiliki untuk saudara muhajirin yang sehelai sepinggang itu. Pengorbanan. Pengorbanan yang cukup besar. Arwah-arwah ini..yang jasad mereka telah lama ditelan oleh perut bumi..merekalah mujahidin pertama di bumi ini. Merekalah yang tetap tapak kakinya..tetap merempuh musuh-musuh Allah dengan niat kerana-Nya..merekalah para syuhada yang gugur..demi kita. Demi saya dan anda. Kerana merekalah kita mengenal Ar-Rahman. Kerana merekalah kita mengenal Ar-Rahim. Kerana merekalah kita tahu apa maknanya,
"Ashhadu al la ilaha illallah, wa anna muhammadur rasulullah.."

Kerana mereka kita mengenal erti persaudaraan. Kerana muslimin yang awal sekali menghayun pedang mereka kerana Allah. Merekalah mujahidin fi sabilillah.

Perlulah kita mengingatkan diri masing-masing, bahawasanya peperangan ialah jalan terakhir..jalan terakhir untuk menyelesaikan apa jua persengketaan. Dan sebenarnya, umat Islam dahulu berperang kerana mempertahankan diri dan agama, bukannya kerana mahu mendominasi dunia, seperti yang didakwa orientalis barat.

Cukuplah dengan gambaran yang salah yang diberikan oleh sebahagian saudara kita..negara-negara yang berperang saudara..negara-negara Islam yang tidak mengenal keamanan sejak akhir-akhir ini. Saya tidak menyalahkan mereka. Kerana saya tidak merasakan apa yang mereka rasakan. Kerana saya tidak berada di tempat mereka. Saya tidak tahu apa yang telah mereka lalui selama ini. Jadi, saya sama sekali tidak layak untuk menghukum mereka..sedangkan kehidupan saya penuh dengan kesenangan..kemewahan..kemewahan harta dan masa.

Manusia, itulah saya. Apa lagi yang dapat saya lakukan. Saya hanya mampu berdoa pada Rabb,
semoga segala tindakan mereka kerana-Mu, dan biarlah Engkau sahaja yang mengadili kami di akhirat nanti. Hanya Engkaulah Yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana. Jika kami tersalah, maka ampunilah kami..siapa lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa ini selain dari Engkau ya Allah, Ya Rahman..ya Rahim..ya Ghafur..ampunilah kami. Amin.

Oleh sebab kecetekan ilmuku, jadi saya tidak berapa mengetahui persepsi sebenar masyarakat barat atau lebih spesifik lagi, kelompok bukan Islam terhadap istilah "jihad" di dalam Islam. Sama-samalah kita lebih peka terhadap perkara-perkara sebegini. Akan tetapi, apa yang dapat 'dikesan' daripada signal-signal halus yang diberikan oleh kelompok tersebut, saya dapat membuat kesimpulan kecil.

"Orang Islam akan membunuh semua orang kafir di bumi ini sehingga tiada seorang pun yang tinggal. Jaga-jagalah kepalamu, nanti akan dipenggal oleh kaum muslimin dengan pedang-pedang mereka!"

Pada pandangan saya, inilah persepsi mereka tentang jihad. Inilah maksud jihad dari kaca mata mereka.

Adakah anda berasa marah dengan persepsi mereka? Atau anda berasa sedih kerana disalah tafsirkan sedemikian rupa?

Adakah jari telunjuk anda mula menuding kepada saudara-saudara kita di Afghanistan? Di Iraq? Atau kepada taliban..Al-Qaeda dan pelbagai lagi kumpulan 'pengganas' yang selalu sahaja mengaku bertanggungjawab ke atas pengeboman di hotel itu, dan penculikan di pulau ini dan sebagainya?

Berhenti sebentar. Berhenti..dan perhatikan tangan yang menuding. Satu jari menuding kepada orang lain..selebihnya ke mana? Kepada diri sendiri.

Apa pula? Apa salah aku? Aku tak pernah mempamerkan keganasan. I'm a peace loving person man. Aku hidup di bumi Malaysia yang aman. Aku sukakan keamanan. Budak junior pun aku tak pernah buli. Kira baiklah aku ni kan.

Baik. Alhamdulillah, bagus. Tetapi bukan itu yang saya maksudkan.

Saudara-saudaraku..sedarkah kita apa sebenarnya yang sedang berlaku? Kenapakah Islam selalu disalah tafsirkan? Saya tahu, sebahagiannya berpunca daripada hati-hati manusia yang busuk..yang mahu menjatuhkan Islam. Mereka yang membuat bermacam-macam propaganda..anda ingat peristiwa September 11 bukan? Tak perlulah dijelaskan lagi. Tapi, selain daripada mereka, apa lagi punca-punca lain? Sehingga Islam yang diwahyukan 1400 tahun dahulu..kini hanya tinggal serpihan sahaja keasliannya. Kecantikannya. Kesuciannya. Kebenaran yang dibawanya.

Kita harus faham, bukan semua orang bukan Islam berniat jahat. Luaskan pandangan. Masih ada manusia-manusia di luar sana..ketika ini..yang mencari-cari kebenaran hidup. Tercari-cari tujuan kehidupan. Para saintis yang menyelidik misteri kewujudan hidupan..begitu terperinci sehingga ke molekul dan atom..sedikit sebanyak tertarik dengan Al-Quran. Mereka yang semakin menghampiri kebenaran, mereka yang inginkan kebenaran..tidakkah anda terasa mahu membantu? Tidakkah anda berasa mahu berkongsi hidayah Allah? Ya, benar, hidayah Allah ialah milik-Nya. Hanya Dia yang mampu menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya. Tapi, kita ialah manusia yang boleh berusaha. Siapa tahu, dengan usaha kita, Allah akan berkenan memberikan hidayah-Nya? Insya-Allah. Mudah-mudahan.

Kadang-kadang..kita terlalu mencari kesalahan orang, terlalu mencari jawapan di luar..sehingga kita terlupa melihat kepada diri sendiri. Sehingga tidak pernah terlintas di hati, bahawa diri ini juga menyumbang kepada imej Islam ketika ini.

Saya dan anda..benarkah kita ini muslim? Sepadankah peribadi kita, kelakuan kita, tutur kata kita, dengan pengakuan kita?

"Ana muslim."

"Ashhadu al la ilaha illallah, wa anna muhammadur rasulullah.."
Aku bersaksi bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah, dan Muhammad itu pesuruh Allah.."

Adakah pergerakan lisan seiring dengan niat di hati?

Adakah setiap derapan langkah kerana ilahi?

Kedatangan ke kuliah, adakah dengan Allah di hati?

Pergi ke tempat kerja, adakah dengan niat ikhlas kerana Allah?

Atau realitinya lidah hanya bermadah!

Melangkah kerana terpaksa!

Datang semata-mata menunjuk muka dan demi tidak dibarr daripada exam!

Kerja semata-mata untuk makan, minum dan belanja kain kafan!

Itukah realitinya? Itukah realiti saya dan anda?

Jadi..salah siapakah Islam disalah ertikan? Salah siapakah manusia fobia dengan Islam? Salah siapakah muslim dilihat sebagai pembunuh orang-orang bukan Islam dan pengganas?

Nak tuding ke mana lagi. Cukuplah. Cukuplah menuding. Tuding sana..tuding sini..siapa yang untung? Manusia berhati busuk yang saya katakan tadilah. Mereka yang untung..dan kita jelas-jelas telah rugi. Rugi dunia dan akhirat. Rugi di dunia..kerana Islam tercemar..dan rugi di akhirat..kerana mendapat laknat Allah SWT.

Sahabat-sahabat sekalian..walaupun kita tidak dapat berjihad di medan Uhud..di medan Mu'tah..tetapi kita diberi peluang yang lebih besar; berjihad di medan pelajaran. Sesungguhnya Rasul Allah, Muhammad SAW bersabda, mafhumnya,

"Dakwat orang-orang yang belajar akan ditimbang dengan darah para syuhada pada Hari Pembangkitan; dan kemudian, dakwat orang-orang yang belajar itu akan lebih disukai berbanding darah para syuhada."*

Berjihad ada pelbagai cara. Saya juga teringin berjihad di medan perang bersama-sama Rasul Allah dan para sahabatnya. Bukan sekali saya mengimpikannya. Saya pasti..anda juga bercita-cita seperti saya. Tapi..sekarang saya faham. Bahawa tugas saya bukan di medan medan Uhud. Bukan di medan Mu'tah. Bukan pada zaman Rasul Allah. Tugas saya di sini. Pada tahun 2010 dan seterusnya. Jihad saya dengan pena, bukan dengan pedang. Jihad saya lebih menggunakan akal, bukan dengan keberanian. Tapi, dalam banyak-banyak perbezaan, ada juga persamaannya. Iaitu jihad mereka kerana Allah..dan semoga jihad kita juga kerana Allah.

Marilah kita bersama-sama membetulkan tanggapan yang salah terhadap Islam. Bersihkan kembali, jernihkan kembali. Jangan biarkan kesucian Islam tenggelam dek tanggapan mereka tentang jihad. Biarlah 100 tahun akan datang, apabila manusia ditanya tentang jihad dalam Islam, maka jawab mereka;
"Sesungguhnya jihad itu ialah demi menegakkan kalimah Allah yang Haq. Demi menegakkan kebenaran yang sememangnya asas agama Islam, risalah terakhir kepada utusan Allah yang terakhir, Muhammad SAW."

Bertebarlah sahabat-sahabatku. Bertebarlah kita di bumi Allah. Sebarkanlah yang benar, dan cegahlah yang mungkar. Kerana-Nya.

*Dari buku study circle 1; guidebook, IIUM.

p/s: info tambahan: segala pujian bagi Allah Taala. Sesungguhnya tiada kebetulan dalam hidup ini. Segala perkara yang berlaku adalah dengan qada' dan qadar-Nya. Saya ingin berkongsi sesuatu. Saya menyiapkan post ini pada pukul 5 petang tadi, dan selepas itu, saya ke halaqah yang dikira sebagai subjek di IIUM. Semasa di halaqah, tahukah anda apa yang kami bincangkan? Ada dua tajuk yang dibincangkan; pertama, "The concept of fitnah" dan yang kedua ialah "Misconceptions in Islam". Dan antara isi tajuk kedua itu ialah tentang salah faham tentang jihad. Subhanallah. Jujur, saya tidak tahu tajuk apakah yang akan dibincangkan pada hari ini. Dan saya tidak merancang untuk menulis tentang jihad di blog ini hari ini. Subhanallah. Jadi saya mendapat sedikit info tambahan untuk perkongsian bersama.

Jihad berasal drpd perkataan arab "jahada" yang bermaksud strive or struggle (berusaha dengan bersungguh-sungguh). Jadi, jihad dalam Islam bermaksud berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menegakkan agama.