Tuesday, September 6, 2011

Muhasabah Ramadhan 1432H


بسم الله الرحمان الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum wbt.

*******

Mengimbau kenangan Ramadhan
Seminggu berlalu pergi
Entah ia akan kembali?

Ramadhan
Mengikut pusingan waktu
Pasti bertamu lagi
Asalkan takdir semesta belum tiba di penghujung
Cuma..adakah Tuhan mengizinkanku
Menjadi tetamunya sekali lagi?

Berfikir semula
Terasa seperti insan yang kerugian
"Wal `asri! Innal insana lafi khusr!"
Demi masa! Sesungguhnya manusia benar-benar kerugian!
"Illallazina aamanu wa `amilus solihat, wa tawa saubil haqqi watawa saubis sobr"
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh
Serta mereka yang saling menasihati dengan kebenaran dan kesabaran

Sungguh
Manusia hanya tahu menghargai
Apabila ia telah pergi

Apa gunanya penyesalan?
Bijaksanalah nenek moyang kita
Benar 
Sesal dahulu berpendapatan, sesal kemudian tidak berguna

Duhai diri
Andai Tuhan tidak melarangmu mencela diri sendiri
Sudah tentu hatimu sakit sendiri
Namun ingatlah akan hikmah
Yang telah Dia ajarkan kepadamu
Usah mencela kelemahan
Perbaikilah dalam perjalanan
Perjalanan yang bergelar kehidupan

Seputar kisah Ramadhan
Ia datang...
Penuh keberkatan
Dirasai bagi yang telah lama menanti
Dirindui bagi yang telah lama mencari
Dikecapi bagi yang membuka hati

Seputar kisah Ramadhan
Aku sangat gembira
Gembira menyambutnya tak terperi
Bagai tak ingin melepaskan tamu ini pergi
Bagai ingin menguncinya di dalam rumah kehidupanku ini

Sayang...
Apakah gembira hanya di hati?
Di manakah bukti wahai diri?
Di manakah amal soleh yang dikau janjikan
Di manakah istiqamah yang dikau nasihatkan
Di manakah semangat perlumbaan yang dikau uar-uarkan??

Inginku humban diri ke lubuk sepi
Tapi
Tuhan tidak menyukaiku begitu
Tuhan tidak mengizinkanku begitu
Tuhan tidak pernah mengajarku begitu...

Pandanganku terhijab
Andai kutoleh ke sisi
Kanan atau kiri
Tidakku kesan di radar pandangan
Raqib menulis
Atau `Atid mencatat

Aku malu
Bukan kepada kedua penjaga itu
Walhal aku yakin
Saban hari mereka mencatat amalanku

Maluku pada pencipta keduanya
Pencipta diri dan alam semesta

Aku malu!
Kerana aku bersikap tidak malu
Sewaktu Dia membuka luas pintu-pintu maghfirah-Nya
Sewaktu Dia menutup rapat pintu-pintu kemurkaan-Nya
Sewaktu Dia menawarkan lembayung rahmat-Nya
Kenapa...?
Kenapa aku tidak menyambutnya?

Duhai diri
Mengapa engkau berpaling daripada-Nya?
Ia mungkin sebulan terpenting dalam hidupmu
Mungkin tiada lagi tawaran seperti itu sesudah ini

Apakah engkau lupa Izrael mungkin muncul di hadapanmu?
Apakah engkau lupa bahawa ajal tidak mengenal usia?
Kudrat muda melalaikanmu tentang kematian
Walhal takdir hanya mengenal Tuhan
Bukan ciptaan sebagai penguasanya

Allahu Rabbi
Aku malu beralasan yang pelbagai kepada-Mu
Dan aku lebih malu
Jika maluku hilang ditiup bayu
Sebelum Ramadhan tiba semula
Bahkan tidak mustahil
Hatiku sepi tanpa malu
Pabilaku mengundur diri dari ruangan ini

Laporan?
Letih?
Lepas nilah?
Apa-apa sajalah alasan
Hakikatnya peluang terlepas, pahala tergadai

Ya Allah
Apa lagi yang mampu kukatakan?
Imanku lemah
Yang tersisa hanya penyesalan
Di sebalik permintaan
Panjangkan umurku 
Bukan setahun, dua atau tiga
Panjangkanlah umurku sesuai dengan kebijaksanaan-Mu

Berikanku masa yang cukup
Agar muhasabahku berhasil
Agar setiap Ramadhan yang datang
Mengecap hatiku supaya semakin malu
Semakin menghargai
Moga berhasillah hamba-Mu
Ke syurga yang tinggi

Amin ya Rabbal `Alamin.

*******

No comments: