Monday, June 13, 2011

Penganiayaan Terhadap Anak Yatim

بسم الله الرحمان الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Allah ar-Rahman. Allah ar-Rahim. Sungguh, memang Engkaulah yang layak ke atas nama-Mu itu. Sungguh, hanya Engkaulah tempat bergantung yang sebenarnya para anak yatim dan piatu di bumi ini. Sepertimana Engkau melindungi Nabi-Mu Muhammad saw yang yatim;

"Bukankah Dia (Allah) mendapatimu (Muhammad) sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungi(mu)" (Surah ad-Dhuha 93:6)

maka, seperti itu jugalah hamba-Mu meyakini perlindungan-Mu sentiasa bersama mereka yang telah kehilangan ibu bapa.

Wahai anak-anak muslim yang yatim,
maafkan aku.

Kekuatanku belum cukup untuk membantu golonganmu dengan usaha yang nyata. Kekuatan material, dan juga rohani, terutamanya rohani...amat memalukan untuk kuakui diri seagama denganmu. Masakan tidak...jika imanku seperti iman-imanmu, sudah pasti tangan kananku tidak tahu apa yang dihulurkan oleh tangan kiriku. Jika imanku menyamai tahap imanmu walau secebis, sudah pasti rezeki ibu bapaku mengalir di jalanmu, bukannya menghiasi tubuh dan perutku.

Setitis kekuatanku ketika ini ialah...menceritakan kisah anda yang sering dipandang sepi, dengan harapan masyarakat sedarkan diri.

3 Tahap Penganiayaan

Penganiayaan yang paling kejam tentulah kejahatan yang tidak berlapik. Misalnya pukulan fizikal dan penderaan mental. Anak-anak yang tiada ibu bapa sepertilah anak ayam yang kehilangan ibunya. Sama ada haiwan atau manusia, perasaan itu mutual (the feeling is mutual).

Kita lahir ke dunia ini, dengan penuh jagaan dan kasih sayang sepasang ibu dan ayah. Bahkan sehingga dewasa, ada juga ibu bapa yang terlalu menjaga anaknya, sehingga agak terbatas pergerakan mereka. Ia bukan salah sesiapa. Cuma naluri keibubapaan yang menjadi pendorong. Apatah lagi dunia sekarang penuh dengan haiwan bertopengkan manusia. Itulah naluri kasih sayang.

Mereka juga dilahirkan ke dunia. Namun Allah Taala maha mengetahui keimanan mereka yang kental. Maka Dia menguji mereka dengan diambilnya kasih sayang seorang, kadang-kala kedua-duanya serentak. 

Dengan ketiadaan penjaga dan kasih sayang itu, mereka terumbang-ambing. Tiada hala tuju. Tiada yang membimbing mereka.  Tiada yang melindungi mereka.

Di situlah manusia-manusia berhati binatang mengambil kesempatan. Harta anak-anak yatim dimakan semahunya, padahal daging-daging mereka itu bakal menjadi bahan bakar neraka. Dipukul, diejek rakan-rakan - itulah penganiayaan yang nyata.

Kedua, penganiayaan yang separa nyata. Bentuk penganiayaan ini...ialah yang paling kerap diamalkan oleh masyarakat muslim, termasuklah diriku.

Kerana, penganiayaan ini tidak nampak pada mata kasar. Namun bagi mereka yang memilih untuk membuka mata, melihat dengan kaca mata iman, mereka akan menyedari, bahawasanya mereka benar-benar telah menganiayai anak-anak yatim seagama dengan mereka...apabila enggan menghulurkan bantuan.

Ya, bagi diriku, aku selalu menganiaya anak yatim. 
.....
Aku malu. Aku malu untuk mengaku. Namun itulah hakikat. Itulah kebenaran.

Suatu hari aku berjalan-jalan. Dompetku kenyang, mengembung dengan rezeki Tuhan. Di hati, sudah terselit niat untuk berbelanja, untuk membeli baju yang cantik, tudung yang lawa..dan apa-apa lagi yang terasa berkenan. Ahh..indahnya kehidupan! 

Langkah kuatur kemas. Mata ligat berkeliaran. Sekejap ke kanan, kemudian ke kiri pula. Ahh banyak sungguh pilihan! Oh, terujanya!

Tiba-tiba terpandang sekilas. Terus kualih ke arah lain. Entah kenapa, langkah semakin pantas.  

Dalam sesaat Allah membuka ruang untukku melabur demi akhirat, namun sesaat itulah juga aku menyombongkan diri. Aku menolak tawaran Allah. Dengan angkuh, aku langsung tidak mempedulikan gadis itu. Aku berlalu...membawa dompetku yang sarat, dengan hati yang berat.

Terngiang-ngiang. Sesudah berada dalam keselesaan rumah, sehinggalah ke saat ini. 

Anda fikir saya mereka cerita?

Sahabatku, ini memang kisah benar. Bahkan, ia ialah kisah-kisah benar. Entah berapa kali ia berlaku. Entah berapa kali lagi ia harus berlaku.

Memburukkan diri sendiri? 

Sahabatku, biarlah aku membuka sedikit aib, semoga ia menjadi pengajaran buat sesiapa yang mahu mengambilnya.

Tapi sebentar. Aku tidak mahu 100% menyalahkan diri sendiri. Kerana pada pandanganku, kesalahanku ini berkait dengan sikap segelintir masyarakat kita yang mempraktis bentuk penganiayaan ketiga- penipuan atas nama ihsan anak yatim.

Inilah penganiayaan yang paling licik. Dari suatu segi, ianya mungkin lebih buruk daripada penderaan fizikal dan cercaan yang menyakitkan hati.

Senarionya mudah. Carilah kawasan tumpuan orang ramai dan anda akan dapat melihat sendiri realitinya. Contohnya kawasan membeli-belah dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

Anak-anak yatim ditugaskan menunggu di kawasan-kawasan tersebut untuk mengutip derma atau menjual barangan, juga dengan tujuan untuk mengumpul dana.

Baiklah. Tidak dinafikan, mungkin sesetengahnya memang ikhlas demi mencari wang untuk perbelanjaan rumah anak-anak yatim. Tetapi bagaimana pula bagi golongan yang menipu dan mengambil kesempatan?

Betulkanlah jika pandangan saya salah. Tetapi saya hairan, mengapa penjaga yang menguruskan rumah anak-anak yatim tidak meminta bantuan daripada saluran yang tersusun? Maksud saya, apakah tiada badan kerajaan atau bukan kerajaan yang khusus bagi menjaga kebajikan anak-anak yatim? Jika ada, bukankah lebih mudah meminta kepada pihak-pihak yang berkenaan, kerana bukan sahaja mereka akan mendapat perhatian yang sewajarnya, bantuan kewangan yang mencukupi, bahkan anak-anak yatim tidak perlulah menjadi penjaja bagi menampung kos pengurusan? 

Saya amat marah bagi golongan yang mengambil kesempatan terhadap anak-anak yatim. Pada waktu-waktu mereka sepatutnya berada di sekolah, menuntut ilmu seperti kanak-kanak lain, mereka terpaksa atau dipaksa menjual barang atau mengutip derma, atas nama ihsan anak-anak yatim. Golongan berhati busuk ini telah memfitnah anak-anak yatim yang status mereka sangat disayangi di sisi Allah Taala. Mereka telah mengelirukan manusia biasa seperti saya, walaupun pada dasarnya iman saya memang kecil. Berapa banyak hati-hati yang telah dikelirukan oleh penipuan mereka, walhal pertubuhan-pertubuhan yang benar-benar menjaga kebajikan anak yatim bertungkus-lumus mencari jalan untuk menampung kos hidup yang semakin meningkat.

Saya menyeru,

kepada para penjaga anak-anak yatim yang benar-benar ikhlas, hentikanlah modus operandi anda. Tidak perlulah menghantar anak-anak yatim untuk mencari dana, sama ada melalui jualan ataupun kutipan derma secara langsung. Bagi saya, itu ialah tugas penjaga dan masyarakat setempat, bukan beban mereka. Bukakanlah jalan menuntut ilmu bagi mereka, kerana mereka modal insan negara, dan itulah pelaburan yang lebih menguntungkan. Bayangkanlah, jika mereka dapat belajar walau hanya ke sekolah menengah, ilmu mereka akan menjadi penyambung hayat mereka, dengan cara mencari kerja yang halal, berbekalkan ilmu yang dimiliki. Sedangkan, jika mereka berterusan menjaja di jalanan, wang yang diperoleh hanya cukup untuk perbelanjaan bulan itu, atau tahun itu sahaja. Fikirkanlah, saya meyakini, kita semua tahu apa yang lebih baik untuk mereka.

Dan..pernahkah kita terfikir, bahawa segala ilmu yang anak-anak itu pelajari, jika mereka amalkan, bukankah orang yang membantu anak-anak itu mendapatkan ilmu itu, turut mendapat saham pahala? Dan, lebih beruntung lagi, jika anak-anak itu menjadi guru, dan mengajar manusia-manusia lain pula, lalu para manusia itu mengamalkannnya, lalu terhasillah segala kesan yang baik di dalam masyarakat, bukankah orang-orang yang membukakan jalan kepada ilmu itu dahulu, turut mendapat saham pahalanya? Subhanallah...wahai para sahabatku sekalian, adakah di antara kita merancang untuk memelihara anak yatim kelak? (tersenyum)
Fastabiqul khairat (maka berlumba-lumbalah ke arah kebaikan).

Kepada golongan yang telah mengambil kesempatan selama ini,
cukuplah. Cukuplah dengan kejahatan curi, rogol, bunuh dan lain-lain. Kenapa hendak ditambahkan lagi fitnah dunia? Janganlah menjadi agen fitnah, jadilah agen penyebar amanah. Berhentilah mengambil kesempatan menambah dosa, ambillah kesempatan menambah pahala. Berhentilah menggunakan anak-anak yatim ke arah kejahatan. 'Gunakanlah' mereka untuk beroleh bekalan akhirat. Peliharalah anak-anak yatim. Lindungilah mereka. Sayangilah mereka.

Bukankah Rasul saw yang kita cintai juga yatim piatu? Mudah-mudahan dengan mencintai anak yatim, akan mengenalkan kita kepada peribadi Nabi saw ketika zaman kana-kanaknya...mudah-mudahan dengan mencintai mereka, Allah dan Rasul-Nya akan turut mencintai kita...

Sungguh, aku yakin...mereka (anak yatim) ialah rantai cinta, penghubung kita dengan Allah Taala dan Rasul-Nya...


No comments: