بسم الله الرحمان الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Apakah bahagian sesuatu buku yang anda rasakan paling menarik? (which part of a book do you think is the most intriguing/ fascinating?)
(tersenyum) Pada 'si ibu kucing', ianya terletak pada pembukaan. Ya, pada pendahuluannya.
Fiqh Sirah
Itulah judul buku yang menjadi pembacaanku sekarang, sempena musim cuti ini. "Fiqh Sirah" oleh Sheikh Muhammad al-Ghazali terjemahan Pustaka Salam Januari 2010.
Saya membelinya pada tahun lepas, semasa Book Fair/Pesta Buku yang merupakan acara tahunan di PWTC. Haa..mengenangkan semula, rasanya terlalu boros ketika itu. Fuuhh..(tersenyum sambil terkenang) macam memori indah pula ya? Padahal hanyalah bersama buku-buku haha.. Kalau ada suatu benda material yang menjadi kesukaanku sehingga tidak dipandang berapa jumlah yang harus ditukarkan dengan wang, ya, it would be books.
Tak berkesempatan untuk membeleknya, iyalah, tadikan dah cakap terlalu boros, jadi terlalu banyak buku sehingga tak terbaca. Harap-haraplah di sebalik sifat yang tidak berapa baik ini terdapat tunas hikmah pada setiap lembaran investment/pelaburan itu.
Namun subhanallah! Sungguh, Allah Taala memang inginkan kebaikan untuk setiap hamba-Nya. Walaupun hamba itu masih jauh daripada-Nya. Masih bertatih untuk mendapatkan-Nya.
Buku ini sememangnya hebat! Ya...bagaimana ia tidak hebat? Sedangkan ia menceritakan perihal seorang insan hebat, insan pilihan Tuhan sekalian alam. Anda tahukan Rasulullah Muhammad saw lebih hebat daripada semua makhluk, bukan hanya paling hebat di antara manusia? Ya, begitulah status baginda di sisi Allah.
Perihal Penulis: Sheikh Muhammad al-Ghazali
Para pembaca yang dikasihi Allah,
Jika anda ingin memulakan pembacaan suatu buku, maka nasihat saya, mulakan dengan bahagian yang paling awal. Mulakan dengan bahagian pendahuluan. Ini nasihat saya, si ulat buku. (tersenyum).
Anda ingin tahu kenapa?
Kerana di situlah kita dapat mengenali sifat peribadi penulis. Ya, jika kita meneliti setiap bait perkataan, hati kita akan terpalit suatu perasaan...perasaan aneh, seolah-olah kita mengenali penulis.
Niatnya, objektif penulisannya, apa yang diharapkan pembaca dapat dari penulisannya, cara penyampaiannya, semuanya terkandung di dalam slot mukadimah penulis. "Sekapur sirih" di dalam bahasa ibunda kita.
Sheikh Muhammad al-Ghazali, anda kenal siapa dia?
Beliau, ialah guru Sheikh Yusuf al-Qaradhawi, seorang ulama tersohor pada zaman ini. Begitulah kata seorang ahli Pustaka Salam sewaktu di PWTC.
Hmm, saya sangat mengenali nama anak muridnya, namun itulah pertama kali saya mendengar nama guru itu. Pada mulanya saya tidak mengambil kisah sangat, mungkin kerana nama itu asing bagiku. Namun, saya telah salah jika saya menyangka Sheikh Muhammad al-Ghazali kurang hebat berbanding anak muridnya yang berjasa itu. Allah Taala sendiri akan menunjukkan betapa tersasarnya sangkaan yang tidak berasas itu, hanya kerana beliau tidak terkenal sepertimana pelajarnya.
Harapan Sheikh Kepada Pembaca
Awal-awal lagi saya mendapati Sheikh Muhammad al-Ghazali seorang yang berwawasan. Bagi manusia biasa seperti saya, saya sepatutnya menulis begini "Awal-awal lagi saya mendapati Sheikh Muhammad al-Ghazali seorang yang mempunyai objektif." Tapi saya tidak menulis sebegitu. Tidak layak bagiku untuk meletakkan frasa "objektif" dan "berwawasan" setaraf. Kerana kita, tidak setaraf dengan Sheikh.
Mari kita dengar sebahagian pendahuluan pengarang "Fiqh Sirah (Nabi Muhammad saw)":
"Di sana terdapat ramai tokoh agung, yang kisah hidup mereka sentiasa dibaca oleh orang ramai, untuk menikmati unsur-unsur kehebatan yang ada pada tokoh-tokoh itu, di samping untuk mengikuti, dengan rasa kagum, liku-liku hidup dan pendirian mereka berhubung masalah dan cabaran yang mereka hadapi.
Pembacaan tulus ini merupakan ikatan unggul di antara tokoh-tokoh ulung itu dengan orang yang ingin mengenali mereka. Adakalanya pembacaan ini berkembang menjadi suatu kajian yang mendalam atau hubungan kemanusiaan yang kukuh.
Dengan segera, saya katakan di sini bahawa saya tidaklah menulis tentang pemilik risalah terulung, Nabi Muhammad bin `Abdillah saw., dengan tujuan yang terbatas ini. Ini kerana saya seorang individu muslim yang berasaskan ilmu. Saya tahu kenapa saya beriman dengan Allah Tuhan seluruh alam, kenapa saya mempercayai kenabian Muhammad saw., kenapa saya mengikut Kitab yang baginda bawakan, dan kenapa saya menyeru orang lain supaya beriman dengan semua yang saya percayai dengan penuh rasa tenang ini."
Saya...terpana...dengan tiga perenggan awal kata-kata Sheikh. Mukadimah yang menusuk kalbuku, mukadimah yang menyentuh dasar hatiku yang paling dalam, yang jarang siapapun dapat sampai kepadanya, melainkan kalam Allah Taala.
Sheikh Muhammad memulakan mukadimahnya dengan membina suatu jambatan. Antara realiti yang hidup (kita) dengan bait-bait dakwat yang tidak bernyawa. Antara pembaca dengan manusia yang ingin dikenalinya. Sungguh, itulah tujuan mengapa pembaca membaca autobiografi seseorang. Kadang-kadang kita tidak sedar, bahawa kita membuka sesuatu lembaran, bukan hanya ingin melatih otak atau menambah kosa-kata, tetapi untuk mengenali insan yang menjadi tajuk di dalam kisah itu. Wahai Sheikh Muhammad, terima kasih kerana memberikan 'roh' kepada permulaan perjalanan yang panjang ini.
Sheikh juga menyingkap sikap ilmuan Islam yang wajar dicontohi, iaitu tawaduk/merendah diri. Beliau mengatakan beliau bukanlah menulis tentang Nabi Muhammad saw, tetapi itulah yang telah beliau lakukan. Ianya suatu indikasi bahawa beliau tidak mahu manusia memujinya atau berterima kasih dengannya (mungkin) dengan sebab usahanya yang 'kecil' ini. Sedangkan Sheikh Muhammad yang berketurunan Arab, beliaulah yang lebih dekat dengan sumber-sumber asli tentang sirah Nabi Muhammad saw., berbanding kita.
"Saya memberi tumpuan kepada penghasilan buku ini, kerana di hadapan saya ada satu tujuan khusus yang saya harap akan tercapai.
Tahap pengetahuan sirah umat Islam
Sesungguhnya berkaitan sirah Nabi saw., umat Islam sekarang hanya mengetahui maklumat-maklumat 'kulit' yang ringan, yang tidak mampu menggerakkan hati dan membangkitkan keazaman. Mereka memuliakan Nabi saw. dan para sahabat r.`anhum secara taklid yang diwarisi dan dengan pengetahuan yang sedikit sahaja. Dalam pemuliaan ini, mereka berpada dengan penghormatan lisan dan dengan amalan yang kurang bebannya.
Pengetahuan sirah dalam bentuk yang selekeh begini menyamai kejahilan tentang sirah. Penukaran sirah kepada bentuk cerita dongeng yang ganjil adalah satu tindakan zalim kepada hakikat sebenar yang agung. Begitu juga, antara bentuk kezaliman kepada suatu tempoh yang berdenyut dengan kehidupan dan kekuatan adalah pembentangan tempoh itu dalam kafan orang mati.
Sebenarnya bagi seseorang muslim, kehidupan Nabi Muhammad saw. bukanlah suatu hiburan untuk orang yang berkelapangan, atau suatu kajian yang dilakukan oleh seorang pengkritik yang berat sebelah. Tidak,... sama sekali tidak. Sebenarnya, kehidupan baginda saw. merupakan sumber teladan terbaik yang perlu diteladani oleh setiap muslim. Ia juga merupakan sumber syariat agung yang wajib dianutinya."
Ya, inilah tujuan utama Sheikh Muhammad. Pada zaman beliau lagi (1917-1996) tahap pengetahuan sirah umat Islam telah mundur. Apatah lagi pada tahun 2012 ini.
Tidak tergerakkah hati kita daripada tempatnya, apabila membaca kata-kata beliau?
"umat Islam sekarang hanya mengetahui maklumat-maklumat 'kulit' yang ringan, yang tidak mampu menggerakkan hati dan membangkitkan keazaman.....Dalam pemuliaan ini, mereka berpada dengan penghormatan lisan dan dengan amalan yang kurang bebannya."
Sekadar tarikh lahir, nama ibu dan ayah Rasulullah, serta selawat yang dibaca ketika maulid baginda...itukah ingatan kita kepadanya? Bukankah betul kata sheikh, "mereka berpada dengan penghormatan lisan dan dengan amalan yang kurang bebannya."
Teguran
".............Seterusnya, saya menulis dalam keadaan terpampang di depan mata saya banyak situasi kemunduran perasaan dan pemikiran umat Islam. Jadi, tidak pelik jika saya menceritakan peristiwa-peristiwa sirah dengan gaya persembahan yang memberi isyarat langsung atau tidak langsung, kepada keadaan semasa kita yang sangat mendukacitakan. Setiap kali saya membawakan suatu kisah, saya isikannya dengan kejujuran perasaan, kesejahteraan pemikiran dan kehebatan amal..............
..................Sesungguhnya beban yang memerlukan keazaman yang tinggi ialah berpegang teguh kepada ajaran sebenar yang telah ditinggalkan, dan kembali semula kepada hakikat dan isi agama itu sendiri. Sebagai ganti kepada mendengar kisah maulid yang dibaca dengan suara yang merdu, seseorang muslim perlu bangkit menilai diri sendiri, meluruskannya, dan membaiki keadaan dirinya. Sehingga menjadi hampir kepada sunnah-sunnah Nabi saw. berhubung kehidupan dunia, kehidupan akhirat, peperangan, perdamaian, ilmu, amal, adat dan ibadatnya.
Sesungguhnya, menggerakkan lidah dengan seribu solawat sehari semalam, tidaklah berguna kepada mana-mana muslim yang Rasulullah saw. tidak hidup di dalam hatinya, dan dia tidak mengikut petunjuk baginda saw. dalam amalan dan pemikirannya..............
...............Saya masih ingat bahwa beberapa orang lelaki Maghribi (Maghribi yang lama ialah Libya, Tunisia, Aljeria dan Morocco. Maghribi kini ialah Morocco.) menemui saya. Mereka mendakwa datang ke Madinah untuk menyelamatkan agama mereka daripada kekacauan di negara mereka (penjajahan Perancis). Lalu saya memahamkan mereka bahawa mereka sebenarnya melarikan diri dari medan perang, kerana saudara-saudara mereka sedang berperang dengan tentera Perancis. Oleh itu, mereka berdosa kerana membiarkan para mujahidin menanggung sendirian beban perjuangan tersebut.
Sesungguhnya kecintaan kepada Rasulullah saw. ini tidak difahami dengan betul. Hijrah sebegini ke Madinah tidak akan diterima. Hubungan Nabi saw. dengan para hamba Allah swt. lebih kukuh dan mantap, sehingga tidak perlu dilalui jalan yang pelik dan bengkang-bengkok sebegini."
Pendahuluan beliau juga terkandung unsur teguran yang masih relevan pada zaman ini. Memang betul, cara umat Islam menzahirkan rasa cinta dan rindu kepada Rasul junjungan saw hanyalah melalui syair, puisi serta solawat. Benar, Allah dan para malaikat juga turut berselawat ke atas baginda (Surah al-Ahzab 33: 56), maka apatah lagi umat Islam, sudah tentu kita lebih patut berselawat ke atas baginda!
Namun bukankah risalah yang dipikul baginda juga lebih patut untuk kita, umat manusia? Bukankah risalah al-Quran diturunkan semata-mata sebagai panduan untuk kita, umat manusia? Maka bagaimanakah kita hendak memahami risalah itu, jika kita tidak memahami kehidupan manusia pembawa risalah itu?
"Oleh itu, umat Islam hendaklah faham dengan mendalam tentang sirah Rasul mereka saw. Ini tidak mungkin akan terlaksana melainkan dengan memahami risalah itu sendiri, mengetahui dengan betul kehidupan penyampainya saw., dan berpegang dengan teliti kepada ajaran yang dibawa baginda saw.
Ingatlah, alangkah murahnya kasih-sayang jika ia hanya sekadar kata-kata! Alangkah mahalnya kasih-sayang itu jika ia berbentuk ikutan, kepatuhan dan janji setia."
Tuntasnya
Tatkala membaca sesuatu, saya sangat suka jika saya seolah-olah dapat berbicara terus dengan penulis. Ya, saya suka jika penulis seolah-olah sedang bercerita kepada saya, instead of the dead words I was reading.
Sheikh Muhammad did just that. Beliau telah memberikan roh sebelum permulaan perjalanan menelusuri kehidupan Rasulullah saw. Bahkan, he did more than that. Beliau sangat memahami ikatan antara pembaca dan orang yang akan dibaca kisahnya itu. Ketajaman dan kehalusan pemikirannya membuatkanku semakin tertarik untuk mengetahui kisah Nabi Muhammad saw pada pandangan ulama itu. Barangkali..dan kebarangkalian itu sangat tinggi, beliau mampu menyingkap sirah Nabiku saw. dari sudut yang tidak pernah kujangka sebelum ini. Wah...penantian ini cukup bermakna! Oleh sebab itulah, dan juga disebabkan niat murni Sheikh untuk memahamkan umat Islam tentang betapa pentingnya sirah Nabi mereka saw., betapa pentingnya menjalin ikatan yang bersifat real, bersifat hakiki dengan baginda...because of these reasons, saya akan membaca karangan Sheikh dengan penuh kesabaran dan dengan penuh teliti.
Wahai Sheikh Muhammad al-Ghazali, inilah yang saya dapat setelah membaca mukadimah Sheikh. Jadi, saya amat menantikan, kupasan Sheikh tentang nabi yang sheikh cintai, juga nabi yang kami cintai.
Tidak lupa, terima kasih kepada penterjemah, Ust Hazizi b Abdul Rahman & Ust Wan Mohd Nasir b Wan Abd Wahab dan penerbitan Pustaka Salam.
Muslimah/muslimin muda seperti saya menantikan kerja-kerja pentejermahan yang baik seperti ini daripada karyawan timur tengah. Hmm..alangkah baik jika kerja-kerja mulia sebegini digiatkan. Pilihan saya akan menjadi lebih banyak dan akan lebih dekat di hati (lidah Malaysia lebih dekat di hati berbanding melayu Indonesia). No offense, i really meant no offense. Masyarakat ilmuan Islam Indonesia banyak berjasa mendekatkan diriku kepada Allah melalui kerja-kerja sebegini.
Tuntasnya, wahai sahabat-sahabat dan pembaca,
Buku Fiqh Sirah ini amat bagus sebagai wadah untuk mengenali Nabi saw as a person, human and messenger. Namun saya mengingatkan, ia agak berat bagi mereka yang baru berjinak dengan dunia sirah Nabawiyah. Saya mencadangkan buku-buku berjudul "Sirah Nabi" sahaja tanpa aspek "Fiqh"nya. kerana "Fiqh" bermaksud kefahaman, di mana buku-buku seperti yang saya kupaskan ini menyentuh tentang hikmah atau pengajaran yang dapat diambil daripada peristiwa-peristiwa di dalam kisah hidup Nabi. In particular, buku karangan Sheikh Muhammad al-Ghazali ini, ianya memerlukan sifat keterbukaan untuk menerima sesetengah pendapat beliau dalam ulasannya.
Seperkara lagi, saya menasihatkan agar anda mencari terjemahan yang baik agar mesej pengarang dapat disampaikan dengan baik. Saya mencadangkan buku-buku keluaran Pustaka Salam. By now, anda pasti arif bahawa saya amat menyukai terjemahan penerbitan ini. (tersenyum). Berhati-hati terhadap unsur Israiliyat di dalam kisah-kisah Sirah Nabi Muhammad saw serta sirah Para Nabi yang lain. Bertanyalah kepada ustaz yang dipercayai arif dalam bidang sirah, serta banyakkan cross-reference, iaitu membaca lebih daripada satu buku sirah untuk meneliti kesahihan fakta.
Setakat ini dulu. Semoga post kali ini bermanfaat. Alhamdulillahi Rabbil `Alamin.
No comments:
Post a Comment