بسم الله الرحمان الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Wahai manusia,
Takutlah anda apabila hatimu tidak lagi takut kepada Allah.
Itu tandanya hatimu hampir mati.
Tahukah anda?
Bahawa manusia mampu mati dan hidup kembali berkali-kali.
Apabila dia bertuhankan dunia, hatinya mati.
Beberapa ketika, dengan rahmat Tuhannya, dia kembali sedar, dan hatinya hidup kembali.
Selang beberapa waktu, dia tersungkur kali kedua, tergoda dengan kesenangan dunia.
Lalu iman di hatinya malap..berkelip-kelip dahagakan sinaran hidayah Allah..
Namun Allah...
Ar-Rahim..Yang Maha Pengasih,
mengasihi hamba-Nya yang kasihan ini.
Lalu Dia menghulurkan kembali hidayah-Nya,
Dan pohon iman yang tadinya melayu, segar semula.
Begitulah kitaran iman seorang hamba Allah yang lemah.
Dan seperti itulah aku.
Seperti itulah kebanyakan dari umatku.
Ya Allah, kupohon umat ini menjadi kuat seperti As-saabiqun al-awwaluun..golongan yang pertama memeluk Islam.
Wahai saudaraku,
khuatirlah!
Takutlah!
Bimbanglah!
Andainya hatimu tidak takut kepada maksiat.
Andainya kamu SUKA melakukan maksiat.
Andainya ENGKAU SUDAH TIDAK MALU melakukan MAKSIAT.
Wahai saudaraku yang remaja belia,
Mengapa kamu terjun ke dalam gaung yang membakar?
Tahukah kamu apabila kamu berdua-duaan dengan berlainan jantina, yang bukan mahrammu, kamu bukan berdua..malah ada orang tengah berkepit di celah-celahmu.
Orang tengah yang telah bersumpah di hadapan Allah untuk menghancurkanmu!
"Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku sehingga hari mereka dibangkitkan."(Maksud Surah al-`Araaf: 14)
"Allah berfirman: Sesungguhnya engkau termasuk dalam golongan yang diberi tempoh."(Maksud Surah al-`Araaf: 15)
"Iblis menjawab, "Kerana Engkau (Allah) telah menyesatkan aku, pasti aku akan selalu menghalangi mereka dari jalan-Mu yang lurus. Kemudian pasti aku akan mendatangi mereka dari depan, dari belakang, dari kanan dan dari kiri mereka.Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur." (Maksud Surah al-`Araaf: 16-17)
Inilah sumpah Iblis sejak penciptaan Nabi Adam as. sehingga sekarang. Barangsiapa yang mengikuti bisikan Iblis dan syaitan ini...
"Allah berfirman: "Keluarlah engkau (iblis) dari syurga sebagai makhluk yang terhina lagi terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang menurutmu, tetaplah aku akan memenuhi neraka jahannam dengan golongan kamu yang derhaka semuanya."(Maksud Surah al-`Araaf: 18)
Iblis mengajak kita ke neraka...lalu mengapa kita bersikap "you jump, I jump"?
Sedangkan Allah mengajak kita ke Darus-Salaam, syurga-Nya yang seluas langit dan bumi..
"Dan Allah menyeru manusia ke Dar as-Salaam (syurga), dan Dia memberikan petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus." (Maksud surah Yunus: 25)
Wahai saudaraku,
Teringatku kepada sebahagian dari kata-kata Rasulullah saw yang bermaksud:
Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla, jika Dia berkehendak untuk membinasakan (menghancurkan) seorang hamba, maka Dia akan mencabut rasa malu dari hamba tersebut. Jika rasa malu telah tercabut darinya, maka Allah tidak akan mendapati hamba tersebut kecuali sebagai orang yang dimurkai dan dibenci-Nya... (HR. Ibnu Majah).
Tidakkah jiwamu menggigil tatkala mengetahui sabda Nabi ini?
Bila Allah hendak membinasakan seseorang, perkara pertama yang akan hilang dari dirinya ialah sifat malu!
Jadi takutlah bila kita sudah tidak malu melakukan apa yang Allah tak suka.
Wahai saudaraku yang beriman,
Bukanlah Allah tidak sayang kepadamu.
Jika Allah tidak sayang kepadamu, tidaklah Dia berkehendak menciptakan kamu pertama kali dulu.
Jika benar Allah tidak cinta kepadamu, tidaklah Dia mentakdirkan kamu seorang muslim sejak tangisan pertama!
Jika benar Allah tidak cinta kepadamu, tidaklah ritma hatimu tak keruan saat ini.
Ketahuilah,
bukan Allah saja-saja hendak membinasakan hamba-Nya.
Melainkan hamba-Nya yang terlebih dulu berpaling dari-Nya.
Melainkan hamba-Nya yang terlebih dulu zalim terhadap dirinya sendiri.
Kenang kembali,
Waktu pertama kali keluar dating dulu, hatimu rasa tak tenang bukan?
Namun setelah banyak kali melakukannya, anda telah lali, seperti kena bius.
Saudaraku, dengarkanlah nasihatku,
Rasa gelisah itulah panggilan Allah.
Allah memanggil kamu pulang, tidakkah kamu mendengar?
Jangan tertipu dengan nikmat cinta sementara...
Itu bisikan syaitan yang engkau tidak mampu melihatnya.
Aku tahu engkau perasan,
hatimu semakin tak tenang dari hari ke hari.
Waktu berdua dengan si dia, engkau bahagia.
Namun apabila orang memperkatakan tentang date kamu itu, mengapa kamu berang?
Aneh, bagaimana satu peristiwa, anda mempunyai dua perasaan yang berbeza tentangnya?
Dari Nawas bin Sam`an ra., Nabi saw bersabda, "Kebajikan itu ialah budi pekerti yang baik, dan dosa itu ialah segala sesuatu yang menggelisahkan perasaanmu, dan engkau tidak suka orang lain melihatnya." (HR Muslim)
Sedarlah wahai saudaraku,
Allah lebih menyayangimu daripada mana-mana lelaki atau wanita.
Didatangkannya kegelisahan dalam hatimu supaya kamu beringat, perbuatan itu salah di sisi Allah.
Allah penciptamu,
Allah Rabbmu.
Allah yang milik-Nya segala yang engkau lihat terbentang di langit dan bumi.
Yang Kepada-Nya engkau akan dikembalikan. Yang kepada-Nya engkau akan ditanya tentang apa yang telah engkau kerjakan.
Suatu perkara yang perlu kita ingat.
Bersyukurlah bila hatimu gelisah (bila melakukan dosa).
Dan menangislah bila hatimu kaku membatu (bila melakukan dosa).
Takutlah bila engkau tidak lagi takut kepada Allah.
Dan takutlah bila engkau tidak lagi malu kepada-Nya.
Wahai saudaraku,
Aku juga sepertimu,
beraneka maksiat dalam catatan `Atid, yang tidak kubanggakan.
Namun disebabkan Allah, disebabkan aku akhirnya mampu menangis apabila teringatkan dosaku, setelah berbulan-bulan doaku kosong tanpa makna.
Aku takut jika engkau, saudaraku tercinta, juga mengalami sakit yang sama.
Maka aku sampaikan perkara yang aku takuti untuk diriku sendiri.
Dan aku berdoa, semoga Allah memeliharamu daripada ketakutanku itu.
Ingat,
aku tidak akan menasihati,
melainkan kerana aku cinta kepadamu,
saudaraku.
Rujukan:
Al-Quran al-karim
Hadis 27
No comments:
Post a Comment