Friday, December 2, 2011

قل هاتو برهانكم إن كنتم صادقين


بسم الله الرحمان الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

" قل هاتو برهانكم إن كنتم صادقين"

"Katakanlah (wahai Muhammad), datangkanlah bukti-bukti kamu, jika kamu org yg benar!"

Bro Lim Juui Soon

Pertemuan dengan Bro Lim telah meninggalkan kesan yang berbekas dalam hatiku.

Beliau telahpun menganut tiga agama sepanjang hidupnya. Lahir di dalam keluarga yang mengamalkan BTC (Buddhisme, Taoisme dan Confuciounisme), membesar sehinggalah berumur 14 tahun apabila beliau menerima agama Kristian Protestan. Apabila usianya menginjak 27 tahun, alhamdulillah, hatinya terbuka untuk memeluk sekaligus menerima agama Islam di dalam hidupnya.

Sudah 16 tahun beliau hidup begitu. Begitu gembira daripada riak wajahnya. Begitu...menghargai daripada tutur katanya.

Subhanallah...itulah pengalaman pertamaku bersama seorang pemeluk Islam, suatu pengalaman yang berbeza berbanding para "pewaris Islam".

Sepanjang dua hari berturut-turut bersama Bro Lim, Bro Amin, Ust Razali/Ghazali dan Dr Zainal daripada PERKIM, sungguh banyak butiran mutiara ilmu yang jatuh ke riba. Diharapkan, dan didoakan agar ianya meresap ke dalam akal dan nurani.

Pengajaran Terulung: "قل هاتو برهانكم"

Para sahabatku yang dikasihi Allah,
apabila dihadapkan dengan selautan mutiara, hampir tidak dapat hendak mengasingkan atau memilih. Kerana semuanya bersinar seperti kilauan bintang di hadapan mata anda! Kesemua mutiara itu kelihatan baik dan hakikatnya sama baik. Namun demi pembelajaran yang efektif, setiap mutiara haruslah dianalisa secara individu. Maka pada kali ini saya memilih mutiara ilmu yang paling utama: "Qul hatu burhanakum"!

Bro Lim meninggalkan kampus UIA kuantan dengan meninggalkan jejak yang tak mungkin terpadam sepanjang hayatku. Beliau mengajarkanku suatu hakikat yang mudah tapi amat penting iaitu: "Qul hatu burhanakum in kuntum sodiqin!" yang bermaksud, "Datangkanlah kepadaku bukti-bukti kamu jika kamu orang yang berkata benar!"

Tetamu-tetamuku yang dimuliakan Allah,
Dapatkah anda bayangkan, bait-bait kalimah Tuhan yang sudah selalu sangat dibaca sepanjang (cth saya: 22 tahun) hidup sebagai muslim, ditujukan dengan terus dan tajam kepada kita? Demi Allah, sungguh hati saya terasa 'pedas' dan malu! Tatkala Bro Lim menujukan petikan ayat kalam Allah itu kepada seluruh hadirin muslim di dalam dewan itu, apabila beliau mengulas salah faham terhadap agama Kristian di Malaysia.

Ya, anda tidak salah baca! Salah faham terhadap AGAMA KRISTIAN di negara ini!

Sungguh, kata-kata beliau membuka mata hadirin pada hari itu, bahawa selama ini kita telah hidup dalam sangkaan! Apakah kita menyangka hanya agama kita sahaja yang dizalimi? Yang disalah erti?

"Wahai orang-orang yg beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepada kamu membawa suatu berita, maka SELIDIKILAH KEBENARANNYA, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan,yg akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu." maksud surah al-hujurat ke-49 ayat 6.

Fasih Bro Lim memetik ayat Allah itu, membuatkan umur keislamanku terasa kerdil sekali.

"Bila datang suatu berita, SELIDIK DULU kebenarannya. Jangan main percaya, telan bulat-bulat saja!" Begitulah maksud Bro Lim.

Isu Holy Water

Sewaktu zaman sekolah dulu, saya pernah mendengar cerita ini, "Hati-hati kalau ada penjual air datang ke rumah kamu..mungkin dia jual holy water! Jangan minum tau, nanti tak boleh mengucap!"

Saya memang percaya kata-kata itu. Walaupun saya sendiri tak ingat lagi daripada siapa saya mendapat cerita itu. Saya memang mempercayainya, sehinggalah hari itu.

Bro Lim serta-merta memecahkan tembok kepercayaan saya itu! Kamu tahu tak, apakah 'peralatan' yang digunakan? Tidak lain dan tidak bukan, hujah dan kebenaran!

Para sahabatku, dengarkan baik-baik. Kerana saya mahu anda semua sebarkan kebenaran dan fakta yang Bro Lim dan para sahabat baik beliau dari PERKIM ajarkan kepada saya pada hari itu. Tunaikanlah tanggungjawab kita sebagai muslim yang beriman, sebagai muslim yg mencontohi Nabi mereka yang tidak pernah berdusta dari lahir sehinggalah saat kematiannya.

Yang pertama, Holy Water BUKAN UNTUK DIMINUM. Tanyalah kepada kawan-kawan Kristian anda, dan mereka akan berkata perkara yang sama. Sungguh, mereka telah berkata benar jika mereka mengatakan, "Ya, memang betul, holy water bukan untuk diminum. Kami sendiri tidak meminumnya!"

Holy Water hanya terdapat dalam gereja Katolik di pintu masuknya. Gereja Protestan tak ada. Dan air tersebut digunakan untuk pembaptisan (upacara masuk agama Kristian).

Yang kedua, menurut Bro Lim, Holy Water hanya disediakan setahun sekali! Iaitu pada hari sabtu di antara Good Friday dan Easter Sunday (2 Hari Raya Kristian, begitu ringkasan Bro Lim). Nah! Mana logiknya cerita zaman kanak-kanak tadi? Macam mana hendak dijual, mahupun dibotolkan Holy Water sedangkan bekalannya setahun sekali! Kalau begitu, bankruplah penjual!

Astagfirullah al-azim. Apakah yang telah kita percayai? Apakah yang telah kita sebarkan??

Kisah Azhar Mansor

Anda kenal Azhar Mansor? Rakyat Malaysia manakah yang tidak mengenali pelayar Malaysia yang mengelilingi dunia secara solo itu. 

Ya, Azhar Mansor itu, saya tahu kisahnya.

Tapi...rupa-rupanya sebahagiannya ialah pembohongan yang besar!

Setelah namanya mahsyur, saya terdengar suatu kisah mengenai beliau. Kisah...kononnya beliau telah murtad.

Dan...ketika itu, saya percaya. 

"Ko tahu tak, Azhar Mansor tu, satu hari waktu dia kat tengah laut, tiba2 datang ribut dan ombak yang ganas. Dia pun tak tau nak buat apa kot, pastu dia menjerit ke langit, 'Tolonglah aku, siapa2 pun!' Lps tu tiba2 muncul satu lembaga hitam, dan berkata, 'Aku boleh tolong kau, dengan syarat kau ikut cakap aku!'. Lepas tu dia pun selamatlah."

Saya rasa selepas itu, saya membuat kesimpulan sendiri bahawa lembaga itu ialah syaitan. Lalu kamu tahu apa lagi fikiranku? Aku berfikir, mesti Azhar mansor berjaya dengan bantuan syaitan.

..............

"Haa...sila lah sampaikan dekat kawan kamu yang menceritakan kat kamu tu, cakap Bro Lim cakap 'Congratulations!'. Sebab dia dah menuduh Azhar Mansor dengan tuduhan yang amat besar!" bidas Bro Lim.

"Saya pun ada dengar cerita itu, sebab tu saya pergi Langkawi beberapa kali. Tapi macam mana pun saya cuba nak jumpa, dia selalu tak ada, mungkin busy dengan bisnes dia. Saya pun nak dengar dari mulut dia sendiri la, pasal cerita tu. Macam manapun, saya ada bertanya dekat orang2 sekeliling dan mereka cakap mereka nampak je dia pergi masjid solat."

mereka nampak je dia pergi masjid solat...     mereka nampak je dia pergi masjid solat....

Aduh...

"Kamu tahu tak, menuduh seseorang murtad itu tuduhan yang amat besar? Kamu nak tahu kesannya? Nanti kat akhirat, Azhar Mansor akan tuntut pengadilan dekat Allah. (katakan) Kalau dia mati sebagai kafir, kamu selamat. Tapi kalau dia mati sebagai seorang muslim, tunggulah kamu kat akhirat besok!"

Seperti hendak menutup telinga. Aku tak sanggup nak dengar lagi.

Mungkin bukan aku yang buat cerita. Mungkin bukan aku sumbernya. 

Tapi, aku telah menjadi mata rantainya! 

Aku mempercayai cerita itu, padahal ia hanyalah desas-desus angin lalu! Aku malah menyebarkannya, sama ada aku sedar ataupun tak.

Apa kesudahanku nanti?

Sebab Itulah

"Sebab itulah, bila seseorang yang fasik (penyumber) membawa berita2 yang tak diketahui kesahihannya, selidik dulu! Jangan main percaya apa yang orang cakap aje!"

Memang betul tu, Bro Lim.

Terima kasih. Betullah, seseorang yang memeluk Islam dengan kajian bukanlah tandingan pemegang Islam warisan.

Alhamdulillah. Saya sangat bersyukur telah diberi kemudahan untuk bertemu Bro Lim dan para sahabat Bro pada hari itu. 

Pada hari saya bertemu dan bersama seorang muslim yang benar-benar menghargai Islam, saya sangat gembira. Saya berdoa dan berharap, saya juga dapat berhujah dengan kebenaran dan menyayangi Islam dan Allah, seperti Bro Lim dan rakan-rakan. 

Saya belajar bahawa sebagai muslim, kita harus berkata benar dan menegakkan kebenaran, walau apa jua situasi sekalipun.

Jika dia benar, maka saya akan bersaksi bahawa dia benar, meskipun kepercayaan kami berbeza. 

Soal kepercayaan ialah urusan hamba dengan Tuhannya, maka biarlah para hamba memilih jalan mana yang hendak mereka tempuhi.

Tugas kita ialah menyampaikan, manakala hidayah ialah milik Allah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Kita berlindung dengan Allah, agar sikap kita yang melulu tidak menjadikan manusia buta untuk mengenali kebenaran.

Kita berlindung dengan Ilahi, agar sikap kita yang tidak mencari bukti kebenaran, tidak melupuskan semangat mereka yang masih mencari kebenaran.

Semoga Islam tetap bercahaya, meskipun pembawa obornya semakin tiada.

"قل هاتو برهانكم إن كنتم صادقين"

2 comments:

Muhammad Haneef Azme said...

Sebab itu kena selidiki setiap gosip.."A rumor is like a multiple-headed hydra; as more people spreads it..it becomes more uncontrollable & hideous"...

Unknown said...

Anak pintepinter