Wednesday, August 3, 2011

Kelebihan Tarawih - Hadis Palsu

بسم الله الرحمان الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Biarlah saya bercakap straight to the point.

Jika anda pernah terbaca atau terdengar tentang kelebihan menunaikan solat sunat tarawih seperti berikut:

KELEBIHAN SOLAT TARAWIH

1. Kelebihan Solat Tarawih Malam 1 : Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.
2. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-2 : Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.
3. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-3 : Para malaikat di bawah ' Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.
4. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-4 : Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
5. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-5 : Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjidil Madinah dan Masjidil Aqsa.
6. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-6 : Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.
7. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-7 : Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir'aun dan Hamman.
8. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-8 : Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.
9. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-9 : Allah S.W.T akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.
10. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-10 : Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.
11. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-11 : Ia meninggal dunia di dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.
12. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-12 : Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.
13. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-13 : Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.
14. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-14 : Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah S.W.T. tidak akan menyesatkan mereka.
15. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-15 : Semua malaikat yang memikul 'Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.
16. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-16 : Allah S.W.T. menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
17. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-17 : Allah S.W.T menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.
18. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-18 : Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).
19. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-19 : Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.
20. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-20 : Allah S.W.T mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.
21. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-21 : Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.
22. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-22 : Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.
23. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-23 : Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.
24. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-24 : Allah S.W.T akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.
25. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-25 : Allah S.W.T akan mengangkat seksa kubur darinya.
26. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-26 : Allah S.W.T akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.
27. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-27 : Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.
28. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-28 : Allah S.W.T akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.
29. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-29 : Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.
30. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-30 : Allah S.W.T akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kautsar.

Atau hadis lain yang seumpama dengannya, maka dengarkan perkataan saya ini: HADIS INI MAUDHU` 
(موضؤ) yang bermaksud PALSU.





Apabila dikatakan sesuatu hadis itu maudhu` atau palsu, bererti Rasulullah saw TIDAK PERNAH MENGELUARKAN PERKATAAN SEDEMIKIAN. 

Para pengunjung yang dikasihi Allah SWT sekalian,

Hadis secara am ialah perkataan atau perbuatan Nabi Muhammad saw yang dijadikan pedoman buat seluruh umat Islam. Hadis ialah sumber kedua pegangan kita selepas al-Quran al-Karim (al-Quran yang mulia).

"Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan janganlah kamu merosakkan segala amalmu." (maksud surah Muhammad 47: ayat 33)
Umat Islam diseru supaya mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka kita wajib mentaati segala perintah dan larangan Allah dan Rasul-Nya yang bersumberkan al-Quran, Kalamullah (Kata-kata Allah) dan hadis Rasulullah saw. 

Namun, sahabat2 sekalian, kita hendaklah berhati-hati dengan hadis-hadis yang dibaca atau ditemui atau yang didengari, sebelum dipastikan kesahihannya. 




Lazimnya umat Islam amat mempercayai hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhori dan Imam Muslim di mana kitab mereka dinamakan al-Jami' as-Sohih karangan Imam Bukhori dan  al-Jami' as-Sohih karangan Imam Muslim. 

Malah, seseorang pernah bertanya (secara menguji) kepada saya, "Selepas al-Quran, kitab apakah yang paling penting kepada umat Islam?" Dan beliau menjawab, "Kitab Sahih Bukhori." Kerana jika tidak salah (jika salah fakta silalah betulkan) Imam al-Bukhorilah yang pertama mengumpul, menyusun dan menyaring hadis-hadis Nabi saw, agar hanya yang benar-benar sahih atau betul-betul disahkan daripada Rasulullah saw sahaja yang dibukukan ke dalam kitabnya, supaya umat Islam seperti saya dan anda dapat merujuk haids Nabi dengan perasaan yakin, bebas daripada keraguan.

Terdapat 4 lagi kitab hadis sahih iaitu:

1.Sunan al-Sughra- karya Imam Nasa'i 
2.Sunan Abi Daud - karya Imam Abu Daud
3.Jami' at-Tirmizi - karya Imam Tirmidzi
4.Sunan Ibnu Majah - karya Imam Ibnu Majah

Keenam-enam kitab hadis di atas terkenal dengan nama Al-Kutub as-Sittah (الكتب السته) yang bererti "Enam yang Sah".

Selain daripada  Al-Kutub as-Sittah, kitab Musnad karangan Imam Ahmad ialah antara kitab hadis yang sering digunakan, cuma ia tidak termasuk dalam  Al-Kutub as-Sittah.

Hukum 

Sepertimana yang telah diperkatakan, hadis maudhu' BUKAN DARIPADA NABI MUHAMMAD SAW. Sesiapa yang mengatakan sebaliknya maka dia telah berdusta di atas baginda saw. Ini merupakan dosa yang amat besar di sisi Allah dan Rasul-Nya. 

Sabda Rasulullah saw: 

"مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوأُ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّار" 

"Sesiapa yang berdusta ke atasku secara sengaja, maka dia telah menempah tempatnya di dalam neraka." (Muttafaqun `alaih = riwayat Imam Bukhori & Imam Muslim)

Hadis maudhu' hukumnya ditolak dan membacanya adalah haram

Pengajaran peribadi

Sahabat-sahabat sekalian,

Anda mengetahui maklumat ini daripada penulisan saya. Anda tahu bagaimana saya pula mengetahuinya?

(menarik nafas panjang)

Saya mendapat tahu hakikat ini selepas saya sendiri menghebahkannya kepada jemaah yang hadir tarawih pada Ramadhan 1431H. 

Masih segar 'fadhilat' yang terpantul oleh lidahku pada malam itu;

"Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu."

Ya, saya mengingati malam itu. Malam yang hatiku teruja untuk berkongsi 'ganjaran' yang begitu besar itu dengan semua hadirin di surau...

Bayangkanlah, batu-batu meminta ampun untuk kita! Hatta batu dan tanah pun berdoa untuk keampunan manusia yang bertarawih pada malam itu..Dan mendapat ganjaran pahala seperti malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur...siapa yang tidak mahu 'ganjaran' seperti itu?

Anda bayangkan, dengan perasaan girang memenuhi ruang hatiku pada malam itu, dengan harapan ia akan menyemarakkan semangat muslimat yang mendengar untuk lebih termotivasi untuk bertarawih...bayangkan...
apabila seorang sahabat dan kakak baikku berkata,

"Ummu Hurairah, sebenarnya hadis yang Ummu sampaikan tadi palsu."

................

Subhanallah.....

Aku telah berdusta atas nama Nabi...Nabiku...


Hancur berkecai.

*******

Astaghfirullahl azim wautubu ilaih.

Selepas kejadian itu, saya menemui Kak Sarah beberapa kali untuk belajar lebih lanjut tentang haids maudhu'. Kata Kak Sarah, 

"Hadis maudhu' memang tak boleh diterima pakai langsung. Berlainan dengan hadis dhaif. Walaupun pangkatnya dhaif (sangat rendah kesahihannya) tetapi manfaat daripadanya tetap boleh diambil."

Lanjutnya lagi, 

"Hadis dhaif wujud disebabkan beberapa faktor. Antaranya termasuk taasub kepada mazhab (contohnya pengikut Imam Syafie yang tidak sukakan pendekatan imam-imam lain mungkin mereka hadis bahawa Nabi sangat memuliakan Imam Syafie, kerana Imam Syafie mempunyai hubungan kerabat/kekeluargaan dengan baginda saw.), taasub terhadap kumpulan (contoh Syiah dan Sunni, masing-masing boleh mereka hadis yang membesarkan/memuliakan golongan sendiri dan menghina pula golongan yang lain), untuk memburukkan nama Islam, mendekatkan diri dengan pemerintah (contoh seseorang ulama tahu raja sukakan emas, maka dia mereka cerita bahawa Nabi mengatakan 'sunnahku untuk memakai barangan kemas', maka raja akan suka kepada ulama itu dan menaikkan pangkatnya) dan lain-lain."

"Untuk kes fadhilat tarawih, mungkin ulama tersebut ingin menggalakkan umat Islam bersolat tarawih pada bulan Ramadhan. Oleh sebab itulah dia mereka hadis tentang kelebihan khas tarawih setiap malam Ramadhan, supaya umat Islam berasa bersemangat untuk menunaikan ibadah sunat itu."

Monolog: Macam aku.

"Akhirnya, ulama-ulama hadis menyiasat hadis tersebut hingga ke sumbernya, melalui para perawinya (orang yang meriwayatkan). Mereka menyelidik sifat-sifat perawi tersebut, sama ada jujur ataupun kadang-kadang bercakap bohong dan pelbagai kriteria lain mengikut kaedah penyelidikan hadis. Kadang-kadang, apabila disoal, perawi itu sendiri yang mengaku bahawa dia telah berbohong. Mungkin niatnya baik, seperti ingin menggalakkan umat Islam berbuat baik. Tapi caranya tetap salah. Berdusta di atas nama Nabi ialah perbuatan yang buruk dan tempat pendusta itu ialah di dalam neraka (rujuk hadis di atas)."

Niat Setahun Akhirnya Terlaksana

Pada asalnya, niat di hati untuk membetulkan kesilapan itu pada Ramadhan itu juga. Akan tetapi, entah kenapa hajat tidak kesampaian. 

Harapanku, semoga para pengunjung yang budiman dapat menyebarkan fakta, ilmu ini kepada keluarga, jiran tetangga, kawan-kawan, malah kawan baru di surau pun, sampaikanlah. Beritahukan bahawa kelebihan-kelebihan tarawih itu, tidak pernah wujud pun. Katakan: Rasulullah saw tidak pernah berkata begitu. Kalau saudara-saudari sekalian tidak percaya, bolehlah bertanya kepada yang lebih berilmu.

Usaha saya hanya semampu ini. Saya menyampaikan apa yang disampaikan Kak Sarah, yang menyampaikan daripada ustaz yang mengajarnya. 

Tugas saudara sekalianlah untuk menjadi rantai penyampai kepada mereka yang terdekat di sekeliling anda. 

Dan anda nak tahu sesuatu? 

(tersenyum) 

Beginilah caranya Islam tersebar kepada kita. Nun jauh dari Makkah, kampung Nabi saw, sampai kepada kampung kita, di Tanah Melayu ini. Ajaib kan?

Ha, apa lagi, jom buat keajaiban! 

Dan anda nak tahu satu lagi perkara?

Apabila anda bermula membuat keajaiban, ketahuilah, anda ialah seorang dai'. 

Anda tidak perlukan tongkat sakti Harry Potter. Hanya hati yang ikhlas, lisan yang jujur, dan usaha yang berterusan.

Selamat bermagis! (^^,)

sumber: wikipedia, perbicangan dengan Kak Sarah :)


p/s: ulasan pakar yang lebih terperinci di sini

No comments: