Wednesday, November 16, 2011

Tolonglah Iman Kamu!


بسم الله الرحمان الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Iman yang di dalam dada ialah penolong manusia. Manusia yang gembira bergelar hamba Allah Taala. 

Imanlah penolong manusia ketika kesusahan, menenangkan jiwa bahawasanya musibah ini ialah ujian, tanda cinta Allah kepada para hamba-Nya.

Imanlah pendorong melakukan kebaikan dan kebajikan. Wang, tenaga dan masa rela dikorbankan atas dasar keimanan.

Iman jualah motivasi menambah amalan, demi cinta & cita-cita melihat zat Tuhan.

Namun, kadangkala yang menolong juga perlukan pertolongan. 
Kerana sesungguhnya iman itu bermusim, ada naik, ada turunnya.


Bagaimana?

Bagaimana menolong iman kita?

1. Makan sekadar keperluan tenaga

Awasi kuantiti makanan kita. Cukuplah sekadar mendapatkan tenaga bagi melakukan aktiviti yang disukai Allah. Bak kata para ulama, "sekadar untuk menegakkan tulang belakang". 

Kerana santapan fizikal ialah makanan nafsu. Ketahuilah di dalam badan kita terdapat nafsu dan iman, di mana kedua-duanya bersifat berlawanan. Jika nafsu berkuasa, maka iman menjadi lemah. Sebaliknya, jika iman dikuatkan, maka nafsu pula dilemahkan. Begitulah pendapat Imam Ghazali.

Malah Nabi saw juga bersabda, maksudnya; "Perut ialah ruang paling buruk untuk diisi di dalam badan manusia. Jika perlu diisi juga, maka sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman, & sepertiga untuk udara."

Pada pandanganku, Rasulullah saw bermaksud mengatakan bahawa kalaulah boleh manusia hidup tanpa makan, itu lebih baik baginya, kerana Rasulullah saw yang paling arif soal hati & iman pasti mengetahui apakah kesannya apabila perut terlalu kenyang. Automatik badan akan jadi berat dan kita pun menjadi malas.

Secara saintifiknya, badan kita sebenarnya sedang mengalirkan kebanyakan darah kepada sistem pencernaan. Maka kuranglah darah yang mengalir ke otak. Jadi, saya pun menjadi mengantuk dan susah untuk fokus di dalam kelas selepas pukul 12 tgh hari. (ye, saya)

Maka, makanlah mengikut sunnah Rasulullah saw seperti di dalam hadis di atas.

2. Tidur ikut keperluan badan

Tahukah kita bahawa tidur ialah salah satu nikmat yang besar di dunia? (tersenyum) Oh ya, saya selalu 'menikmatinya' sama ada secara duduk mahupun berbaring. Malah pernah juga ketika berdiri (haha).

Di syurga, penghuninya tidak tidur! Tiada keperluan untuk tidur! Malah kita juga (ameen, mudah-mudahan kita ke sana) tidak akan membuang najis. Subhanallah, sesungguhnya tidak perlu begitu hairan kerana semua kejadian sangat mudah bagi Allah.

Badan juga mempunyai haknya. Salah satunya ialah hak untuk rehat. Maka sempurnakanlah hak badan, dan insya-Allah Allah ar-Rahman akan mengurniakan ganjaran. Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niatnya (hadis Nabi saw). 

Namun sebagaimana halnya dengan pemakanan, kita juga hendaklah berpada-pada dalam menyempurnakan hak tubuh. Tidur terlalu banyak terutamanya melemahkan badan dan lebih teruk, ia ialah perbuatan membunuh diri! Ya, membuang masa samalah seperti membunuh diri, kerana tempoh usia setiap insan telah pun ditetapkan sejak dulu lagi.

Malah tidur berlebihan itu disukai nafsu. Apabila nafsu menjadi raja, maka iman 'dibuang negeri'. Ketahuilah, nafsu ialah raja yang zalim. Anehnya, apabila iman yang diangkat menjadi raja kerajaan hati, nafsu kekal di bawah naungannya. Bukankah kita masih mempunyai nafsu makan, tidur dan lain-lain apabila iman terjaga? Sebaliknya jika nafsu dibiarkan berleluasa, ingatan kepada Allah dan Rasul-Nya gersang seperti padang pasir.

Ingat, Allah & Rasul-Nya tidak pernah melarang manusia daripada tidur, namun diberi panduan supaya jangan melampaui batasan.

Tidur yang paling baik ialah apabila malam berlabuh, seperti yang diberitahukan di dalam al-Quran:

"Wa ja`alna naumakum subata. Wa ja`alnal laila libasa" yang bermaksud "Dan Kami menjadikan tidurmu sebagai istirehat. Dan Kami menjadikan malam sebagai pakaian/selimut (kerana kegelapan malam bersifat menutupi)" (Surah an-Naba': ayat 9-10)

Saya percaya, anda mampu berlaku adil kepada jasad masing-masing dengan memberi rehat yang secukupnya, tidak lebih dan tidak pula kurang, insya-Allah. Katakanlah insya-Allah (dengan izin Allah).

Sumber Inspirasi

Wahai sahabat-sahabat yang budiman,

Sebenarnya saya mendapat ilham untuk menolong iman daripada khutbah terakhir Nabi Muhammad saw.

"....Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Sesungguhnya dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu di dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah kamu supaya tidak mengikutinya di dalam perkara-perkara kecil." - Rasulullah saw, Lembah `Uranah, Padang `Arafah, 9 zulhijjah tahun 10 H.

Alhamdulillah, saya amat bersyukur dilahirkan dalam keadaan Islam. Disambut dengan azan dan iqamat, kemudian diberikan nama yang baik (Perhatian: Ummu Hurairah bukan nama sebenar!),selanjutnya dididik di dalam suasana mengenal Allah & Rasul-Nya. Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahu akbar, Allah Taala ar-Rahim memeliharaku & keluargaku daripada usaha jahat syaitan menyesatkan anak Adam. Sesungguhnya sebahagian besar telah pun disesatkan, maka untuk tergolong di dalam minoriti yang terselamat merupakan nikmat yang paling besar.

Melalui lensa iman, hatiku terpanggil untuk memahami kata-kata terakhir Rasulullah ini. 

"Sesungguhnya dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu di dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah kamu supaya tidak mengikutinya di dalam perkara-perkara kecil."

Syaitan. Sukakan pembaziran. Bahkan al-Quran menyifatkan pembaziran sebagai sifat syaitan. Maka sesiapa yang menyukai pembaziran, bererti dia kawan syaitan! (menggigil) 

Dia telah 'berputus asa' mengajak kita mensyirikkan Allah. Namun dia tidak berputus asa memujuk kita mengikuti ke daerah pembaziran!

Beringatlah ketika membeli juadah berbuka puasa misalnya, supaya membeli berdasarkan keperluan tenaga, dan bukannya keperluan nafsu. Elakkan membeli berlebihan kerana perut hanya sebesar penumbuk, sedangkan ayam sahaja sebesar bola sepak! (umpama sahaja)

Kadang-kadang kita lupa. Kadang-kadang kita tak sedar. Sikit-sikit, kita menjadi sepertinya. Seperti syaitan. (Nauzubillah)

Pohonlah perlindungan Allah di dalam doamu, kerana syaitan telah bersumpah tidak akan meninggalkan walau seorang pun manusia, melainkan akan disesatkan kesemuanya, kecuali sebahagian kecil yang mengikhlaskan diri kepada Allah. 

Ingatlah wasiat Rasul,

"Sesungguhnya dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu di dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah kamu supaya tidak mengikutinya di dalam perkara-perkara kecil."

Tolonglah iman kita. Insya-Allah, iman akan menolong 'membukakan' pintu rahmat Allah ke dalam syurganya kelak. Ameen.

Sumber: (2011). Ibnu Rijal. Khutbah Terakhir Rasulullah. Penerbitan Mustread. m/s xvii

No comments: