Friday, February 26, 2010

Cinta Tanpa Bersua

Jumaat, 26 Feb, 2010.

Cinta..cinta..cinta.

"Aku cinta padamu!" jerit Romeo.

"Aku juga begitu!" balas Juliet.

Kedua-dua watak hasilan Shakespeare ini sangat terkenal dengan kisah cinta mereka. Sampaikan pada zaman kini para pasangan kekasih automatik mendapat julukan "Romeo & Juliet".

Pada malam yang hening ini, bukannya aku mahu 'mengupas' cerita Romeo dan Juliet. Tak kuasa aku. (:D) Cuma, tiba- tiba timbul persoalan di benak fikiran, mengapa begitu mudah kata-kata cinta meluncur keluar dari mulut sang manusia? (Oh, bohong sebenarnya. selalu saja terfikirkan..)

"Tipah, aku berjanji padamu, aku tidak akan sekali-kali meninggalkanmu. Sumpah Tipah!"

Jangan salahkan si lelaki sahaja. Si perempuan juga tidak kalah dalam berpuisi.

"Ya Abe Jo! Tipah juga berjanji akan sehidup semati dengan Abe!"

(menggeleng-geleng) Itulah ragam manusia. Ragam anak Malaysia.

Cinta manusia tidak terjadi dengan sendiri. Semuanya bermula dengan sebuah pertemuan..pertemuan pertama kali dengan si dia. Oops..tak sengaja terlanggar bahunya dan berlonggokanlah buku dan fail di atas lantai. Adam menolong Hawa mengemas kembali buku-bukunya. Orang kata sambil menyelam minum air, kalau Adam, dia mengemas sambil memerhati. Hawa juga mengambil peluang. Masing-masing terpandang. Dan..akhirnya, terbitlah bunga-bunga cinta..yang tak layu di pusara..

Itulah cinta manusia..perlukan sebuah pertemuan untuk sebuah permulaan. Perkara biasa.

Bagaimana pula dengan cinta tanpa pertemuan?

Eh, biar betul! Tak pernah orang bercinta tanpa berjumpa! Paling tidak, mesti kenal wajahnya. Walhal, orang yang bercinta selepas berkahwin pun, mestilah bertemu pasangan mereka setiap hari.

Jadi, mustahilkah cinta tanpa pertemuan?

Tak.

Sebab orang yang menaip ini pernah mengalaminya.




Ada rasa apa-apa? Sakit dada? Perit tekak? Mata berair?

Bagus! Anda ada simptom-simptomnya! Anda disahkan menghidapi sakit "cinta tanpa bersua".

'Penyakit' ini sebenarnya telah wujud sejak lebih 1400 tahun yang lalu. Penyakit yang sangat ancient. Ramai manusia yang telah menjadi 'mangsa korban'.

Para imam..Al-Ghazali, As-Syafie..para tokoh ilmuwan..mereka semua telah mengalaminya.

Cinta pada hiasan para nabi..Muhammad SAW.

Saya yakin, tentu ramai di luar sana yang pernah merasainya..dan masih merasainya. Atau mungkin juga ianya bermusim. Kadang-kadang merasainya..kadang-kala hilangnya perasaan itu entah ke mana.

Saya dan anda..kita tidak pernah berjumpa dengan Muhammad ini. Tidak tahu bagaimana wajahnya. Tinggikah orangnya? Setinggi mana? Putihkah, atau hitam manis? Bermata galak..atau redup sahaja?

Mungkin kita boleh bergantung kepada beberapa riwayat yang menceritakan serba-sedikit ciri-ciri manusia mulia ini. Tetapi..ianya tidak mungkin sama dengan pertemuan empat mata dengannya..menatap sendiri keindahan wajahnya..mengenali sendiri ketinggian budi pekertinya. Tidak akan sekali-kali sama.

Kadang-kadang aku hairan sendiri. Bagaimana..suatu ketika..aku akan teringatkannya. Suatu saat..rasa rindu yang menyesakkan dada akan datang menyerang secara tiba-tiba..aku gagal..gagal menahan tubir mata dari pecah..dan berjuraianlah mutiara-mutiara kecil..membasahi wajahku..tanganku..pakaianku..dan tiada tanda-tanda mahu berhenti.

Aku bingung. Dari manakah datangnya perasaan kasih ini? Dari sudut manakah ia menakluki jasadku..hatiku dengan begitu mudah kalah dengan perasaan ini..tubuhku lemah tak bermaya tatkala perasaan ini menjalar ke seluruh tubuh. Dan dadakulah..yang paling seksa sekali.

Bukan seksa kerana menahan kesakitan. Bukan kerana menahan penderitaan. Bukan.

Kerana rindu. Rindu dan cintalah penyebabnya.

Ya Rasul Allah! Kami merinduimu! Kami mencintaimu! Kami menyayangimu..lebih daripada hati kami, jasad kami, keluarga kami...! Alangkah indahnya..ingin kami bertemu denganmu..hai penghulu anbiya'..

Ketika terdengar nasyid-nasyid yang menyebut-nyebut namamu..hati kami juga terikut-ikutkan rentaknya. Hati kami memanggil namamu..merintih merinduimu..

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kutatap wajahmu
Kan pasti mengalir air mataku
Kerna pancaran ketenanganmu

Ya Rasulullah ya habiballah
Tak pernah ku tatap wajahmu
Ya Rasulullah ya habiballah
Kami rindu padamu

Tidakkah pernah terlintas di fikiran kita..bagaimana kita dapat begitu mencintai seseorang yang tak pernah kita berjumpa? Yang tak pernah kita kenali? Adakah cukup dengan hanya mendengar cerita daripada orang lain? Jika cukup sekadar mendengar cerita dari mulut seseorang..kenapa kita tidak mencintai orang lain dengan sebegini rupa? Adakah kita akan menyayangi seseorang hanya berpandukan khabar dari pihak ketiga? Jangan kata menyayangi, menyukai pun belum tentu.

Jadi, tidakkah anda merasa pelik apabila kita mampu mengasihi seorang manusia..hanya berpandukan riwayat Al-Quran dan As-Sunnah? Kenapa manusia ini? Kenapa hanya dia? Kenapa Muhammad SAW?

Saya sendiri tidak tahu.

Mungkin ianya satu kelebihan baginda. Mungkin ianya anugerah Tuhan.

Apa yang saya tahu ialah..sebaik sahaja aku meyakini kebenaran agama ini..dan berikrar tidak akan sekali-kali melepaskannya demi apa jua di dunia ini..aku akan begitu mencintainya. Mencintai Muhammad SAW.

Iman manusia bagaikan air laut. Ada pasang dan surutnya.

Walaupun aku tidak mampu untuk mengekalkan cinta ini 24 jam, aku bersyukur kerana selalu dikurniakan peringatan oleh Yang Maha Esa. Untuk terus berusaha mencintai Allah dan rasul-Nya. Sikit pun tak apa. Asalkan kita berusaha. Kerana usaha itulah yang akan dinilai-Nya kelak.

Setiap orang yang bercinta pasti selalu memberikan hadiah buat kekasihnya. Kalau orang lain hadiahkan bunga atau coklat untuk kekasih mereka, kita akan hadiahkan sesuatu yang berbeza untuk kekasih kita Muhammad SAW..

"Allahumma solli `ala sayyidina muhammad, wa `ala alihi wasohbihi wabarik wasallim."

No comments: