بسم الله الرحمان الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt.
Malam semalam, bulan hampir purnama menyinari alam.
Mencetuskan rindu. Kepada yang diumpamakan seperti itu.
"Nabi Muhammad saw umpama bulan purnama pada malam hari. Menerangi kegelapan jahiliyah dengan cahaya wahyu kurniaan Tuhan."
Kemudian mata tercari-cari gugusan-gugusan yang juga datang pada malam hari. Seperti yang direkodkan di dalam mushaf kitabullah, "Was samaa iwat toriq" yang bermaksud "Demi yang datang pada malam hari."
"Wa maa adroka mat toriq"..."Dan tahukah kamu apakah itu "yang datang pada malam hari"? "
"Ann-najmuts tsaaqib" - "(Iaitu) bintang yang bercahaya". (Surah at-Toriq, ayat 1-3).
Tidak kelihatan pula. Tidak nampak bukan bermakna tidak wujud. Tidak nampak mungkin kerana mata manusia tidak mampu mencerap cahaya bintang-bintang yang berkerlipan jauh di langit malam, apabila pantulan cahaya matahari oleh bulan mendominasi dua pertiga langit.
Itulah perumpamaan Rasulullah saw dan para sahabat baginda.
Para sahabat bagaikan bintang menghiasi langit malam. Keperibadian mereka seakan keperibadian Rasulullah, cahaya mereka seakan-akan cahaya Rasulullah. Benar, sepertimana Allah Taala menunjukkan perbandingan bulan dan bintang apabila diletakkan bersama-sama, pastilah bulan mengalahkan bintang dari segi sinarnya. Namun, jangan lupa, bahawa sinar bintang itu tidak pernah malap. Bahkan fungsinya tersingkap apabila bulan menjadi 'anak', maka mata baru dapat mencerap kedudukan galaksi-galaksi itu.
Perhatikan.
Apabila bulan tiada, bintanglah penyeri kegelapan malam.
Apabila Rasulullah saw tiada, para sahabatlah yang menyuluh jalan manusia daripada kesesatan, memikul amanah menyebarkan wahyu Tuhan ke seluruh ceruk dunia.
Apakah pula perumpamaan diri kita, wahai saudaraku?
Di manakah pula kedudukan kita di sisi Allah dan Rasul-Nya...
Penunggang yang Berhijrah
Saya rasa seperti telah menangguhkan suatu kebaikan yang amat besar.
Telah lama saya membaca kisah "Penunggang yang Berhijrah" ini. Namun pada hari ini barulah masa membuka ruang untuk perkongsian.
Amatlah rugi jika seorang mengaku dirinya "muslim" tetapi tidak pula mengetahui kisah "Penunggang yang Berhijrah" ini.
Dengarkan wahai para sahabat, saudara dan pembaca sekalian...
Kisah Keislaman Berbeza
Cerita seorang sahabat Nabi saw ini pada saya amat unik.
Jalan keislamannya tidak seperti kebanyakan sahabat-sahabat Nabi yang lain yang banyak dikagumi muslim yang mengetahuinya.
Kita tahu Abu Bakar as-Siddiq, Zaid bin Haritsah dan Ali bin Abi Talib merupakan antara pemeluk Islam yang terawal.
Namun cerita sahabat ini berbeza.
Beliau menempuh jalan keislaman yang berbeza, sehinggakan saya terpanggil untuk menceritakannya semula.
Ingatilah kisah sahabat ini yang memeluk Islam, selepas Fathu Makkah (Pembukaan Kota Makkah).
Wahai teman, cuba renungkan.
Ada seorang manusia. Yang sangat memusuhi Islam. Banyak menyertai peperangan menentang Islam.
Bahkan ayahnya ialah musuh Islam nombor satu ketika Nabi saw dan para sahabat masih di Makkah. Pada awal dakwah Islam, beliau sangat benci kepada Rasulullah, apatah lagi dalam keadaan ayahnya de facto leader penentang Islam ketika itu. Dalam peperangan Badar, kebencian itu bertukar rupa kepada dendam dengan kematian ayahnya di pihak Quraisy. Mulai saat itu, hati manusia itu semakin terbakar apabila terdengar sahaja sebutan "Rasulullah dan Islam".
Bahkan ayahnya ialah musuh Islam nombor satu ketika Nabi saw dan para sahabat masih di Makkah. Pada awal dakwah Islam, beliau sangat benci kepada Rasulullah, apatah lagi dalam keadaan ayahnya de facto leader penentang Islam ketika itu. Dalam peperangan Badar, kebencian itu bertukar rupa kepada dendam dengan kematian ayahnya di pihak Quraisy. Mulai saat itu, hati manusia itu semakin terbakar apabila terdengar sahaja sebutan "Rasulullah dan Islam".
Perang Uhud, Khandaq turut menyaksikan penglibatan beliau, di pihak musuh.
Akhirnya, setelah tempoh masa yang dijanjikan Allah, Islam sudah teguh di bumi Madinah. Kini tiba saatnya Makkah ditawan dan dibersihkan daripada kotoran penyembahan berhala.
Berangkatlah angkatan tentera Islam yang gagah perkasa, sehingga gerunlah hati manusia di dalam kisah ini.
Mengenangkan segala perbuatannya yang memusuhi Islam, beliau merasa tidak tenang. Tiada jaminan keselamatan baginya di Makkah setelah kota itu tunduk kepada Islam.
Rasulullah saw telah memaafkan segala perbuatan Quraisy terhadap baginda. Tetapi di antara mereka, ada nama yang terkecuali. Baginda memerintahkan mereka dibunuh sekalipun ditemui berselindung di sebalik kelambu kaabah.
Termasuklah lelaki itu.
Beliau keluar secara bersembunyi untuk melarikan diri ke Yaman.
Isteri Menemui Rasulullah
Pada saat itu, Ummu Hakim, isteri lelaki itu menemui Rasulullah bagi menyatakan keislamannya.
Setelah itu beliau merayu, "Wahai Rasulullah! ******* telah melarikan diri ke Yaman kerana bimbang tuan akan membunuhnya. Berilah jaminan keamanan kepadanya, semoga Allah memberi kemananan kepada tuan."
Nabi saw lantas bersabda, "Dia beroleh jaminan itu."
Ummu Hakim segera keluar mencari suaminya.
Dipendekkan cerita, Ummu Hakim berjaya membawa pulang lelaki misteri itu.
Hampir di Makkah
Apabila lelaki itu semakin mendekati Makkah, Rasulullah saw berpesan, dengan pesanan yang indah, yang membuatku tersenyum sejak pertama kali terbacanya...dan entah kenapa saya turut merasakan, jika lelaki itu mendengarnya, dia juga pasti tersenyum dengan hati yang hiba.
Kata baginda kepada para sahabatnya,
"`Ikrimah akan datang kepada kamu dalam keadaan berhijrah. Janganlah kamu mencaci ayahnya (Abu Jahal). Sesungguhnya mencaci si mati akan menyakiti perasaan yang hidup sedangkan ia tidak sampai kepada si mati."
(Alangkah indahnya kata-kata rahmat sekalian alam)
Tidak berapa lama kemudian, `Ikrimah bersama isterinya tiba di majlis Rasulullah saw. Apabila baginda melihat beliau, baginda terus meluru ke arahnya tanpa memakai rida' (jubah luar atau kain yang diselimutkan untuk bahagian atas badan) kerana terlalu gembira dengan kedatangan beliau.
Apabila Nabi saw duduk, `Ikrimah berdiri di hadapannya seraya berkata,
"Wahai Muhammad, Ummu Hakim telah memberitahu saya bahawa kamu telah memberi jaminan keselamatan kepada saya..."
"Benar. Kamu dijamin keselamatannya," akur Nabi saw.
`Ikrimah bertanya lagi, "Apakah intisari seruan kamu, wahai Muhammad?"
Nabi menjawab, "Saya berseru agar kamu bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan saya ialah hamba Allah dan pesuruh-Nya, kamu mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat..." Baginda menyebut semua rukun Islam.
`Ikrimah berkata, "Demi Allah! Kamu mengajak kepada kebenaran dan memerintah ke arah kebaikan."
"Demi Allah! Sebelum kamu menyeru kepada seruan kamu ini, kamu adalah orang yang paling benar percakapannya dan orang yang paling banyak melakukan kebajikan."
***
Maafkan saya wahai teman. (tersenyum) Kerana terpaksa memotong penghayatanmu saat ini.
Mari kita hayati kata-kata Rasulullah dan lelaki yang bakal menjadi sahabatnya itu.
Ya, lelaki tersebut ialah `Ikrimah bin Abu Jahal.
Anak kepada penjahat Islam nombor satu ketika itu. Malah, beliau sendiri turut terlibat dalam banyak peperangan menentang Rasulullah dan orang Islam.
Lelaki yang banyak menyakiti muslimin. Lelaki yang membenci, malah pernah suatu ketika ingin membunuh baginda Rasulullah!
Maka...sungguh saya tidak dapat...memahami. Bagaimana Muhammad Rasulullah dapat mengeluarkan kata-kata,
"Ikrimah akan datang kepada kamu dalam keadaan berhijrah. Janganlah kamu mencaci ayahnya (Abu Jahal). Sesungguhnya mencaci si mati akan menyakiti perasaan yang hidup sedangkan ia tidak sampai kepada si mati."
Kata-kata Nabi yang pemaaf..
Hanya orang yang telah memaafkan kesalahan sahaja dapat berkata sebegini. Sebelum baginda melihat `Ikrimah lagi, baginda telah pun memaafkan beliau.
Malah, beliau sampai memeluk `Ikrimah ketika melihatnya! Dalam keadaan tidak sempat bersiap dengan sempurna, baginda meluru menyambut `Ikrimah di dalam majlisnya! Kerana apa...?
Kerana...baginda tahu, baginda sedang memeluk si Penunggang yang Berhijrah.
Sahabat-sahabatku,
bolehkah saya, atau anda, memeluk musuh kita selama hampir 20 tahun?
Hayat saya baru mencecah awal 20-an, bererti, memeluk musuh sejak zaman tadika?
...............
Permusuhan apakah yang lebih besar daripada permusuhan agama? Sehingga sampai ke tahap keinginan untuk membunuh?
Apalah permusuhan kita dibandingkan dengan permusuhan yang dihadapi Rasulullah dan para sahabat.
Pun begitu, walaupun menghadapi ancaman permusuhan yang besar itu, baginda telah melakukan mission impossible.
Baginda lebih hebat daripada Tom Cruise, kerana tugas yang paling sukar bagi seorang manusia bukannya mematikan bom.
The hardest thing for a person to do is to forgive.
Lihatlah!
Contoh yang ditunjukkan Rasulullah...boleh membuatkan hati-hati yang merinduinya hiba..
Baginda memaafkan secara total..hanya apabila kemaafan itu kemaafan yang sempurna, barulah seseorang mampu memeluk musuh sepanjang dakwah Islam. Sungguh, baginda bukan manusia biasa.
Malah, baginda sempat berpesan supaya jangan mencaci Abu Jahal, kerana ia akan menyakitkan hati saudara yang baru berhijrah itu. Betapa baginda menjaga hati `Ikrimah.
Di Pihak `Ikrimah
Jangan kita melupakan respons `Ikrimah terhadap dakwah spontan yang ditunjukkan Rasulullah.
Tidak mustahil, beliau semakin tertarik untuk beriman melihatkan sambutan Rasul Islam terhadapnya.
Inilah ibrah yang harus kita contohi.
Ada satu perkara yang menarik perhatianku di dalam percakapan `Ikrimah.
"Demi Allah! Sebelum kamu menyeru kepada seruan kamu ini, kamu adalah orang yang paling benar percakapannya dan orang yang paling banyak melakukan kebajikan."
Lihat, lihat, lihat!
Sebenarnya, `Ikrimah mengakui kebenaran Muhammad saw!
Walaupun perbuatannya memperlihatkan permusuhan, tetapi hati kecilnya sebenarnya mengakui kebenaran dakwah Islam!
Boleh jadi, telah lama beliau mengakuinya. Namun disebabkan permusuhan yang dicetuskan ayahnya, hasrat kecil hatinya terpendam.
Wahai sahabatku,
perkara ini amat penting.
Marilah kita mencontohi cara dakwah Nabi saw di dalam perkara ini. Iaitu hati manusia.
Fokus dakwah ialah hati. Hati ialah sesuatu yang berbolak-balik. Hari ini ia berkata Islam itu "hitam". Boleh jadi suatu hari nanti ia berkata, "Islam itu suci lagi menyucikan!"
Maka, janganlah kita dirundung kecewa dan putus asa apabila usaha dakwah tidak berjaya. Lihatlah `Ikrimah! Akhirnya hidayah Allah tetap menjadi miliknya, berkat usaha Rasulullah yang tidak putus.
Gunakanlah jalan kelembutan, dan tetaplah menyeru kepada kebenaran dan kebaikan.
Kerana hidayah milik Tuhan. Tugas kita hanyalah menyampaikan seruan.
***
"Demi Allah! Sebelum kamu menyeru kepada seruan kamu ini, kamu adalah orang yang paling benar percakapannya dan orang yang paling banyak melakukan kebajikan."
`Ikrimah kemudian menghulurkan tangannya sambil berikrar,
"Sesungguhnya saya bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah. Dan saya bersaksi bahawa kamu adalah hamba dan Rasul-Nya."
Itulah dia.
Kesudahan usaha yang berterusan, doa yang penuh harapan, serta tawakal kepada Tuhan. Sebuah pesanan dan pelukan ikhlas, dibalas dengan jabat dan ikrar keislaman.
Kesudahan usaha yang berterusan, doa yang penuh harapan, serta tawakal kepada Tuhan. Sebuah pesanan dan pelukan ikhlas, dibalas dengan jabat dan ikrar keislaman.
Kesudahan yang ditunggu oleh semua dai'e, dai`e yang sabar mencontohi muallim (guru) terbaik sepanjang zaman.
Insya-Allah.
rujukan:
Dr. Abdul Rahman Ra'fat al-Basha. (2006). 65 Gambaran Kehidupan Sahabat. m/s117-124. Tebitan Pustaka Salam. Terjemahan oleh Ust Abdul Hakam b Jaafar & Ust Mohd Noor b Daud.
1 comment:
Subhanallah....hebatnya akhlak Nabi...Ya Allah bantulah kmi utk bersama2 mengamalkan sunnah dan akhlak kekasihMu dlm dri kmi...
Post a Comment