Sunday, May 15, 2011

Mensyukuri Musibah

بسم الله الرحمان الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

"Mensyukuri musibah".

Tsunami yang melanda Jepun tahun ini (susulan gempa bumi hampir 9 Richter)

Hmm, seperti ada yang tidak kena dengan gandingan itu? (tersenyum)

(mengangguk-angguk) Ya, mungkin. Syukur itu pasangan nikmat. Bagaimana pula antonim nikmat dapat bergandingan dengan ungkapan pujian kepada ilah? Ish, tak sesuai langsung!

Paradoks

Hidup ini adakalanya paradoks. Kadang kala berlawanan (contradict) antara satu sama lain. Tidak semestinya kontra bermaksud bermusuhan. Tidak sependapat tidak bererti harus berlawan menanduk bagaikan lembu jantan menjaga kawasannya. Jalan yang diambil berbeza, hakikatnya destinasi akhir tetap sama. Bukan begitu, kerajaan dan pembangkang? (tersenyum)

Kematian saudara, kemalangan, rumah dirompak, tanah tergadai, terlepas penerbangan, hatta tersepak batu sekalipun, apa salahnya disyukuri.

Apa salahnya mensyukuri nikmat yang lebih besar daripada kurniaan nikmat bahagia.

Apa salahnya mensyukuri, nikmat peringatan buat hamba yang pelupa.

Tanda cinta Tuhan buat hamba-hamba-Nya

Sahabat-sahabatku yang dicintai Allah,
Apabila diuji dengan kesakitan, sama ada jasad atau hati yang terluka, ketahuilah, itu ialah signal cinta Allah Taala buat kita.

Tahukah kita apakah kelaziman pasangan yang bercinta? 

Jari-jemari mereka pantas menaip mesej-mesej rindu. 
Aah..mana main mesej-mesej...video call teruslah!

Ya, mereka teringat kepada pasangan. 

Ingatan. Dan ingatan apakah yang lebih berharga, selain ketukan hati oleh Yang Maha Mencipta, sebagai peringatan agar kembali kepada-Nya.

Mari kita jernihkan fikiran. Tanda cinta sesama manusia ialah mereka selalu teringat-ingat kepada pasangan. Apakah bukan tanda Allah mencintai para hamba-Nya, apabila Dia ingat kepada kita melalui penurunan ujian-ujianNya?

Nikmat vs Musibah

Sahabat-sahabatku sekalian,

Cuba kita ingat kembali.

Sewaktu keputusan SPM diumumkan dulu, kita gembira bukan kepalang. Tercapailah cita-cita untuk ke menara gading. Mak ayah, kawan-kawan meraikan kejayaan kita dengan mengadakan jamuan khas buat kita.  Perut kenyang, hati senang. Aah..nikmatnya dunia!

Suatu hari, motosikal suzuki kesayangan dikebas jembalang! Yalah, memang jembalanglah namanya kalau kerjanya merampas hak orang! #@@$%%^!!#, marah tak terkata, sehinggakan terpaksa disensorkan dengan abjad-abjad yang entah apa maknanya.

My sweetheart!

Di antara kedua-dua situasi tersebut, yang manakah membuat kita beringat?

Kalau anda tanya saya, maka jawapannya kes motor dikebas jembalanglah. (Walaupun memang tak reti bawa motor, naik motor boleh)

Waktu itu, datang satu kesedaran. Terasa seperti diketuk sesuatu. Bahawa aku ini bukanlah hebat sangat. 

Apabila terjatuh, barulah terasa terduduk.
Apabila ditimpa tangga, barulah rasa diketuk. (benjol di kepala haha)
Apabila musibah melanda, masa seolah-olah berhenti seketika.

Akal mula berfikir. Hati mula tersedar. Perlahan-lahan, encik syukur datang bertamu.

Alhamdulillah, biarlah motor dikebas, dah buruk pun, body je cantik, entah-entah boleh accident kalau aku bawak lagi motor tu. 

Alhamdulillah, biarlah kali ini aku 'naik' kaki. Rasulullah kata, setiap langkah ke masjid dicatat sebagai pahala. Ha, kan Allah bagi peluang untuk aku tambah pahala! Terima kasih Allah. (Lagipun aku kene turunkan berat badan ni, nanti jatuh saham)

Alhamdulillah. Terlupa pula yang harta aku tu sementara. Rezeki dari Allah jugak. Allah yang berikan, jadi bila-bila masa saja Dia berhak ambil balik. Ya, Allah berhak ke atas rezekiku. 

Terima kasih Allah atas peringatan.
Bahawa aku ini hamba-Mu.
Hamba, mana ada apa-apa. Melainkan apa yang diberikan oleh tuannya.

Musibah mengingatkan kita. Nikmat pula lebih banyak melalaikan kita. 

Padaku, jika Allah Taala membiarkan seseorang itu di dalam berkhayal dengan harta kekayaannya, seperti Allah telah melepaskannya kepada api neraka. Tapi, saya tetap meyakini, manusialah yang terlebih dahulu melepaskan tali Allah (ertinya pergantungan kepada Allah), barulah Allah pula melepaskannya. 

Hamba yang diuji, ialah hamba yang disayangi. Kerana Allah tidak membiarkannya leka, sebaliknya selalu memperingati hambaNya, yang diketahui penuh dengan kealpaan. 

Padaku, biarlah aku dipukul (dengan ujian) di dunia, daripada dipukul dengan keras di akhirat.
Biarlah aku malu di dunia, daripada terbuka aib di hadapan Allah dan seluruh generasi manusia.
Biarlah aku tersungkur di dunia, daripada tersungkur dengan wajahku, diheret ke neraka jahannam, di mana manusia tidak hidup, dan tidak pula mati. Melainkan diseksa dengan azab yang maha pedih berulang-ulang kali, tanpa diberi rehat walau sehari.

Allah Tuhan kami, lindungilah kami daripada azabmu di dunia dan akhirat.

Semoga terhibur dengan ujianmu. (tersenyum)

Peringatan ikhlas,
Ummu hurairah.

No comments: