بسم الله الرحمان الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt.
Buli
Seorang pelajar dikelilingi beberapa pelajar yang lain.
Pada suatu ketika, lehernya dijerut oleh seorang pelajar di belakangnya menggunakan tali leher.
Pada minit-minit yang lain rambutnya digunting tanpa belas kasihan, sedikit demi sedikit. Ditarik-tarik rambut mangsa dengan kejam.
Di antara aksi-aksi membimbangkan ini diselangi dengan hentakan-hentakan kasar ke kepalanya oleh pelajar-pelajar yang mengelilinginya menggunakan buku-buku yang bukan itu tujuan percetakannya. Buku bertujuan mengajar manusia agar berilmu dan bertamadun, namun beberapa hari yang lalu, mataku menyaksikan di samping hati yang kepedihan, akan penyalahgunaan buku yang digunakan untuk 'mengajar' seorang pelajar yang tidak berdaya. Kini, buku bukan lagi alat mengajar. Ia telah berevolusi menjadi alat membuli.
Dan anda tahu, perkara itu bukan berita paling buruk. (That was not the worst)
Gambar contoh |
Yang lebih membimbangkan, yang patut menjadi kebimbangan kita ialah, pelajar-pelajar tersebut ialah perempuan.
Begitulah sedutan rakaman video yang telah dimuat naik ke youtube yang dipaparkan media di kaca TV beberapa hari kebelakangan ini.
Saya bukan hendak memburukkan perempuan, saya sendiri daripada golongan itu. Tetapi masalah buli yang lazimnya berlaku dalam kalangan pelajar lelaki, kini telah terbukti menular kepada golongan perempuan yang fitrahnya berhati lembut dan berperwatakan sopan.
Pelajar-pelajar terbabit telah dihukum gantung sekolah selama 14 hari oleh Kementerian Pelajaran. (Pada pendapatku, hukuman tidak setimpal setelah menyaksikan video tersebut)
Tanda-tanda apakah ini?
Seludup manusia
Ya, evolusi semakin hebat setiap hari. Daripada menyeludup beras, minyak, kini 'perniagaan' ini melihat potensi manusia sebagai barang dagangan.
9 warga Myanmar ditahan di Kangar awal pagi Isnin lalu. Bayangkan, 9 orang dimuatkan di dalam sebuah proton Wira...(sedang membayangkan..) Eh, boleh jadi, boleh jadi. Berbekalkan 'kepintaran' tekong (ketua penyeludup), dia dapat memasuki Guiness Book of Records, dengan menyumbat 3 orang ke dalam but belakang!
3 rakyat Myanmar disumbat di but belakang |
Setiap warga Myanmar telah membayar RM60 kepada tekong untuk masuk ke Malaysia.
Tanda-tanda apakah ini?
Politik basi
Aha..isu ini agak sensitif untuk dibicarakan. Entah kenapa ya? Politik sebenarnya suatu medan kepimpinan yang membawa kepada kesejahteraan masyarakat. Sayangnya, arena politik Malaysia berbaur keji-mengeji yang saya sendiri sudah mangli dengannya.
Satu pihak menuduh pihak lawannya tidak adil kepada rakyat. Pihak lawan pula membidas mengatakan pihak itu juga tidak adil dalam isu-isu ini dan itu. Sedangkan kedua-dua pihak itu terlupa akan adanya pihak ketiga.
Ni semua salah kau! |
Siapa pula pihak ketiga?
(tersenyum) haha...itulah saya dan anda. Kitalah pemerhati pementasan drama yang sungguh melucukan itu. Sedangkan pemerhati yang tertinggi ialah Allah Taala, Al-`Aliyyu wal Basir (Yang Maha Tinggi lagi Maha Melihat segala perbuatan hamba-hamba-Nya).
Anda tidak berasa lucukah?
Pasir, gula, minyak, semuanya harus dijadikan isu. Semuanya harus dipolitikkan.
Skandal seks, liwat, porno, entah apa lagi yang bakal menyusul.
Alangkah bagus jika media berperanan. Tidak mensensasikan isu, lebih-lebih lagi yang membuka aib seseorang? Alangkah baik jika media melaporkan kejadian dengan tulus, sekadar rakyat mengetahui fakta daripada kedua-dua belah pihak?
(melepaskan keluhan kecil)
Tanda-tanda apakah ini?
Tanda-tanda kesihatan hati
Nabi Muhammad saw bersabda,
"Ketahuilah bahawa di dalam tubuh (manusia) ada segumpal daging. Jika ia baik maka seluruh tubuh akan baik. Jika ia rosak maka seluruh tubuh akan rosak. Ketahuilah bahawa itulah hati." (Muttafaqun `alaih = Riwayat imam Bukhari dan Muslim)
Pesanan Nabi Muhammad saw yang satu ini tidak pernah menjemukan saya. Walaupun sudah banyak kali ditatapi di dalam buku atau majalah ilmiah, telah acap kali masuk ke corong telinga, saya tetap menyukainya. Bukankah manusia bersifat pelupa? (tersenyum) Jadi, peringatan yang berulang-ulang itu amat penting.
Kecintaanku kepada pesanan ini kerana ianya ringkas tetapi tepat. Benar, hati manusialah yang menentukan tindak-tanduknya. Perbuatan yang zahir sebenarnya ialah indikator atau tanda kesihatan hati.
Rosak di dalam, maka rosaklah di luar (akhlak) |
Sekarang, tahulah kita akan kesihatan hati masyarakat di sekeliling kita. Sekurang-kurangnya yang diketahui melalui laporan media.
Kesihatan hati anak-anak muda kita di tahap bahaya. Ya, bahaya! Bagaikan lampu merah bersama siren atau suara komputer yang berbunyi, "Amaran!" Lihatlah buktinya, kes buli semakin meningkat. Dahulu kes-kes buli melibatkan pelajar lelaki, bahkan mangsa ada yang menemui maut. Tahun 2011 yang baru menginjak pertengahan ini, kes baru timbul, mendapat perhatian media dan masyarakat. Kali ini pelakunya ialah pelajar perempuan. Ini baru kes buli. Bagaimana dengan remaja yang ketagihan dadah, di pusat-pusat serenti? Mat dan minah rempit?
Inilah isu yang sepatutnya ditangani oleh pemimpin. Tidakkah mereka tahu bahawa kekuatan sebuah negara terletak pada kekuatan pemudanya? Pemuda-pemudi tanah air sedang menghidapi penyakit hati yang kronik, tidakkah pemimpin kita peduli?
Hmm..
agaknya, kesihatan hati diri pemimpin juga kritikal, bagaimana mahu mengubati penyakit hati rakyat?
Pemimpin bertelagah, berbalah, main tuding-menuding, ialah tanda hati mereka berpenyakit. Perasaan hasad dengki, tamakkan kuasa, inginkan kekayaan dunia, mengelabui mata hati mereka. Ya Allah, tolonglah negaraku. Tolonglah pemimpinnya. Sedarkanlah mereka, singkapkan tabir dari hati-hati mereka, apa lagi yang mampu kulakukan, sedangkan mereka tidak mahu mendengar (nasihat)..
Ketua sakit, bagaimanakah kita mengharapkan rakyatnya sihat?
Ketua tidak mendengar nasihat, masihkah kita mengharapkan rakyat mendengar?
Ketahuilah wahai ketua, anda semua ialah contoh teladan. Anda dianugerahkan Allah Taala dengan peluang untuk mendidik masyarakat manusia. Dengan perbuatanmu. Dengan langkahmu. Dengan tutur bicaramu. Kenapa kamu mensia-siakannya?
Bukankah anda yang terpelajar mengetahui, "Action speaks louder than words"?
Lalu mengapa anda membiarkan kami rakyat terkapai-kapai kepada pimpinanmu? Mengapa anda semua hanya menggerakkan lidahmu, tetapi tidak mengorak langkah? Mengapa anda semua terus-menerus mengecewakan kami, mengecewakanku, sedangkan kami, sedangkan aku...mengharapkan kebaikan dalam pimpinanmu?
Berhentilah berbalah. Berhentilah bergaduh. Berhentilah mengecewakan kami.
Ubatilah hati-hati kamu dengan apa yang telah diajarkan di dalam agamamu masing-masing.
Kepada pemimpinku yang beragama Islam, janganlah anda semua mensia-siakan anugerah Allah Taala kepada hati-hati kita. Hidayah Allah itu mahal, kalaulah kita memahaminya. Carilah semula ketenangan hidup di dalam Islam yang kita imani bersama, nescaya jawapannya, hanya terpisah daripada kita, sebanyak helaian-helaian muka surat al-Quran...yang menunggu tangan-tangan kita mengambilnya kembali, menyelaknya...dan menunggu dengan penuh kerinduan...titisan-titisan jernih kembali membasahi kertas-kertas berdebu itu..tatkala hati menemui ubat yang sangat ia perlukan, yang sangat ia rindukan...
Apabila hatimu sihat kembali, maka kami menunggu dengan penuh kesabaran, anda semua membetulkan dengan tangan-tangan anda, kezaliman yang berlaku di tanah air pimpinan anda.
Ubatilah hati-hati yang tamak dengan harta dunia yang sementara, yang mengambil kesempatan di sebalik pergolakan yang berlaku di negara jiran, dengan menawarkan 'jalan keluar' melalui penyeludupan secara haram ke negara sendiri. Bukan salahnya, mungkin niatnya baik, untuk menolong, tetapi caranya sahaja yang salah. Islam tidak mengajar umatnya mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain. Sebaliknya, tolonglah dengan kemapuan yang ada.
Ubatilah hati-hati anak muda yang masih mencari identiti diri, kerana mereka masih berjinak-jinak dengan realiti kehidupan yang sebenar. Berikanlah perlindungan dan keadilan yang sewajarnya kepada mangsa. Didiklah kesedaran kepada pemangsa.
Buli pelajar. Seludup manusia. Skandal politik.
Tanda-tanda hati yang rosak.
"Jika ia baik maka seluruh tubuh akan baik. Jika ia rosak maka seluruh tubuh akan rosak."
Harapanku, suatu hari nanti, hati-hati yang sakit ini, akan menjumpai penawarnya. Dan terubatlah kepedihan hatiku, apabila simptom-simptom itu lenyap daripada laporan media.
No comments:
Post a Comment