Tuesday, October 30, 2012

Mukjizat


بسم الله الرحمان الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Apakah itu mukjizat?

Membelah laut dengan hanya satu pukulan tongkat?

Menghidupkan mayat dari kubur?!

Terbelahnya bulan di langit?!

Benar, contoh-contoh ini merupakan mukjizat Nabi-Nabi terdahulu.

Anda rasa...bolehkah mukjizat berlaku kepada manusia biasa seperti kita?

:)

Ya, saya rasa ianya suatu yang boleh diusahakan. :)

Jika kita benar-benar menghargai mukjizat yang ada di depan mata.

Wednesday, October 3, 2012

"Bilik-Bilik" di dalam Al-Quran


بسم الله الرحمان الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Wahai manusia, 
marilah kita bersyukur di atas nikmat percakapan yang dikurniakan Tuhan sekalian alam kepada kita. Kerana tidak semua manusia mampu bertutur dengan petah. Dan dalam kalangan masyarakat manusia, ada yang diuji Allah dengan ketiadaan percakapan. Subhanallah, hanya golongan itu sahaja yang benar-benar kuat imannya untuk memiliki lidah yang tidak berlisan, maka kerana itu jualah Allah Taala memilih mereka untuk mengharungi ujian tersebut, kerana firman Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Terpuji di dalam kitab-Nya (mafhum):

"Allah tidak memberati manusia melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Al-Baqarah: 286)

Maka golongan yang berupaya berkata-kata ini, janganlah kita menyangka pemilik lisan tidak diuji. Bahkan, jika difikirkan dengan akal yang sihat, Allah telah memelihara hamba-Nya yang bisu daripada pelbagai dosa yang tidak putus! Lupakah kita kepada dosa mengumpat, mencaci, memaki, dan memfitnah? Astaghfirullah al-`Azim...sebenarnya, siapakah yang benar-benar disayangi Allah di sini?

Wahai pembaca yang budiman,

Gusar hati ini, sakit kepala ini...memikirkan, dan merasakan, betapa dunia yang kita diami pada hari ini...penuh fitnah.

Satu-satunya ubat kepada penyakit hati ini, yang saya temui, yang saya percayai, yang saya yakini dan pegang dengan sepenuh hati, hanyalah kitab Allah, Al-Quran.

Bukankah pencipta kereta paling arif tentang kereta ciptaannya?
Arkitek KLCC paling arif tentang kekuatan dan kelemahannya?
Jurutera roket NASA paling faham akan prinsip fizik yang memacu kuasanya?

Maka bagaimanakah pendapat anda terhadap pencipta seluruh cakerawala yang dapat dicerap, serta pemilik alam yang ghaib?

Subhanallah, tidakkah kita meyakini kebenaran Al-Quran adalah daripada pencipta kita?

Apa yang sampai ke cuping telinga ini...membuatkanku terdiam. Perlahan-lahan, ia menyesakkan dadaku. Kerana aku teringat akan pesanan Nabi Muhammad saw, bahawa dunia akhir zaman ialah dunia yang penuh dengan fitnah. Aku...tidak dapat menerima hakikat, bahawa aku ialah manusia akhir zaman.

Apabila dunia tidak dapat menggembirakanku,
Apabila dunia membuatku hiba,
Aku berpaling daripadanya,
Dan kembali kepada Al-Quran yang selayaknya.

Kerana hanya kalimah Tuhanku,
ubat penenang hatiku.

Para sahabatku yang dikasihi Allah,

Pada saat-saat fitnah bertebaran di bumi Allah, marilah kita bersama-sama kembali kepada pesanan pemilik bumi ini:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepadamu orang fasiq membawa berita, hendaklah kamu periksa kebenarannya, (kerana takut) jika kamu menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa pengetahuan, lalu kamu menyesal atas perbuatanmu." (maksud surah Al-Hujurat: 6)

Monday, October 1, 2012

Niat dan Tujuan

بسم الله الرحمان الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Jika seseorang menulis kerana mengharapkan populariti, maka dia akan mendapatkan kemasyhuran itu.

Jika seseorang menulis supaya dirinya dikenali, pasti dirinya mempunyai ramai kenalan.

Jika seseorang menulis untuk meluahkan perasaan, sudah tentu gelojak hatinya berpindah rumah.

Namun, di manakah terletaknya sebuah kepuasan?

Kepuasan melakukan sesuatu yang diminati. Sesuatu yang dirasakan suatu anugerah.

Setiap amalan dibalas sesuai dengan apa yang diniatkan, begitu makna percakapan seorang Arab yang kusegani. Seorang Nabi yang kusayangi.

Maka aku panjatkan doa, agar setiap tinta yang terpahat di sini, atau ruang penulisan realiti kelak, menjadi pintu kepada hidayah Tuhan Yang Maha Esa. Aku meminta agar Allah sentiasa membersihkan jiwaku dengan rahmat-Nya, menggunakanku sebagai saluran hikmah, dan mengampuni dosa-dosaku, dan dosa-dosa ahli keluargaku, kerabatku, sahabat-sahabat serta para guruku.

Aku mengerti, 
apabila tiada sumber inspirasi,
bukan bermakna Sumber Ilahi itu tiada di sisi.

Subhanallah!
Dialah Allah,
Tuhan Yang Awal, dan Yang Akhir!
Dialah Yang Wujud, dan Yang Mewujudkan!
Dialah Yang Menghidupkan, dan Yang Mematikan!
Dialah sumber iman dan petunjuk sepanjang zaman.

Bahkan,
Akulah yang selalu lalai,
Ya Tuhan, 
Aku patut tahu,

Tujuan aku menulis, bukanlah sepatutnya atas dasar kenamaan. Bukan jua untuk mengejar kemewahan! Bukan juga supaya namaku menjadi sebutan.

Tapi untuk-Mu Ya Allah. Lillahi Taala.

Aku sedar...ilham-Mu. Ya, ilham Engkau Ya Rabb. Ilham milik-Mu itu menyapaku, hanya apabila hati ini benar-benar berdegup kerana-Mu.

Hanya apabila ia benar-benar ikhlas menyampaikan risalah-Mu.

Hanya apabila ia benar-benar mengasihi manusia yang alpa kerana-Mu, dan kerana itu ia mahu mengejutkan segenap jiwa yang tidur, supaya bangun! Bangun kembali berlari kepada tempat kembali!
Ilaihil masir.

Ya Allah, luruskanlah niatku. Berikanlah aku petunjuk-Mu. Jadikan aku penyampai risalah-Mu.

Sepertimana Engkau memilih para Rasul-Mu, pilihlah aku, sambungkanlah perjalanan mereka kepadaku, dan jadikanlah lebih ramai lagi penegak kalimah-Mu selepasku.

Amin, ya Rabb al-`Alamin.

"Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makanan kepada yang berhak, hubungkan silaturrahim, solat di tengah malam apabila orang lain sedang tidur, mudah-mudahan semua itu memasukkanmu ke dalam syurga." (Hadis ini direkodkan oleh Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi)

Sumber:
Rachmat Ramadhana al-Banjari. (2012). Mukjizat Solat Sunat Rasululah. Terbitan PTS. m/s 98.