Monday, October 1, 2012

Niat dan Tujuan

بسم الله الرحمان الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Jika seseorang menulis kerana mengharapkan populariti, maka dia akan mendapatkan kemasyhuran itu.

Jika seseorang menulis supaya dirinya dikenali, pasti dirinya mempunyai ramai kenalan.

Jika seseorang menulis untuk meluahkan perasaan, sudah tentu gelojak hatinya berpindah rumah.

Namun, di manakah terletaknya sebuah kepuasan?

Kepuasan melakukan sesuatu yang diminati. Sesuatu yang dirasakan suatu anugerah.

Setiap amalan dibalas sesuai dengan apa yang diniatkan, begitu makna percakapan seorang Arab yang kusegani. Seorang Nabi yang kusayangi.

Maka aku panjatkan doa, agar setiap tinta yang terpahat di sini, atau ruang penulisan realiti kelak, menjadi pintu kepada hidayah Tuhan Yang Maha Esa. Aku meminta agar Allah sentiasa membersihkan jiwaku dengan rahmat-Nya, menggunakanku sebagai saluran hikmah, dan mengampuni dosa-dosaku, dan dosa-dosa ahli keluargaku, kerabatku, sahabat-sahabat serta para guruku.

Aku mengerti, 
apabila tiada sumber inspirasi,
bukan bermakna Sumber Ilahi itu tiada di sisi.

Subhanallah!
Dialah Allah,
Tuhan Yang Awal, dan Yang Akhir!
Dialah Yang Wujud, dan Yang Mewujudkan!
Dialah Yang Menghidupkan, dan Yang Mematikan!
Dialah sumber iman dan petunjuk sepanjang zaman.

Bahkan,
Akulah yang selalu lalai,
Ya Tuhan, 
Aku patut tahu,

Tujuan aku menulis, bukanlah sepatutnya atas dasar kenamaan. Bukan jua untuk mengejar kemewahan! Bukan juga supaya namaku menjadi sebutan.

Tapi untuk-Mu Ya Allah. Lillahi Taala.

Aku sedar...ilham-Mu. Ya, ilham Engkau Ya Rabb. Ilham milik-Mu itu menyapaku, hanya apabila hati ini benar-benar berdegup kerana-Mu.

Hanya apabila ia benar-benar ikhlas menyampaikan risalah-Mu.

Hanya apabila ia benar-benar mengasihi manusia yang alpa kerana-Mu, dan kerana itu ia mahu mengejutkan segenap jiwa yang tidur, supaya bangun! Bangun kembali berlari kepada tempat kembali!
Ilaihil masir.

Ya Allah, luruskanlah niatku. Berikanlah aku petunjuk-Mu. Jadikan aku penyampai risalah-Mu.

Sepertimana Engkau memilih para Rasul-Mu, pilihlah aku, sambungkanlah perjalanan mereka kepadaku, dan jadikanlah lebih ramai lagi penegak kalimah-Mu selepasku.

Amin, ya Rabb al-`Alamin.

"Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makanan kepada yang berhak, hubungkan silaturrahim, solat di tengah malam apabila orang lain sedang tidur, mudah-mudahan semua itu memasukkanmu ke dalam syurga." (Hadis ini direkodkan oleh Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi)

Sumber:
Rachmat Ramadhana al-Banjari. (2012). Mukjizat Solat Sunat Rasululah. Terbitan PTS. m/s 98.

No comments: