Wednesday, October 3, 2012

"Bilik-Bilik" di dalam Al-Quran


بسم الله الرحمان الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Wahai manusia, 
marilah kita bersyukur di atas nikmat percakapan yang dikurniakan Tuhan sekalian alam kepada kita. Kerana tidak semua manusia mampu bertutur dengan petah. Dan dalam kalangan masyarakat manusia, ada yang diuji Allah dengan ketiadaan percakapan. Subhanallah, hanya golongan itu sahaja yang benar-benar kuat imannya untuk memiliki lidah yang tidak berlisan, maka kerana itu jualah Allah Taala memilih mereka untuk mengharungi ujian tersebut, kerana firman Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Terpuji di dalam kitab-Nya (mafhum):

"Allah tidak memberati manusia melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Al-Baqarah: 286)

Maka golongan yang berupaya berkata-kata ini, janganlah kita menyangka pemilik lisan tidak diuji. Bahkan, jika difikirkan dengan akal yang sihat, Allah telah memelihara hamba-Nya yang bisu daripada pelbagai dosa yang tidak putus! Lupakah kita kepada dosa mengumpat, mencaci, memaki, dan memfitnah? Astaghfirullah al-`Azim...sebenarnya, siapakah yang benar-benar disayangi Allah di sini?

Wahai pembaca yang budiman,

Gusar hati ini, sakit kepala ini...memikirkan, dan merasakan, betapa dunia yang kita diami pada hari ini...penuh fitnah.

Satu-satunya ubat kepada penyakit hati ini, yang saya temui, yang saya percayai, yang saya yakini dan pegang dengan sepenuh hati, hanyalah kitab Allah, Al-Quran.

Bukankah pencipta kereta paling arif tentang kereta ciptaannya?
Arkitek KLCC paling arif tentang kekuatan dan kelemahannya?
Jurutera roket NASA paling faham akan prinsip fizik yang memacu kuasanya?

Maka bagaimanakah pendapat anda terhadap pencipta seluruh cakerawala yang dapat dicerap, serta pemilik alam yang ghaib?

Subhanallah, tidakkah kita meyakini kebenaran Al-Quran adalah daripada pencipta kita?

Apa yang sampai ke cuping telinga ini...membuatkanku terdiam. Perlahan-lahan, ia menyesakkan dadaku. Kerana aku teringat akan pesanan Nabi Muhammad saw, bahawa dunia akhir zaman ialah dunia yang penuh dengan fitnah. Aku...tidak dapat menerima hakikat, bahawa aku ialah manusia akhir zaman.

Apabila dunia tidak dapat menggembirakanku,
Apabila dunia membuatku hiba,
Aku berpaling daripadanya,
Dan kembali kepada Al-Quran yang selayaknya.

Kerana hanya kalimah Tuhanku,
ubat penenang hatiku.

Para sahabatku yang dikasihi Allah,

Pada saat-saat fitnah bertebaran di bumi Allah, marilah kita bersama-sama kembali kepada pesanan pemilik bumi ini:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepadamu orang fasiq membawa berita, hendaklah kamu periksa kebenarannya, (kerana takut) jika kamu menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa pengetahuan, lalu kamu menyesal atas perbuatanmu." (maksud surah Al-Hujurat: 6)

Pesanan saya untuk diri sendiri dan kita semua,
apabila datang kepada kita suatu berita yang buruk, apatah lagi tentang saudara seislam, janganlah kita 'makan bulat-bulat' berita itu. Pastikan sumber itu ialah orang yang sangat dipercayai, seorang yang kita kenali tahap kejujurannya, dan kita kenali akhlaknya. Lebih baik lagi, hendaklah kita bersemuka dengan orang yang namanya disebutkan di dalam berita tersebut, dan tanya terus kepadanya tentang kesahihan cerita tersebut.

Bolehkah kita bayangkan apakah perasaan orang itu, jika berita itu tidak benar? Ketahuilah, jika demikian, orang itu ialah orang yang teraniaya! Orang yang dizalimi! Lebih buruk lagi, jika kita termasuk di dalam golongan yang menyebarkan berita itu, maka kita juga termasuk orang-orang yang menzalimi!

Astaghfirullah al-`azim...fahamkah kita sekarang betapa besar skala impak suatu berita, yang tidak diselidiki kebenarannya terlebih dahulu? 

Lupakah kita, bahawa doa orang yang dianiaya/teraniaya tiada hijab dengan Allah, iaitu Allah akan terus memakbulkannya?

Jika kita tidak berasa bersalah kepada orang-orang yang terbabit, maka sekurang-kurangnya...sekurang-kurangnya! Takutlah kepada Allah...Yang Maha Mendengar doa hamba-hamba-Nya.

Sebab itu, tanamkan di dalam diri sikap berwaspada. Berhati-hati dan tapislah setiap berita yang sampai kepada kita, hatta berita itu ialah tentang orang-orang yang belum lagi terbuka hatinya untuk menerima Islam sekalipun, selidikilah kebenarannya! Kerana jika benar kita mengaku berada di atas jalan yang benar, maka setiap prinsip hidup mestilah berada di atas landasan kebenaran. Ini bukanlah kata-kataku, tetapi kata-kata Tuhanmu.

Ingatlah maksud ayat 6 surah Al-Hujurat!

Kemudian pesan Allah Taala lagi;

"Orang-orang mukmin itu bersaudara, sebab itu damaikanlah antara dua orang saudaramu, dan takutlah kepada Allah, mudah-mudahan kamu mendapat rahmat." (maksud surah Al-Hujurat: 10) 
"Wahai orang yang beriman! Janganlah kaum lelaki menghina kaum lelaki (yang lain), kerana boleh jadi kaum yang dihina itu, lebih baik dari kaum yang menghina. Dan janganlah kaum perempuan menghina kaum perempuan (yang lain), kerana boleh jadi perempuan yang dihinakan itu, lebih baik dari perempuan  yang menghina. Jangan kamu mencela sesamamu dan memanggil dengan gelaran (yang tidak baik). Seburuk-buruk nama ialah fasiq sesudah beriman. Barangsiapa yang tidak bertaubat, maka merekalah orang-orang yang zalim." (maksud surah Al-Hujurat: 11) 
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan sangkaan (terhadap sesama muslim), kerana sebahagian sangkaan itu ialah dosa, dan janganlah kamu mencari aib orang lain dan jangan pula setengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah salah seorang kamu, bahawa dia memakan daging saudaranya yang telah mati (bangkai)? Maka tentu kamu benci untuk memakannya. Takutlah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang." (maksud surah Al-Hujurat: 12)

Wahai saudara-saudaraku,
jika anda tergolong di dalam mereka yang teraniaya disebabkan aku tidak berhati-hati menyebarkan berita palsu tentang dirimu, maka maafkanlah aku. Ampunilah dosa aku ketika di dunia ini...aku minta maaf kerana tidak mendengar ayat-ayat Allah ini...dan aku minta maaf kerana hanya mendengar sebelah pihak sahaja. Dan aku memohon kepada hatimu yang dilembutkan Allah, maafkanlah mereka yang sepertiku. Maafkan kami semua...kerana telah menzalimi kamu, saudara kami.

Wahai saudara-saudaraku,
bacalah, fahamilah dan dengarkanlah seruan Allah ini.

Langkah-langkah orang-orang beriman apabila mendengar suatu berita/cerita:

1. Cari / pastikan kebenaran berita tersebut. Sehingga hati kita 100% yakin akan kesahihannya. Sehingga tiada keraguan lagi.
2. Analisa berita dari kedua belah pihak dengan hati yang terbuka.
3. Tahan dahulu lidah daripada menyebarkan berita jika tidak pasti kebenaran sumbernya. Simpan di dalam hati. Mengadulah pada ilahi.
4. Jauhilah sangkaan buruk kepada individu-individu terbabit. Hadapi situasi dengan berlapang dada. Ingatlah pesan Nabi saw, "Jika apa yang dikatakan tentang saudaramu itu benar, maka kamu telah mengumpatnya. Dan jika apa yang dikatakan tentang saudaramu itu tidak benar, bererti kamu telah memfitnahnya." Dan ingatlah ayat Allah yang mengumpamakan pengumpat seperti pemakan bangkai saudaranya sendiri...tentu kita benci memakannya.
5. Tahanlah lidah daripada mencela, sedangkan kita tidak tahu kebenaran berita. 
DAN. Jika kebenaran telah nyata, tahanlah amarah terhadap penyebar-penyebar fitnah itu. Lepaskanlah api itu, kerana segala amalan mereka, bukanlah kita hakimnya. Serahkan sahaja kepada Allah kerana hanya Allah sebaik-baik hakim. Yakinlah, Allah pasti melaksanakan keadilannya di bumi ini.
6. Berhentilah daripada mencari aib orang. Carilah kebenaran, bukannya aib yang tidak berkaitan.
7. Jadilah sebaik-baik golongan, iaitu orang tengah yang mendamaikan di antara dua pihak tersebut. Perkara yang lepas, biarkanlah lepas. Dan saya yakin, hati-hati yang pemaaf mendapat pengampunan dan ganjaran yang besar dari Allah Taala. Berdamailah, kerana kita bukan tiga, dua agama, bahkan di bawah rahmat Allah Yang Maha Esa.

Wahai saudara-saudaraku,
jika anda tersalah memilih jalan dan telah menjadi pemula fitnah, bertaubatlah kepada Allah. Takutlah kepada Allah. Ingatlah, sebaik-baik manusia ialah mereka yang tinggi taqwanya kepada Allah:

"Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menjadikan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang mulia di antara kamu di sisi Allah, ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi maha Mendalam Pengetahuan-Nya." (maksud surah Al-Hujurat: 13)

Wahai saudara-saudaraku yang kukasihi kerana Allah,
Janganlah kita menyangka kita telah mengenali baik buruk akhlak seseorang sebelum kita melakukan 3 perkara dengannya: 

1)makan bersamanya 
2)tidur bersamanya 
3)bermusafir bersamanya (pesanan Imam Al-Ghazali.) 

Jika kita ragu-ragu tentang akhlak seseorang, bertanyalah kepada sahabat baik orang tersebut, yang pernah melakukan ketiga-tiga perkara ini. Jangan dengar cakap saya, tetapi dengarlah kata-kata orang soleh seperti Imam Al-Ghazali. Dan dengarlah kata-kata Tuhanmu

"Jauhilah kebanyakan sangkaan (terhadap sesama muslim), kerana sebahagian sangkaan itu ialah dosa."

Saya cintakan perdamaian, kerana saya ialah seorang muslim. Islam ialah agama yang mewajibkan pengikutnya berdamai hatta di dalam peperangan sekalipun, jika musuh menawarkan perdamaian, maka kita wajib berdamai (mengikut Al-Quran setakat yang saya baca dan faham).

Maka saya meyakini, anda semua juga ialah pencinta perdamaian, kerana, bukankah anda juga, seorang muslim? :)

Marilah kita saling berpesan dengan kebenaran, dan saling berpesan dengan kesabaran.

Semoga Allah Taala mengampuni dosa-dosa kita, dan memberikan taufiq dan hidayah-Nya kepada kita. 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

No comments: