Monday, May 7, 2012

Hati Belum Beriman, Tapi Akhlak Orang Beriman


بسم الله الرحمان الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


LONDON: Seorang lelaki genius yang memiliki 11 ijazah universiti dan boleh bercakap lima bahasa dengan lancar, bekerja sebagai pengawal lalu lintas di sebuah sekolah.

Dr Bruce Berry adalah antara orang paling pintar di Britain.

Tetapi, selama lima hari seminggu, dia mengayuh basikal sejauh enam setengah kilometer untuk membantu kanak-kanak sekolah menyeberang jalan. 

Bruce, 70, yang memperoleh ijazah Doktor Falsafah dengan tesis 425 muka mengenai penulis kelahiran Russia, Andrei Makine, berkata: 

“Saya gemar berusaha mendapatkan ijazah. Tetapi saya ingin melakukan sesuatu untuk masyarakat. Saya seronok dapat membantu memastikan kanak-kanak selamat ketika pergi dan balik sekolah.” 

Selain PhD, Bruce mempunyai tiga Ijazah Sarjana Muda, tujuh Ijazah Sarjana dan lancar bercakap bahasa Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol dan Russia.

Berry yang masih bujang dan berasal dari Sharlston, West Yorks, mula bekerja sebagai kerani pejabat pos dan belajar ketika mempunyai waktu terluang sebelum menjadi penterjemah.

Bruce menerima gaji sebanyak RM1,000 sebulan untuk mengawal lalu lintas di luar Sekolah Crofton, Wakefield, tempat bapanya pernah mengajar.

“Saya merasakan diri saya sebahagian daripada keluarga di sana,” katanya. - DM

"Alangkah beruntungnya dia jika dia beriman. Tentu banyak pahalanya," detik hatiku.

"Inilah dia orang yang tidak beriman, tetapi memiliki akhlak orang beriman," kata naqibahku.

Siapakah orang yang rugi?

Para pembaca yang dikasihi Allah,

Siapakah sebenarnya orang yang rugi?

Dr. Bruce Berry?

Ya. Mungkin muslimin muslimat mengatakan Dr Berry ialah orang yang rugi. Rugi kerana belum terbuka hatinya mencari dan melihat hidayah Allah. Di akhirat, dia termasuk orang-orang yang rugi. Terpinggir daripada rahmat Allah kerana hatinya meminggirkan Allah di dunia.

Hmm..tetapi bukankah muslimin muslimat juga orang yang rugi?

Mengapa? 
Kerana kita diberikan hidayah dengan izin Allah, tetapi tidak mempamerkan ciri-ciri orang yang diberi hidayah.

Baiklah. Saya ingin bertanya, jika anda mempunyai sebuah kereta...contohnya Mercedes Benz. Tetapi anda ke tempat kerja dengan berjalan kaki. Emm, tidakkah orang di sekeliling mengatakan anda...

"Gilakah dia??"

"Buang tabiat betul!"

"Mungkin dia nak bersikap zuhud..walaupun kaya dan berharta tetapi ingin merasakan kesusahan hidup supaya tidak lupa kepada Tuhan.." (pendapat manusia husnuzon, 5% daripada masyarakat dunia)

Bayangkan Mercedes itu hidayah Allah. Ya, sudah tentu hidayah Allah jauh lebih bernilai daripada mana-mana kereta mewah di bumi ini, hatta lebih mahal daripada pesawat Apollo sekalipun. Sudah pasti!

Ini hanyalah sebuah perumpamaan. Harta yang tidak ternilai kepada manusia pengumpul harta dunia ialah kereta mewah, manakala harta kepada pengumpul saham akhirat ialah petunjuk Allah.

Wahai para pemilik modal saham akhirat,

Tidakkah kita berasa rugi tidak melaburkan modal ini?

Di manakah pakaian yang melambangkan bahawa kitalah manusia yang dipilih Tuhan dengan rahmat dan kasih-Nya?

Di manakah akhlak muslim yang selalu 'dipakai' Rasulullah saw dan para sahabatnya itu?

Kita dianugerahi harta yang sangat mahal...tetapi pakaian kita tetap compang-camping.

Kita dikurniakan hidayah...tetapi kenapa...kenapa akhlak kita bukan cerminan apa yang menetap di dalam hati-hati kita..?

Renungkan, wahai sahabat dan teman.

Renungkan...siapakah sebenarnya manusia yang rugi.

Bruce Berry?




Atau mungkinkah...kita sendiri.

Wallahu `alam (Dan Allah lah yang lebih mengetahui).

No comments: