Friday, August 10, 2012

Penunggang yang Berhijrah - bahagian 2


بسم الله الرحمان الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Masih ingatkah anda kepada sahabat Nabi saw, iaitu Si Penunggang Yang Berhijrah?

Itulah julukan yang diberikan oleh Rasulullah saw kepada sahabat baginda `Ikrimah bin Abu Jahal.


Alhamdulillah, `Ikrimah memeluk Islam selepas peristiwa Fathu Makkah (Pembukaan Makkah), selepas lebih 20 tahun era permusuhan dengan Islam.

Dan bilakah berlakunya Fathu Makkah para pembacaku yang budiman?

Ya, pada bulan ini, bulan Ramadhan yang diberkati.

Yang Penting Ialah Pengakhiran

Para sahabat dan pembaca yang dirahmati Allah,

Tiada siapa tahu bagaimana kesudahan hidup kita. Semua itu ialah rahsia Allah Taala sebagai hikmah, dan sebagai renungan ciptaan-Nya.

Harapan setiap muslim ialah dapat mati dalam husnul khotimah, iaitu kesudahan yang baik. Apakah kesudahan yang terbaik itu? 

Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yg beriman! Bertaqwalah kepada Allah dgn sebenar-benar taqwa, dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." (Surah Ali `Imran: 102)

`Ikrimah ra. telah mendapat husnul khotimah itu. Dengan rahmat Allah, beliau benar-benar berhijrah. Benarlah julukan Nabi Muhammad saw kepada beliau, "Penunggang yang berhijrah".

Muslim Sejati

Sambungan daripada bahagian 1:

"Sesungguhnya saya bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah. Dan saya bersaksi bahawa kamu adalah hamba dan Rasul-Nya."

Kemudian pinta beliau:

"Wahai Rasulullah! Ajarkan kepada saya kata-kata yang paling baik untuk saya ucapkan."

Nabi Muhammad saw menerangkan, "Kamu sebut, saya bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah hamba dan rasul-Nya."

"Kemudian apa lagi?" tanya `Ikrimah kembali.

"Kamu berikrar, "Saya bersaksikan Allah dan semua yang hadir di sini bahawa saya adalah seorang muslim, mujahid dan seorang yang berhijrah."

Tanpa berfikir panjang `Ikrimah mengikrarkan semua itu.

Dengan itu Nabi saw bersabda kepadanya:

"Pada hari ini, kamu tidak minta kepada saya sesuatu yang pernah saya berikan kepada seseorang, melainkan saya akan berikannya kepada kamu."

Maka `Ikrimah mohon dengan penuh hormat,

"Sesungguhnya saya memohon kepada tuan agar meminta keampunan bagi saya di atas segala permusuhan yang saya lakukan, semua perjalanan yang saya tempuhi, seluruh pertembungan dengan tuan yang saya terlibat dan setiap kenyataan saya mengenai tuan baik di hadapan ataupun di belakang tuan."

Rasulullah saw lantas berdoa:

"Ya Tuhanku, ampunkan baginnya setiap permusuhan yang telah dilakukan kepada saya dan setiap perjalanan yang dilaluinya untuk memadamkan cahaya-Mu. Dan ampunkan baginya apa sahaja yang disebutkan menyentuh maruahku baik di hadapan mahupun di belakangku."

Muka `Ikrimah terpancar kegembiraan. Beliau berkata:

"Wahai Rasulullah! Demi Allah saya tidak akan biarkan satu pun perbelanjaan yang telah saya belanjakan untuk menghalang jalan Allah, melainkan saya akan belanjakan satu kali ganda daripadanya di jalan Allah. Tiada satu peperangan yang telah saya lakukan untuk menghalang jalan Allah melainkan saya lakukan satu kali ganda untuk jalan Allah."

***

Kualiti Sahabat Rasulullah

Satu perkara yang saya perhatikan, apabila membaca kisah para sahabat Nabi...saya dapatkan suatu kualiti. 

Sepertimana kita selalu membandingkan kain A dengan kain B, kuali A dengan kuali B, kita pasti mencari dan mahukan kualiti yang terbaik. 

Para sahabat Nabi memancarkan kualiti yang berbeza dalam konteks "produk manusia". Bukankah manusia ialah "produk Tuhan"?

You can just feel it, you know? Kita dengan mereka...lain. Jauh berbeza.

Pada hari ini, bolehkah kita menemui seorang muslim seperti `Ikrimah?

Sebaik sahaja membersihkan jiwanya dengan kalimah syahadah, terpancar semangat untuk menegakkan kebenaran! Beliau meminta supaya Rasulullah saw mengajarkannya kata-kata yang paling baik untuk diucapkan.

Dan Rasulullah saw dengan hikmahnya memilih kata-kata yang bertepatan dengan situasi `Ikrimah ketika itu. 

Kata-kata yang paling baik ialah kesaksian syahadah. Lalu `Ikrimah dengan semangatnya yang berkobar-kobar bertanyakan, apa lagi yang paling baik setelah itu?

Lalu Nabi saw berkata:

"Kamu berikrar, "Saya bersaksikan Allah dan semua yang hadir di sini bahawa saya adalah seorang muslim, mujahid dan seorang yang berhijrah."

Cantik bukan kata-kata baginda?

`Ikrimah kini ialah seorang muslim. Lalu baginda menyematkan gelaran "mujahid" agar semangat jihad `Ikrimah terus membakar, dan menyifatkan `Ikrimah seorang yang berhijrah, sebagaimana pesanan baginda kepada para sahabatnya sebelum kedatangan `Ikrimah. (lihat bahagian 1) Sangat sesuai! Kamu wahai `Ikrimah, ialah kini seorang yang berhijrah kepada kebaikan dan kepada Islam!

Tiada lagi jahiliah yang lalu. Di hadapannya kini ialah `Ikrimah yang baru. Dengan semangat dan keazaman yang baru. Dengan iman dan niat yang baru.

`Ikrimah ra. ialah seorang yang pintar, pada pandanganku. Apabila ditawarkan suatu permintaan oleh Nabi saw, beliau tidak meminta emas, permata, atau kuasa. Apa yang beliau harapkan hanyalah keampunan Allah di atas segala dosanya terhadap Allah, Rasulullah dan Islam. Beliau memanfaatkan tawaran itu dengan meminta Rasulullah mendoakan keampunan baginya, secara spesifik, dan juga terhadap segala kutukan terhadap Rasulullah, baik di depan, mahupun di belakang.

`Ikrimah tidak lagi berfikir tentang dunia. Beliau sudah nampak akhirat di depan matanya. Kerana itulah, beliau tahu, hanya keampunan Allah, dan doa nabi Allah yang makbul, yang dapat menyelamatkannya daripada azab neraka.

Akhir sekali, `Ikrimah berjanji kepada Rasulullah untuk menebus permusuhannya dengan Islam, dengan jihad satu kali ganda lebih tinggi di jalan Islam.

Kalaulah kita...mampukah kita berhijrah dalam sekelip mata?

Daripada berpaksikan dunia kepada orientasi akhirat?

Mampukah kita berjanji untuk menggandakan jihad di jalan Allah setelah permusuhan sekian lama?

Untuk beristiqamah dengan kebaikan-kebaikan kecil...subhanallah, cukup teruji, inikan pula untuk berubah 180 darjah.

Don't be a Judge

Kisah `Ikrimah ra. mengajar kita supaya jangan menilai luaran seseorang sahaja. Dan jangan terlalu cepat meletakkan markah dengan hanya first impression.

Mungkin hari ini dia free hair. Esok lusa, boleh jadi tudungnya lebih sempurna daripada tudung kita.

Hari ni dialah yang paling kuat bergosip (a.k.a. mengumpat). Esok, suaranyalah yang paling kerap kedengaran membaca Al-Quran.

20 tahun Rasulullah berdakwah, mengajak manusia kepada Islam. 20 tahun itu jugalah `Ikrimah menentang, memusuhi, malah berniat membunuh Rasulullah.

Akhirnya, bagaimana Allah mengajar kita? 
Dengan mengurniakan hidayah kepada musuh-Nya.

Bagaimana Rasulullah mengajar kita?
Dengan kelembutan, hikmah dan kemaafan.

Bagaimana `Ikrimah mengajar kita?
Dengan menerima hidayah Allah, mereguk hikmah Rasulullah, dan mengajar kita:

"Don't judge a book by its cover! Someday, insya-Allah (by Allah's will), that 'book' will be the best 'book' Islam has ever read!"

Bukan tugas kita untuk menilai baik buruk seseorang. 

Tugas kita hanyalah menyampaikan, sepertimana Rasulullah saw menyampaikan kepada `Ikrimah. 

Kemudian Allah lah yang memberi hidayah-Nya.

Allahu`alam.

Rujukan: 65 Gambaran Kehidupan Sahabat. karangan Dr Abd Rahman Ra`fat al-Basha. terbitan Pustaka Salam Sdn Bhd. (2006). m/s125-126.

No comments: