بسم الله الرحمان الرحيم
Terangnya siang, kerana matahari.
Indahnya malam, kerana bulan.
Terpesonanya aku, dengan ciptaan-ciptaan Tuhan.
Ucapkanlah subhanallah, wahai rakan dan taulan.
Malam ini
Suatu kelainan
Kerana munculnya bulan
Dengan wajahnya yang satu itu
Hanya menjengah di pertengahan,
Tiada pada awal,
Juga lenyap pada akhir.
Malam ke-15
Bulan menampakkan wajah purnama.
Aku sering terlupa
Sebagaimana fitrah kejadian manusia
Sang khalifah yang alpa
Namun Tuhanku Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,
Dihulurkan hidayah-Nya kepada hamba-hambaNya yang beriman,
Dicurahkan kasih-Nya kepada yang memerlukan,
Diketuk-Nya hati, saat hamba-Nya kealpaan.
Aku terlupa,
Untuk memerhati keajaiban
Tidakku perlu kepada jatuhnya bulan ke riba,
Atau hilangnya bulan dalam sekelip mata,
Atau menyaksikan Nabi-Nya membelahnya dua,
Itu...ialah keajaiban di luar batasan,
Akan tetapi kita sering terlupa dengan keajaiban yang lebih dekat
Cukuplah keindahannya, peranannya dalam keseimbangan perjalanan kehidupan di bumi biru ini,
Menjadi bukti kekuasaan dan keagungan Tuhanku.
Bulan,
Indah sinarmu di langit malam
Mengingatkanku...kepada kekasih keduaku,
Selepas Allah,
maka ke manakah tumpahnya kasihku yang sekecil semut hitam ini?
Atau barangkali sebesar atom Hidrogenkah?
Atau sebesar elektron yang mengelilinginyakah?
Atau barangkali lebih kecil daripada itu...
Walau picisan,
Tetapi jika itulah yang hatiku miliki,
Maka ingin kuserahkan jua kepadanya,
kepada Muhammad Rasulullah sallahu `alaihi wasallam.
Bulan,
malam ini engkau sungguh berjasa
engkau telah membuka hatiku kembali mengingatinya..
Rasul yang sering kali aku lupai
Adakah makanku sepertinya?
Adakah cara berjalanku persis dirinya?
Adakah baringku di tempat tidur mirip baringnya?
Adakah pakaianku menyerupai pemakaiannya?
Adakah tutur bicaraku selembut bicaranya?
Adakah ibadahku sampai separuh ibadahnya?
Adakah kasihku kepada Islam sedikitpun seperti lautan kasihnya?
Dan adakah...adakah..ingatanku kepada Tuhan Yang Menciptakan, menyamai ingatan baginda kepada temannya Yang Maha Tinggi lagi Maha Terpuji itu?
Sedangkan Tuhan Yang Menciptakan adalah sama!
Sedangkan baginda dan diriku yang tidak layak ditulis sebaris bersama namanya ini,
berasal daripada Tuhan yang sama!
Apakah ada Tuhan lain yang berkuasa Menghidupkan dan Mematikan selain Allah?
"Ash-hadu al la ilaha illallah, wa ash-hadu anna Muhammadar rasulullah"
Aku kurang pasti,
apakah kata-kata pujangga asalnya,
atau dari tutur bicara Nabi (saw) sendiri,
"Muhammad saw umpama bulan (purnama) di langit, sedangkan para sahabatnya ialah bintang-bintang di langit malam."
Pada kesempatan yang sama
Inginku mencatatkan kata-kata hatiku sendiri,
"Tiada siapa yang dapat membuktikan kebenaran suatu kata-kata, melainkan setelah melihatnya dengan matanya sendiri."
Pada malam satu dalam sebulan ini
Allah Taala memalingkan wajahku ke angkasa
Dengan bermaksud memberi kerehatan kepada mataku
Juga bermaksud menunjuki suatu gambaran yang Dia tahu, selamanya tidak ingin kulupakan
Dengan tujuan memberi hatiku, makan.
Tahukah kamu...
Betapa istimewanya sinaran purnama itu..
Terangnya tidak menyilaukan, seperti raja angkasa siang, Sang Matahari,
Akan tetapi terangnya putih...bersih...lembut, tidak menyakitkan pandangan..
Walau cahayanya tidak sekuat matahari
Aneh...ia tetap teguh menyinari angkasa malam..
Seolah-olah ia lah cahaya tatkala sekelilingnya kegelapan,
Seolah-olah ia lah petunjuk tatkala dunia di sekelilingnya kesesatan,
Seolah-olah ia berkata, "jangan bimbang, aku ada di sini. Datanglah kepadaku (peluklah agama yang kubawa) maka (insya-Allah) kamu akan beroleh petunjuk."
Langit di sekelilingnya,
Tersuluh terang dek cahaya rembulan,
Kemudian sepasang mata ini mencerap lagi,
Lalu tertancaplah pada pandangan,
Bintang-bintang kecil
Yang bergemerlapan jauh di cakerawala.
Sejenak...
Seketika...
Buat sesaat cuma...
Aku menghirupi ibrah yang ditunjuki Tuhanku Yang Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana. (Tersenyum pula)
Iaitu,
Bulan purnama ibarat Nabi-Nya Muhammad saw,
manakala bintang-bintang umpama sahabat2 baginda.
Kedua-duanya mengeluarkan cahayanya sendiri,
Akan tetapi magnitud cahaya rembulan tentunya tidak dapat dilawan,
Lihatlah sendiri, dan mata akan mendapati,
Jauhnya perbezaan kekuatan cahaya mereka...
Satunya begitu besar dan dekat, cahayanya melimpah-limpah di sekelilingnya,
manakala bintang2 berkelipan, seperti titik noktah sahaja cahayanya.
Akan tetapi,
kata iman di dalam hati,
"Cuba lihat pula diri sendiri. Rasulullah bulan. Sahabat2 baginda bintang bergemerlapan. Kamu pula? Kaki masih terpacak di bumi Allah yang nyata. Maka bagaimanakah kamu sanggup mengecam cahaya bintang bagaikan noktah di kaki langit? Kamu itu tidak mengeluarkan cahaya walau satu per trillion pun drpd cahaya noktah itu!"
Bahkan kamu (saya)...
Hanyalah insan biasa
Yang kakinya di bumi
mendongak ke langit yang tinggi.
Begitulah perumpamaan kami..
Bulan, Bintang dan Diri Sendiri..
Rasulullah saw membawa petunjuk, rahmatal lil `alamin*
Para sahabat baginda r.ahum. yang terawal mengikuti, menempati kedudukan yang mulia di sisi pembawa berita gembira*
Sedangkan diri...
Hendak istiqamah (mengikuti petunjuk) walau sehari,
Wahai Allah Taala, bantulah kami.
*rahmatal lil `alamin = rahmat kepada seluruh alam
pembawa berita gembira = Rasulullah saw
No comments:
Post a Comment