Saturday, June 27, 2009
Bulan Rejab tiba jua akhirnya. Ketibaannya membawa beberapa makna buat umat Islam sepertiku.
Pertama, ianya menandakan betapa masa telah berlalu. Tidak sangka sudah sampai bulan Rejab dalam tahun 1430H. Tidak lama lagi tibalah tahun 1431H. Cepat benar masa berlalu, terasa bagaikan melayang di depan mata, seolah-olah ia melambai-lambai mengucapkan selamat tinggal kepadaku..orang yang tidak pandai menghargai masa.
Apa pula maksud yang kedua?
Cuba kita sebut bulan-bulan Islam satu persatu..Muharram, Safar, Rabiul Awal, Rabiul Akhir, Jamadil Awal, Jamadil Akhir, Rejab, Sya'ban, Ramadhan.. ok brek! Ya, lagi dua bulan sahaja lagi sebelum Ramadhan datang kembali. Bagi mereka yang belum habis berpuasa ganti, cepat-cepatlah sikit ya!
Sebenarnya bulan Rejab ini antara bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT. Banyak buku di pasaran yang menerangkan amalan-amalan yang baik diamalkan pada bulan-bulan yang mulia dalam Islam seperti Rejab, Sya'ban dan Ramadhan.
Saya tidak begitu pasti, tetapi rasanya bulan Rejab adalah salah satu bulan yang diharamkan berperang dalam Islam. Konsep bulan-bulan yang haram ini sebenarnya berasal daripada bangsa Arab itu sendiri. Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab telah pun mempunyai peraturan tidak dibenarkan berperang atau menumpahkan darah sesama mereka di dalam bulan-bulan haram ini.
Umat Islam sepatutnya mempunyai perasaan ingin tahu tentang sejarah umat Islam terdahulu. Misalnya apakah peristiwa-peristiwa istimewa yang berlaku pada bulan-bulan tertentu. Tak payahlah tengok orang lain, diri sendiri ini pun bukannya tahu menahu sangat. Teruk kan? (jungkit bahu)
Salah satu peristiwa yang cukup bersejarah ialah peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah SAW ke langit pada 27 Rejab. Kalau tidak salah, peristiwa ini berlaku selepas Rasulullah SAW kematian isteri dan bapa saudaranya. Mungkin Allah SWT ingin menghiburkan hati baginda, agar tidak terlalu bersedih dengan pemergian dua orang insan yang paling kuat menyokongnya. Maka Allah SWT membawa kekasihnya Muhammad SAW mengalami satu perjalanan yang cukup istimewa yang belum pernah dialami oleh mana-mana manusia sekalipun. Maka naiklah Rasulullah ke langit dengan izin Tuhan-Nya.
Maaflah kerana saya tidak banyak pengetahuan tentang peristiwa yang cukup bersejarah ini. Kecetekan ilmu kebanyakan generasi muda, seperti saya, sudah cukup menggambarkan kemunduran umat. Masa yang terluang tidak digunakan sebaiknya. Entah apalah yang saya lakukan sepanjang tahun ini, tapi..haha, yang kelakarnya, saya tak dapat ingat satu pun perkara yang boleh dibanggakan sepanjang tempoh enam bulan pertama 2009. Ya, bukan sahaja kalendar Islam yang berjalan, kalendar masihi turut berjalan. Enam bulan tahun 2009 telah berlalu..tapi melihatkan diri sendiri, seolah-olah masa tidak pernah berlalu. Masih di takuk lama, kata orang. Memalukan Allah dan Rasul-Nya sahaja...
Jadi, bersempena bulan Rejab yang mulia ini, rajin-rajinkanlah melakukan amalan sunat seperti berpuasa, semoga segala yang dilakukan mendapat pahala dan keberkatan di sisi Tuhan. Rajinkanlah diri juga mencari apa-apa informasi berguna dan penting berkenaan bulan Rejab ini. Mungkin, jika kita berusaha mengingati bulan Rejab, maka Tuhan bulan Rejab juga tidak akan melupakan kita..
Posted at 1:21pm
No comments:
Post a Comment