Akhirnya siri ini telah tiba di penghujungnya. Adakah anda tertanya-tanya, apakah yang menjadi 'tajuk perbincangan' terakhir Nabi Muhammad SAW dengan Iblis?
Rasulullah SAW : Hai Iblis! Siapakah yang menyokong engkau?
Iblis : Orang yang tidak bertaubat atas dosanya dan suka ketawa ketika berbuat dosa. Ya Nabi Allah! Telah hamba binasakan ramai manusia dengan (menggoda mereka) mengerjakan berbagai-bagai jenis maksiat, maka hamba gembira.
Tiba-tiba mereka mengucapkan kalimah-kalimah "La Ilaha Illallah" dan istighfar, maka binasalah hamba dengan sebab ucapan itu.
Dan satu keuntungan besar bagi hamba iaitu apabila manusia bersiul-siul, (manusia) itulah anak buah hamba; kerana pada masa hamba dibuang ke dunia (dulu), hamba mengembara sambil bersiul-siul, dan orang yang bersiul-siul itu ialah penghibur iblis dan syaitan, tetapi orang yang berazan itu ialah penghalau iblis dan syaitan, kerana para malaikat akan hadir bersolat bersama-sama mereka.
Bukankah selalu orang tua berpesan dan melarang kita daripada bersiul? Kerana bersiul-siul itu perbuatan syaitan. Janganlah kita mengikut perbuatan syaitan atau iblis, walaupun perkara itu kelihatan remeh seperti bersiul. Kerana sekali kita mengikut jejak langkah syaitan, mereka (syaitan) akan mengajak kita melakukan perkara-perkara jahat yang tidak pernah kita bayangkan kita akan lakukan sebelum ini.
Saya ingin menarik perhatian pembaca untuk mendalami situasi di atas. Iblis berkata bahawa setelah dia (serta Nabi Adam dan Hawa a.s) diturunkan oleh Allah SWT ke bumi, sebagai hukuman bagi mereka semua, iblis serta manusia. Mereka tidak lagi dibenarkan hidup dengan senang lenang di syurga, sebaliknya terpaksa berusaha sendiri untuk meneruskan kehidupan, di bumi yang penuh dengan binatang-binatang buas dan pelbagai lagi cabarannya.
Setelah diturunkan ke bumi, Nabi Adam a.s menangis sepuas-puasnya kerana menyesali perbuatannya iaitu melanggar larangan Allah.
Berbeza pula halnya dengan Iblis. Apa yang dia lakukan? Ya, seperti yang dikatakannya sendiri, dia bersiul-siul sambil mengembara. Langsung tiada penyesalan dan tiada tanda-tanda dia mahu bertaubat, apatah lagi menyesali keingkarannya terhadap Allah SWT. Hanya orang yang gembira sahaja yang akan bersiul. Ini menunjukkan Iblis 'gembira' ataupun tidak berasa apa-apa sedangkan dia telah banyak mengingkari perintah Allah. Pada bahagian akhir dialog ini, Rasulullah sendiri telah menerangkan apakah sebenarnya kesalahan Iblis kepada Allah SWT, jadi teruskan membaca.
Justeru, jika kita, manusia mengikut cara Iblis itu, yakni bersiul-siul, seolah-olah kita juga menderhaka kepada Tuhan! Kerana asal-usul perbuatan bersiul itu ialah daripada Iblis, di mana dia bersiul-siul setelah dia berjaya mengeluarkan Nabi Adam dan Hawa a.s dari syurga dengan hasutannya yang licik itu. Setelah penipuannya berjaya, dia bersiul dengan gembira. Makhluk jenis apakah yang gembira setelah berjaya menipu orang, lebih-lebih lagi, dia menipu manusia? Maka janganlah kita menuruti perbuatan Iblis yang jahat ini. Apabila hendak 'beramal' dengan sesuatu perkara, selidiklah dulu asal usulnya.
Rasulullah SAW : hai Iblis! Sekarang apakah kesudahan ikhtiar engkau ke atas umatku, kerana aku telah dibangkitkan oleh Tuhan ke dunia ini bagi menyelamatkan sekelian bani Adam daripada kufur kepada iman, daripada gelap-gelita kepada terang benderang!
Maka Iblis pun mengangkat kepalanya ke hadhirat Tuhan dan berkata :
"Ya Rabbi! Demi kemuliaan Engkau, sentiasalah hamba akan berusaha bersungguh-sungguh pada menarik sekelian anak Adam kepada berbagai-bagai jalan maksiat selama ada nyawa di tubuh mereka, hamba jadikan pemuda dan wanita bercampur dan berkenalan, supaya hamba dapat mencelah di dalamnya."
(Maka) datanglah firman Allah SWT :
"Hai malaun! Demi Kebesaran dan Ketinggianku, bahawa Aku sentiasa
bersedia mengampuni dosa umat Muhammad selagi mereka itu memohon ampun
kepada-Ku."
Iblis mengatakan bahawa tipu daya terakhirnya, apabila sudah habis ikhtiarnya, ialah berusaha menggoda kita melakukan maksiat, dan, perhatikan, katanya juga dia akan menggalakkan lelaki dan perempuan bercampur. Supaya apa? Apakah keuntungan yang akan diperolehinya? Supaya dia dapat mencelah di antara kedua mereka itu. Supaya dia dapat menjadi "orang ketiga". Dan tugasnya menjadi lebih mudah sebab pancaindera manusia tidak mampu untuk menyedari kehadirannya.
Tidak sangka Iblis juga pernah mengalami keadaan yang mendesak atau dalam bahasa Inggeris "desperate". Ya, betul tu. Tetapi caranya yang paling terdesak sekali itulah yang paling berkesan. Malang betul, kan?
Rasulullah SAW : Hai Iblis! Apa lagi yang engkau musykilkan?
Iblis : Ya Rasulullah! Bahawasanya hamba sangat ajaib (hairan) melihat dua macam hal sekelian hamba Allah SWT iaitu;
1.Mereka itu mengaku kasihkan Tuhan, walhal mereka itu taatkan hamba dan berbuat maksiat
2.Mereka itu sangat marah kepada hamba, tetapi mereka menurut hasutan hamba.
(Maka) Datanglah firman Allah SWT :
"Hai malaun! Demi Kemuliaan dan Kebesaran-Ku, Aku anugerahi umat Muhammad dua kebahagiaan;
1.Kasih mereka kepada-Ku dijadikan kifarah (penebus dosa) bagi maksiat mereka kerana tipu dayamu,
2.Kemarahan mereka kepadamu Aku jadikan kifarah (penebus dosa) perbuatan maksiat mereka kepada-Ku."
Maka Iblis tercengang-cengang mendengar umat Muhammad yang sangat dikasihi Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang kepada hamba-Nya, dengan limpah rahmat-Nya.
Setelah selesai baginda Rasulullah berdialog dengan Raja Iblis, maka baginda menghalau iblis dengan sabdanya, "Wahai laknaullah! Nyahlah engkau dari hadapanku in."
Maka Iblis pun keluar dengan perasaan amat berdukacita.
Maka hairanlah para sahabat yang hadir dalam majlis berkenaan mendengar tipu daya Iblis yang menyelubungi seluruh umat manusia.
Sabda Rasulullah SAW :
"Hai para sahabatku! Ketahuilah olehmu bahawa Iblis telah membuat kesalahan atas beberapa sebab;
1.Ia ingkar dan membantah perintah Tuhan
2.Ia takbur dan besar diri
3.Ia berhasad dengki terhadap Nabi Adam a.s
4.Ia menghasut dan mengkhianati dari seorang(manusia) kepada seorang manusia yang lain seperti yang telah ia ajarkan kepada Qabil dengan tipu dayanya sehingga Qabil berani melakukan pembunuhan ke atas saudaranya Habil yang disayangi oleh Nabi Allah Adam a.s"
Sabda Nabi SAW :
"Bahawa pada suatu hari, Iblis menghadap Nabi Musa bin Imran a.s dan berkata, "Ya Nabi Allah! Apabila Tuan Hamba bermunajat kepada Allah SWT di Bukit Tursina, maka hamba hendak bertaubat kepada Allah SWT, adakah (taubat) hamba diterima?"
Maka sukacitalah Nabi Musa a.s mendengarkan Iblis yang hendak bertaubat itu, lalu baginda menyanggupi permintaan Iblis. Setelah tiba di Bukit Tursina, maka berdoalah baginda kepada Allah SWT memohon petunjuk. Maka datanglah firman Allah SWT, "Wahai Musa, kesalahan Iblis boleh Ku ampunkan dengan syarat hendaklah ia(Iblis) bersujud kepada kubur Nabi Adam."
Maka Nabi Musa a.s pun menyampaikan firman Allah SWT kepada Iblis. Iblis mengeluh dan berkata, "Wahai Nabi Musa! Semasa Adam masih hidup pun hamba tidak sudi bersujud kepadanya, inikan pula, Adam telah mati."
Maka Iblis pun beredar."
Sabda Nabi SAW :
"Bermulanya (tegaknya) tiang dunia ini dengan 4 perkara;
1.Dengan ilmu para ulama
2.Dengan adilnya sekelian raja-raja
3.Dengan kemurahan (hati) orang-orang kaya
4.Dengan doa sekelian fakir miskin.
Maka sekiranya tidak ada ulama, nescaya binasalah sekelian orang yan jahil, dan sekiranya raja-raja tidak adil, nescaya (segolongan) manusia (ibarat) memakan manusia yang lain, sebagaimana harimau menghambat dan memakan kambing. Sekiranya (pula) tidak ada kemurahan (hati) orang-orang kaya, nescaya binasalah sekelian fakir miskin, dan sekiranyan tidak ada doa fakir miskin, nescaya runtuhlah langit dan bumi."
Nota: Keseluruhan siri ini diambil daripada buku "Rahsia untuk Umat Islam", terbitan E Noble Marketing, Ogos 2007, susunan Nazri Zakaria, m/s 5-27)
Posted at 10:14am
No comments:
Post a Comment