Monday, June 15, 2009
Hai, dunia ini memang tidak pernah kurang dengan manusia yang pelik. Contohnya seperti manusia-manusia yang sanggup melakukan aksi-aksi ekstrim semata-mata kerana hendak nama mereka tercatat dalam Guiness Book of Records. Macam-macam yang mereka buat; ada yang duduk sekali dengan beribu-ribu kala jengking dalam satu tab mandi, ada yang boleh keluarkan bola matanya sampai nampak BULAT terjojol (nasib baik boleh masuk balik macam biasa), ada pula yang gunakan cuping telinga mereka yang elastik itu untuk melakukan rekod 'menembak' seberapa banyak kacang-kacang kecil masuk ke dalam bekas dalam masa satu minit. Pelik, pelik. (sambil geleng kepala)
Tapi, pernah tak anda dengar orang yang berada dalam dilema..sebab dia tidak tahu bagaimana hendak menerima KELEBIHAN dirinya? (Haa?? Terlopong)
Hai, itulah saya cakap, dalam banyak-banyak manusia yang pelik-pelik perangainya di bumi ini, ada pula yang tidak pandai nak menerima kelebihan diri. Betul, ini kisah benar. Dan yang lebih memalukan ialah..ini kisah sang penaip artikel ini.
Memang malu dan pelik rasanya untuk mengaku, tapi perkara ini betul-betul berlaku pada diri saya. Saya tak tahu macam mana nak terangkan..
Sejak saya kecil lagi (nostalgia..), saya rasakan diri ini banyak kekurangannya. Ehem, nombor satu, saya ini pendek. Memang kecik..ada satu kisah ni, waktu saya darjah lima, saya berpindah ke sekolah baru. Lepas habis perhimpunan pagi, saya pun masuk la kelas 5 bakti. Lepas tu..orang lain pun masuk. Tahu tak, diorang ingat saya ni adik sapela..tersesat masuk kelas senior ni. (Eii..geramnya..lepas tahu..) Itu namanya kureng bin asam tak cukup garam. Masa darjah enam pun, berat badan..alahai, cuma 20 kg..tak pun lebih 1 kg lagi. (Sekarang ni tak payah cakapla..terlebih kuota indeks BMI unggul..haha)
Sudahlah pendek, saya ni pemalu pula orangnya. Hm..kononnya nak masuk public speaking untuk tingkatkan keyakinan..tapi, semua tu tak membawa kesan yang diharapkan. Saya tetap seorang yang pemalu. Depan orang la. Kalau dengan kawan-kawan yang 'kamceng'..emm..tanyalah mereka. (gelak)(perangai macam hantu!)
Tapi, anda nak tahu perkara yang lebih aneh tak? Ok, saya bukannya hendak mengangkat raga sendiri, saya cuma nak terangkan apa benda yang aneh tu.
Yang pertama, saya ni 'agak' pintar dalam bahasa Inggeris. Dari kecil lagi, saya 'agak' hebatlah. Mungkin disebabkan ibu dan ayah menggalakkan kami sekeluarga bercakap dalam bahasa Inggeris di rumah. Ianya semacam satu kelebihan berbanding dengan kawan-kawan lain yang sebaya. Tapi, yang anehnya, saya tak pernah 'rasa' yang saya ni 'agak' pintar dalam bahasa Inggeris. Bila kawan-kawan sekelas meminta tunjuk ajar, saya..tak tahu macam mana nak ajar. Padahal sebenarnya saya boleh. Entahlah. Rasa tak yakin dan serba tak kena. Rasa kekok dan 'blur' bila mereka menanyakan perkataan begini dan begitu dalam bahasa Inggeris. Tapi, waktu mereka tak tanya, saya boleh ingat pulak. Waktu tu, saya tak tahu lagi, apa namanya masalah yang saya hadapi.
Oleh sebab saya ni 'agak' pintar dalam bahasa Inggeris (ada sesiapa yang mula rasa meluat dengan 'agak' pintar tu? hehe), maka saya sering menjadi pilihan Cikgu bahasa Inggeris untuk menjadi wakil pertandingan-pertandingan yang melibatkan bahasa itu.
Sewaktu di tingkatan dua, cikgu K selalu suruh saya masuk pertandingan menulis esei dalam BI. Saya tak tahulah kenapa waktu tu saya rasa sangat tertekan. Saya rasa macam terpaksa. Dan mengganggu pembelajaran. Padahal bukannya ada PMR ke, SPM ke. Apa-apapun, nak tahu tak apa yang berlaku lepas tu? Ayah saya pula terpaksa masuk campur. Dia sendiri pergi berjumpa cikgu K tu dan beritahu dia bahawa saya tertekan dengan pertandingan tu dan supaya jangan 'menganggu' anaknya lagi. Aduh, bila memikirkannya semula, saya rasa amat malu, sebab perkara tu kecil sahaja dan saya boleh beritahu cikgu K sendiri untuk selesaikan masalah tu. Saya ada cuba beritahu, tapi cikgu K berkeras mahukan saya masuk juga pertandingan tu. Hasilnya..itulah dia.
Sebenarnya, lepas peristiwa yang memalukan itu, terasa seperti boleh pula. Terasa seperti tidak ada masalah untuk menulis esei dan pada masa yang sama tidak menjejaskan status akademik. (Kalau ayah saya tahu, mesti dia akan berkata, "Gatal punya budak.."..maksudnya gatal sebab cakap tak serupa bikin..hehe) Sebab saya rasa menulis esei tu bukanlah satu bebanan, sebab ianya mudah bagi saya. Sebab saya menguasai bahasa Inggeris. Cuma..saya tidak mengakuinya sebagai satu kelebihan diri.
Zaman kanak-kanak sehinggalah ke zaman remaja dan juga hampir memasuki alam dewasa, semuanya merupakan satu dilema bagi saya. Mungkin dilema yang saya alami tidak sama seperti orang lain, dilema songsang..tetapi ia masih bersifat dilema. Saya betul-betul bingung. Saya rasa takut dengan satu sifat ni; riak. Terus-terang saya katakan, saya sangat takut dengannya. Sangat takut sekiranya ia menguasai hati saya. Kerana ia salah satu sifat yang ada pada syaitan. Allah SWT akan sangat murka pada saya jika saya hati saya merasai walau sekelumit pun perasaan riak itu. Dan, kerana riak jugalah, iblis/syaitan diusir daripada syurga. Cubalah anda fikirkan sebentar akan pengajaran di sebalik kisah iblis diusir itu. Bahawa makhluk yang mempunyai riak di hatinya, tidak mungkin akan dapat memasuki syurga, apatah lagi tinggal di dalamnya.
Saya teringat kata-kata seorang cendekiawan, katanya lebih kurang seperti begini, "Riak itu seperti seekor semut hitam di atas batu yang hitam pada malam yang gelap gelita." Cubalah buat eksperimen seperti yang dikatakan cendekiawan ini, dan cuba lihat, adakah anda nampak semut itu? Begitulah perumpamaannya. Betapa riak itu digambarkan begitu susah untuk dikesan, tetapi ia tetap di situ. Jadi, secara tidak sedar, saya telah menutup mata hati saya daripada mengakui segala kebolehan atau kelebihan diri..semata-mata untuk mengelakkan daripada perasaan riak bertandang, walau sekejap pun di hati.
Tapi..saya juga telah mengundang bala yang lain ke atas diri sendiri; iaitu bala kurang keyakinan diri. Ya, bagi saya ianya satu bala. Bukanlah bala seperti gempa bumi atau tsunami, atau virus epidemik, tetapi ia tetap sejenis bala. Malapetaka yang menyelubungi kehidupanku sehingga hampir habis zaman remajaku, sehinggalah kini.
Syukur diucapkan kepada Allah SWT yang telah membukakan kebenaran buatku. Bahawa sebenarnya tindakanku suatu ketika dahulu adalah salah. Bagaimana mungkin aku melarikan diri daripada riak dengan merendahkan diri dengan sedemikian rupa? Ya, merendah diri merupakan sifat yang terpuji, tapi apabila TERLALU merendah diri sehingga melepaskan segala peluang keemasan dalam kehidupan..saya rasa itu bukan lagi sikap yang terpuji. Sepatutnya tidak timbul masalah riak itu. Bukankah kita ada Tuhan? Bukankah Allah azza wa jalla itu Maha Kuasa dan Maha Hebat? Siapakah yang dapat menandingi kekuasaan Ilah, Tuhan semesta alam? Justeru, kini, saya telah menemui jawapan yang sebenar. Atau lebih tepat dikatakan, bahawa jawapan yang sebenar telah dibukakan oleh Tuhan untukku. Iaitu; mohonlah perlindungan-Nya daripada segala yang ditakuti. Berserahlah diri hanya kepada-Nya, percayalah dengan takdir-Nya, kekuasaan-Nya. Berdoalah kepada-Nya apa sahaja yang dihajati, janji..mestilah ikhlas. Tiada apa lagi yang perlu ditakutkan selagi kita beriman dan bertakwa kepada-Nya.
Sekurang-kurangnya, di sini ada seorang yang dapat memberikan testimoni yang benar. Bahawa perkara ini benar-benar berlaku pada diri ini, dan insya-Allah anda juga dapat akan dapat merasai nikmatnya bertuhankan Allah SWT. Jika anda mahu..
Saya tidak tahu apa akan berlaku seterusnya. Adakah saya betul-betul dapat menuntut ilmu dengan tenang? Atau Malaysia akan diserang musuh yang berniat jahat ke atas rakyatnya? (nauzubillah) Adakah saya akan menjadi manusia yang riak dan lupa diri jika saya berjaya kelak? Tak tahu. Doakanlah agar saya menjadi manusia yang sederhana.
Tidak kiralah apa yang menanti di hadapan, saya tahu, saya boleh selalu harapkan Allah.
Saya berharap selepas ini saya akan dapat menerima diri sendiri dan juga orang lain dengan seadanya. Iaitu, menerima kedua-dua kebaikan, dan keburukan. Terutamanya kelebihan. (senyum)
Posted at 11:59pm
No comments:
Post a Comment