Wednesday, June 3, 2009
Rasulullah SAW : Hai Iblis! Di manakah kediamanmu?
Iblis : Di rumah berhala dan pada mana-mana batu, kayu, tembaga dan sebagainya (bahan pujaan). Apabila mereka menyembah (bahan pujaan itu) maka hamba cenderungkan hati mereka supaya bertambah-tambah kenyakinannya terhadap pekerjaan mereka yang syirik itu. Betapa ramainya umat Tuan Hamba telah hamba pesongkan sehingga memasuki rumah berhala Majusi dan Hindu yang menunjukkan betapa nipisnya iman mereka.
Rasulullah SAW : Hai Iblis! Di manakah tempat perhimpunanmu?
Iblis : Di rumah wayang (panggung wayang) dan tempat majlis tarian dan seumpamanya seperti tempat percampuran lelaki dan perempuan (secara bebas).
Rasulullah SAW : Hai Iblis! Aku lihat engkau mengintai-ngintai di dalam masjid, apakah yang hendak engkau lakukan?
Iblis : Hamba hendak mengganggu orang yang sedang bersolat, tetapi hamba sangat takut kepada seseorang yang tidur di situ.
Aik? Kenapa hendak takut kepada orang yang sedang tidur pula? Sepatutnya iblis takut akan orang yang sedang bersolat kerana orang yang bersolat itu tandanya dia alim. Tapi, betulkah macam itu? Sebenarnya Rasulullah SAW juga pelik dengan jawapan iblis itu..
Rasulullah SAW : Kenapa engkau tidak takutkan orang yang sedang bersolat dan bermunajat kepada Tuhannya? Sebaliknya engkau takut pula kepada orang yang sedang tidur di sebelahnya padahal orang itu (mungkin) dalam keadaan lalai.
Iblis : Adapun orang yang sedang bersolat itu amat jahil sekali, mudahlah hamba merosakkan solatnya, tetapi orang yang sedang tidur itu (sebenarnya) alim. Maka apabila hamba menggoda dan cuba merosakkan solatnya, hamba takut kalau-kalau orang alim itu bangun dari tidurnya lalu menegur serta memperbetulkan solat si jahil itu.
Oo..itu rupanya sebab iblis takut kepada orang yang sedang tidur itu. Apakah kesimpulan yang dapat dilihat di sini? Kesimpulannya ialah, ilmu itu amat penting. Begitu penting ilmu itu sehingga dapat membuatkan iblis ketakutan. Kerana apabila seseorang itu melengkapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan, iblis akan susah hendak menggodanya. Iblis juga mengerti akan hakikat pentingnya ilmu, cuma takkanlah dia hendak memberitahu kita, cucu-cicit Nabi Adam a.s. Takkan hendak membongkarkan 'rahsia' yang begitu penting kepada musuh ketatnya? Bodohlah kan, namanya.
Sebenarnya ianya bukanlah suatu rahsia pun. Kita sendiri dapat melihat kesan ilmu itu kepada individu, masyarakat dan negara. Individu berilmu mengajarkan apa yang diketahuinya kepada masyarakat di sekelilingnya, lalu masyarakat itu mengajarkannya pula kepada masayrakat di kawasan lain. Hasilnya lahirlah masyarakat yang berakhlak dan negara yang maju.
Tapi, kalau dicakapkan sampai berjuta-juta kali pun, tidak ada gunanya, kalau kita tidak faham-faham juga. Yang penting kita kena faham kenapa guru-guru asyik 'membebel' kepada kita setiap hari tentang kepentingan ilmu. (Ilmu, ilmu, ilmu..hisy, tak ada benda lain ke nak dicakapkan?) Orang cakap banyak kali supaya masuk dan menembusi rangka otak kita yang keras itu. Kerana memang, tersangat penting ilmu itu. Hendak dicakapkan bagaimana lagi? Terpulanglah kepada diri masing-masing sama ada untuk mendengar dan mengambil tindakan, atau sekadar membiarkan nasihat-nasihat itu berlalu di tepi telinga, lalu ditiup pergi oleh angin. Setiap orang bebas menetukan bagaimana jalan kehidupan masing-masing. Guru-guru hanya mampu 'membebel' tapi diri kita sendirilah yang menentukan sama ada ianya sekadar 'bebelan' atau nasihat berharga.
Oleh sebab itu, Rasulullah SAW pernah bersabda di dalam sabdanya yang lain, "Tidur orang yang alim lebih baik daripada ibadat orang yang jahil."
Rasulullah SAW : Hai Iblis! Apakah kata-kata pujian bagimu?
Iblis : Suara orang yang menyanyi dan berpantun seloka serta suara bunyi-bunyian kecuali orang yang menyanyi, berpantun, bernazam memuji Tuhan, bernasyid serta berselawat kepada Nabi.
Rasulullah SAW : Hai Iblis! Siapakah yang sekaum denganmu?
Iblis : Orang yang menipu harta orang dan memakan harta anak yatim serta memakan riba.
Rasulullah SAW : Hai Iblis! SEbab apakah engkau gelapkan hati manusia?
Iblis : Mereka yang makan dan minum dengan mata pencarian yang haram kerana mereka buta dalam mencari harta yang halal, serta mereka banyak tidur sehingga matahari tinggi dan meninggalkan solat subuh dan orang yang memenuhi perutnya dengan kenyang sekali.
Berdasarkan pengakuan iblis di atas, golongan-golongan yang iblis gelapkan hatinya ialah:
1.Orang yang makan dan minum dengan harta yang haram kerana buta/ tidak berusaha mencari yang halal
2.Orang yang banyak tidur, sehingga matahari telah pun tinggi, jadi dia termasuklah juga dalam golongan yang meninggalkan solat subuh
3.Orang yang makan sehingga terlalu kenyang
Maka hendaklah kita berwaspada daripada menjadi walau salah satu pun golongan di atas kerana syaitan dan iblis akan suka serta mudah menggelapkan hati kita. Apabila hati sudah gelap, maka susahlah cahaya untuk memasukinya. Cahaya di sini boleh disifatkan kepada beberapa bentuk. Misalnya cahaya yang bersifat simbolik, seperti nasihat. Atau cahaya hidayah, atau kehadiran malaikat. Saya pernah terbaca di dalam sebuah buku dahulu, bahawa kadang kala malaikat akan terbang masuk ke dalam hati manusia, lalu menasihati hati kita supaya menjadi manusia yang baik. Tetapi jika hati itu gelap dan hitam, maka susahlah malaikat, atau nasihat, atau hidayah Allah SWT untuk masuk ke dalam hati kita. Dan Rasululah berpesan, "Jika baik seketul daging di dalam dada manusia itu, maka baiklah seluruh tubuhnya. Jika jahat daging itu, maka binasalah seluruh tubuhnya. Ketahuilah bahawa daging itu ialah hati."
Satu perkara yang harus kita selalu ingatkan diri kita, ialah jangan berputus asa dengan rahmat Allah. Walau jahat dan gelap manapun hati seseorang manusia itu, jika Allah mengehendaki, maka dalam sekelip mata sahaja manusia itu akan mendapat hidayah. Semuanya berlaku mengikut kehendak dan kekuasaan-Nya.
Rasulullah SAW : Hai Iblis! Siapakah yang menggembirakan hati engkau?
Iblis : Orang kaya yang bakhil dan orang yang tidak mengeluarkan zakat untuk hamba Allah yang daif, malah zakatnya dihantar kepada orang lain padahal kaumnya miskin, kerana orang yang bakhil itu seteru Allah SWT. Dan orang yang tidak mengeluarkan zakat itu akan masuk ke dalam neraka yang paling bawah bersama-sama dengan hamba.
Orang yang bakhil atau kedekut dikatakan musuh Allah SWT. (Astaghfirullah) Apakah kita benar-benar tahu apa maknanya menjadi MUSUH ALLAH? Beranikah kita hendak bermusuh dengan Tuhan pencipta alam?
Manakala orang yang tidak mahu membayar zakat akan dimasukkan ke dalam neraka yang paling bawah sekali, bersama dengan syaitan yang diikuti jejak langkahnya ketika di dunia dahulu. Betapa beratnya hukuman ke atas mereka yang tidak mengeluarkan zakat ini.
Allah kejam? (ketawa) Bahkan Allah SWT lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya. Ilmu saya tentang berapa sebenarnya bahagian yang perlu dibayar sebagai zakat daripada harta milikan seseorang, serta ilmu-ilmu lain yang berkaitan dengannya adalah sangat sedikit. Saya memang tidak tahu, atau mungkin tidak mengambil tahu. (Sekarang rasa sangat menyesal kerana tidak memberikan tumpuan betul-betul dalam kelas pendidikan islam..) Apa yang saya tahu, harta yang Allah kurniakan kepada kita, ada bahagiannya untuk orang fakir miskin. Jadi, dengan membayar zakat, kita sudah memberikan hak mereka daripada harta kita. Ini soal hak. Secara tidak langsung, kita sudah menunaikan hak-hak mereka. Sebab itulah mengeluarkan zakat dikatakan membersihkan harta. Membersihkan harta daripada yang bukan hak kita.
Rasulullah SAW : Hai Iblis! Siapakah yang menyuburkan badan engkau?
Iblis : Orang yang berhasad dengki, da orang yang tidak mempelajari hukum Islam, serta semua perempuan yang jahat, dan perempuan yang merosakkan dirinya, serta perempuan yang menjual maruahnya.
Rasulullah SAW : Hai Iblis! Jika seseorang ulama meninggal dunia, bagaimanakah keadaanmu?
Iblis : Telah subur dan bertunaslah hasutan hamba dan pekerjaan hamba.
(Sabda Rasul : Barangsiapa yang berdukacita di atas kematian seorang ulama, maka dituliskan Allah SWT baginya pahala seribu ulama dan seribu syuhada)
(Sabda Rasul : Akan datang atas umatku yang melarikan diri dari ulama atau mereka yang membenci golongan yang mengajar agama, maka diberikan Allah SWT 3 jenis bala ke atas mereka :
1.Dihilangkan keberkatan dalam pencarian rezeki
2.Didatangkan oleh Allah ke atas mereka seorang ketua atau raja yang zalim
3.Dikeluarkan mereka dari dunia dalam keadaan tidak beriman)
Rasulullah SAW : Hai Iblis! Jika umatku solat berjemaah, bagaimanakah keadaanmu?
Iblis : Sesungguhnya segala simpulan tipu daya hamba telah dileraikan.
(Sabda Rasul : Barangsiapa solat 5 waktu, maka dia akan mendapat 5 perkara :
1.Tidak akan terkena pada dirinya kefakiran
2.Diangkatkan daripadanya seksa kubur oleh Allah SWT
3.Dianugerahi orang itu kitab tulisannya (amalannya) dari sebelah kanan
4.Melalui titian di atas neraka dengan sepantas kilat
5.Dimasukkan Allah SWT ke dalam syurga tanpa hisab dan tanpa sebarang seksaan
Sabda Rasul lagi : Solat lelaki berjemaah lebih baik daripada solat 40 tahun di rumahnya seorang diri dan solat berjemaah itu mendapat 27 darjat - serta solat berjemaah di rumahnya bersama anak dan isterinya akan mendapat pahala haji dan umrah. )
Posted at 10:36am
No comments:
Post a Comment