Thursday, June 4, 2009
Sukacita dimaklumkan bahawa ini ialah bahagian kedua terakhir siri "Iblis Berdialog dengan Nabi Muhammad SAW".
"Saya ialah muslim." "Saya ialah hamba Allah." "Saya ialah umat Muhammad."
Jika diajukan soalan "Siapakah kamu?", adakah jawapan anda salah satu yang di atas? Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah kerana mengurniakan hidayah-Nya kepada kita sejak sebelum kita lahir ke dunia lagi.
Kita menganut Islam kerana mengikut agama pegangan ibu bapa kita. Tidakkah ayat ini seperti pernah didengari? Tapi, di mana?
Jawapannya ; seperti orang Arab pada zaman jahiliah, juga seperti orang-orang kafir yang tidak mahu mengakui kebenaran yang datang kepada mereka.
Bukanlah saya bermaksud sama ada saya atau anda orang jahil atau orang kafir, cuma saya tidak mahu masyarakat kini menganut Islam, hanya kerana mewarisinya sejak turun-temurun.
Allah SWT Maha Kaya. Dia telah menetapkan agama yang benar ini ke atas kita sebelum kita lahir ke dunia. Tetapi, keadaan semasa amat membimbangkan. Jika kita menganut Islam hanya kerana sebab mewarisinya daripada ibu bapa, lambat-laun nilai-nilai Islam yang sebenar akan hilang ditelan arus kemodenan.
Tanda-tanda nilai-nilai Islam semakin rapuh boleh didapati dengan banyak sekali, terutama pada generasi muda. Menutup rambut, tetapi memakai pakaian yang menampakkan susuk tubuh. Lelaki menyerupai perempuan ; memakai subang telinga, 'subang hidung', 'subang lidah' , malah tidak kurang yang bertukar terus kepada perempuan. Tetapi apabila ditanya, tentu mereka mengaku muslim. Aduh, ingin menangis rasanya.
Generasi muda tidak lagi mengenali nilai Islam yang asal, nilai Islam yang dibawakan Rasulullah dan para sahabatnya. Islam yang terasnya terungkap dalam lafaz dua kalimah syahadah, tidak lagi menjadi teras diri sepertimana ianya menjadi pegangan utama Rasulullah dan para sahabat.
Justeru, pada kali ini, kenalilah siapa Tuhan yang sebenarnya. Tuhan ialah Allah, Yang Maha Pengampun..dan Maha Penyayang.
Rasulullah SAW : Hai Iblis! Jika umatku berselawat ke atasku, bagaimanakah keadaanmu?
Iblis : Mereka telah membelah muka hamba disebabkan ingatan kuat terhadap Tuan Hamba.
(Sabda Rasul : Barangsiapa berselawat ke atasku, maka para malaikat akan memohon diampunkan (segala dosanya) dan dia adalah sebahagian daripada isi syurga.)
Rasulullah SAW : Hai Iblis! Jika umatku bersolat Hari Raya di masjid, bagaimanakah keadaanmu? Kerana Tuhanku Yang Maha Besar telah berfirman, "Hai sekelian malaikat! Saksikanlah olehmu bahawa sesungguhnya telah Aku ampunkan segala dosa umat Muhammad, lelaki dan perempuan". Maka apabila telah selesai dari solat dan khutbah dibacakan, maka firman Allah SWT, "Hai umat Muhammad! Pulanglah kamu ke rumah masing-masing, sesungguhnya Aku telah mengampunkan dosa kamu yang terdahulu dan yang kemudian dan Aku telah gantikan dosamu itu dengan kebajikan!"
Iblis : Ya Rasulullah! Apabila umat Tuan Hamba pergi bersolat Hari Raya, maka hamba sangat berdukacita dan kesal. Maka hamba pun menjerit sehingga datang sekelian bala tentera hamba dan mereka bertanya, "Hai raja kami! Siapakah yang engkau marahkan? Adakah ianya (puncanya) dari langit atau dari bumi? Perintahkanlah kami sekelian pergi membinasakan barang di langit dan di bumi". Maka hamba menjawab, "Hai bala tenteraku! Apa yang menyebabkanku berdukacita ialah kerana Allah SWT telah mengampuni umat Muhammad pada Hari Raya ini. Wahai sekelian bala tenteraku! Tidakkah kamu tahu bahawa Allah SWT telah memberkati puasa umat Muhammad? Dan Tuhan amat mengasihi dan mengasihani mereka dengan penuh rahmat serta diperkenankan segala doa mereka dan diampunkan segala kesalahan mereka? Wahai tenteraku! Hendaklah kamu goda mereka itu supaya malas beramal ibadatdan resah dengan berjalan ke sana ke mari, serta asyik berjudi, bersukaria memuaskan nafsu dengan mengerjakan maksiat, supaya datang kemurkaan Tuhan ke atas mereka itu dan ditimpakan bala ke atas mereka, kerana dengan demikian, akan MEMBAWA KESENANGAN DALAM HATIKU.
Maka berangkatlah sekelian bala tentera iblis syaitan untuk mengganggu umat Muhammad.
Rasulullah SAW : Jika umatku membaca doa akhir tahun (Hijrah), bagaimanakah keadaanmu?
Iblis : Telah bersusah payah hamba menggoda mereka sepanjang tahun, tiba-tiba mereka membaca doa, (yang hanya) mengambil masa yang sedikit, maka lemahlah hamba lalu hamba menyapu dengan tanah (dan berkata), "Aduhai, celaka, betapa malang dan celaka diriku dengan kerugian". Maka hamba pun berpaling pergi.
(DOA AKHIR TAHUN HIJRAH)
Maksud : Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad dan kepada ahli keluarganya serta para sahabatnya. Ya Allah, apa jua yang kami lakukan pada tahun ini yang Engkau larang, tetapi kami tidak bertaubat daripadanya, sedang Engkau tidak meredainya dan tidak melupakannya, namun Engkau masih berlembut terhadap kami padahal Engkau berkuasa untuk menyeksa kami sehinggalah kami bertaubat daripadanya setelah dengan beraninya kami menderhakai-Mu. Maka sesungguhnya kami memohon keampunan-Mu, maka ampunilah kami. Dan apa jua yang kami lakukan pada tahun ini yang Engkau reda dan Engkau janjikan ganjaran pahala, maka kami memohon ya Allah, wahai Tuhan yang Pemurah dan Pemilik Kebesaran dan Kemuliaan agar Engkau menerimanya daripada kami dan janganlah diputuskan harapan kami terhadap-Mu, wahai Tuhan yang Pemurah. Semoga Allah memberikan kesejahteraan ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, nabi yang ummi (tidak tahu menulis dan membaca), ahli keluarganya dan para sahabatnya.
Rasulullah SAW : Hai Iblis! Jika umatku membaca doa awal tahun, bagaimanakah keadaanmu?
Iblis : Ya Nabi Allah! Putuslah harapan hamba, kerana barangsiapa yang membaca doa awal tahun, (maka) Tuhan memerintahkan dua malaikat supaya membakar buku kesalahan hamba-Nya dan dituliskan kebajikan (di dalam buku kebajikan) disebabkan orang yang membaca doa ini.
(DOA AWAL TAHUN HIJRAH)
Maksud : Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad, ahli keluarganya dan para sahabatnya.
Ya Allah! Engkaulah yang Abadi, Yang Qadim (sedia ada), dan Yang Awal. Dengan limpah kurnia-Mu yang besar dan sifat Pemurah-Mu yang sejati, tahun yang baru ini tiba kepada kami. Maka kami memohon kepada-Mu dipelihara daripada syaitan yang direjam, para penolongnya dan tentera-tenteranya, dan kami memohon pertolongan menghadapi nafsu yang sentiasa menyuruh kami ke arah kejahatan, serta pertolongan untuk melakukan amalan yang dapat menghampirkan diri kami kepada-Mu sehampir-hampirnya, wahai Tuhan Pemilik Kebesaran dan Kemuliaan, wahai Yang Paling Mengasihi di antara yang mengasihi. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad yang ummi, ahli keluarganya serta para sahabatnya.
Sudahkah anda mengenali siapakah Tuhan kita yang sebenarnya? Lihatlah, betapa Allah amat mengasihi kita. Kamu tahu apa sebabnya?
Kerana kita umat Muhammad. Umat Nabi Muhammad mendapat banyak rahmat dan kelebihan berbanding umat sebelumnya. Pada hari kiamat nanti, umat Muhammadlah yang akan dihisab dahulu, sedangkan berjuta-juta..ramai lagi manusia yang menunggu untuk dihisab. Semua manusia harus menunggu dalam keadaan telanjang, tiada seurat benang pun di atas badan kita, dan dalam keadaan matahari sejengkal sahaja dari kepala. Tiada air melainkan daripada telaga al-kauthar milik Nabi Muhammad saw. Siapakah yang sanggup menunggu lama-lama untuk dihisab, meskipun banyak melakukan dosa?
Oleh itu, sedarlah bahawa mudah sahaja untuk meminta pemgampunan dari Tuhan, iaitu, ambillah wuduk, lalu tunaikanlah solat dan tadahlah tangan, mintalah dengan ikhlas, jika anda mampu, menangislah. Jika tidak boleh juga, maka buat-buatlah menangis, pesan Nabi Muhammad SAW.
Sekarang, tidakkah anda tertunggu-tunggu ketibaan tahun hijrah yang baru?
Posted at 5:16pm
No comments:
Post a Comment