"Lelaki pertama dalam hidupku"...gempak betul tajuknya kan?? (sengih)
Setiap perkara ada yang pertamanya. Saat pertama kali pandai menunggang basikal..pertama kali makan usus lembu..pertama kali main 'ice-skating'..macam-macam. Kadang-kadang ada juga saat yang tidak nampak lagi akhirnya..seperti bilakah diri ini akan berhenti tidur dalam kelas..(gelak)
Gelaran "lelaki pertama dalam hidupku" saya tujukan buat..tak lain tak bukan..AYAH.
Anti klimaks ke kawan-kawan? (senyum) Maaflah kalau ada yang ternanti-nanti pasal "benda lain"..
Ayah. Dialah lelaki pertama dalam hidup saya. Kerana tanpanya, saya, abang saya, dan adik saya..tak mungkin berada di dunia ini.
Fitrah manusia ditakdirkan berpasangan. Jika ada wanita sahaja, tidak akan wujud sebuah keluarga. Begitu juga jika hanya ada seorang lelaki sahaja, sebuah keluarga tidak akan terbina. Justeru, hanya dengan seorang ibu..dan seorang ayah, barulah insan yang baru dapat dilahirkan di dunia ini, dengan izin Allah SWT.
Oleh sebab itulah, kita akan berasa takjub, jika wujud juga insan baru, dengan hanya seorang ibu, seperti kisah Nabi Isa a.s dilahirkan oleh ibunya sahaja, Maryam binti Imran. Kisah itu merupakan satu dalam jenisnya, atau dalam bahasa Inggeris, one of a kind.
Semalam ialah Hari Bapa. 'Terima kasih' kepada kempen secara besar-besaran terutamanya oleh pihak-pihak yang ingin mengaut keuntungan, hari bapa bukanlah lagi satu rahsia. Tak seronok langsung kerana tidak dapat membuat satu kejutan buat ayah. Mana taknya, dari awal bulan Jun sampailah ke tarikh semalam, 21 Jun 09, tak habis- habis dengan iklan dan promosi besar-besaran di televisyen dan surat khabar bersempena dengan Hari Bapa. Poster pula merata-rata. Mereka ni patut belajar tentang 'the element of surprise'..
Tapi, tak kisahlah. Untuk ayah, angah ucapkan "Selamat Hari Bapa"!
Walaupun memang tak semeriah Hari Ibu, diharapkan ayah dan para ayah yang lain tidaklah berkecil hati ya! Kalau tiada hadiah yang mahal-mahal pun, tidak bermakna anak-anak tidak sayangkan ayah, tidak teringatkan ayah. Malah ayah yang hensen lagi macho akan sentiasa mendapat tempat di hati anak-anakmu, kan?
Buat "lelaki pertama dalam hidupku" :
Ayah
Ayah dan ibu
Dua kalimah
Yang pertama meniti di bibirku
Ayah
Ayah kesayanganku
Hanya satu ayahku
Ayah buah hatiku
Ayah
Ku tak ingat lagi
Bagaimana kisahnya kita berdua
Mungkin mandi bersama
Mungkin berlatih bertatih bersama
Mungkin ketawa riang bersama
Mungkin juga terlelap bersama
Ayahku
Walau hatimu tidak selembut hati ibu
Dan bicaramu sering tidak hati ke hati
Tapi itulah caramu
Caramu dalam mendidik dan membesarkanku
Ayahku
Maafkanlah kenakalanku
Kenakalan ketika waktu kecilku
Dan kenakalan yang masih bersisa kini
Ayahku
Maafkanlah diriku juga
Tatkala membuatmu risau dan bimbang
Tapi kutahu kau mengerti
Itulah tugas seorang ayah
Ayahku
Kini ku telah dewasa
Sedikit
Kulihat rambut
Kening dan misaimu
Serta janggutmu yang sejemput itu
Telah beransur-ansur menjadi putih
Timbullah tanda tanya
Adakah ayah mewarnakan rambutnya??
Lihatlah ayah
Sudahku katakan
Kenakalanku masih bersisa
Tapi itu tidak bermakna
Engkau tidak mengajarkanku apa-apa
Ayah
Ayahlah lelaki pertama dalam hidupku
Dan selama-lamanya
Tiada siapa dapat merampas gelaran itu daripadamu
Selamat Hari Bapa 09, ayah.
Teringat siapalah tu..
Posted at 1:37pm
No comments:
Post a Comment