Saturday, April 10, 2010

Dedikasiku Buat Ummu Sulaim binti Malhan

Sabtu, April 10, 2010.

Segalanya bermula
Di Petaling Jaya
Sewaktu aku masih lewat remaja
Bosannya..keluh hatiku
Kenapakah begitu susah untuk mencari
Kisah-kisah sahabat dan sahabiah
Rasul cintaan ilahi?
Hanya sahaja aku belajar
di Centre for Foundation Studies UIAM
Namun kenapakah cerita para pejuang Islami
Bagaikan debu-debu hama di rak-rak perpustakaannya?
Sukar sekali untuk ku
Menemukan tajuk buku
Yang kudambakan itu.

Kuteruskan jua pencarian
Meneliti
Rak demi rak
Tingkat demi tingkat
Buku demi buku
Kerna manalah tahu
Jariku berhenti pada tajuk
Yang kudambakan itu.

Syukur!
Alhamdulillah!
Al-`Alim Maha Mengetahui hasrat hatiku
Dialah yang memperjodohkanku
Dengan buku
Yang kudambakan itu.

Maka ku selak helaian demi helaian
Ku tatap isinya dengan penuh kepuasan
Penuh kenikmatan
Kerna diriku..jiwaku
Ketandusan..
Kekeringan..
Inspirasi daripada para pejuang pencinta Ilahi.

Mahukah kamu
Mendengar suatu kisah
Yang menakjubkan hati
Ummu Hurairah?
Marilah..tidak rugi..
Terutamanya para Umm atau bakal Umm
Di luar sana..

Ismuha (namanya) Ummu Sulaim binti Malhan
Bukanlah nama kelahirannya
Tetapi merupakan kunyah (gelaran hormat)
Masyarakat Arab padanya
Lantaran seorang anaknya bernama Sulaim

Sungguh
Telah takjub hati Ummu Hurairah
Membaca kisah Ummu Sulaim
Kehebatannya..'keunikannya'..
Amat menarik hati
Keimanannya..amat menjadi inspirasi.

Namun..Pabila tiba saatnya harus kupulangkan kembali
Buku yang
Kudambakan itu..
Oh, alangkah baiknya jika aku dapat memiliki sebuah
Terasa ingin membeli sahaja cetakan itu
Tapi..mengenangkan..hanya dua jilid sahaja
Buku itu di Taman Ilmu & Budi yang luas
Mungkin..ada juga jiwa yang tandus sepertiku
Lantas kalau aku mengambilnya untuk diri sendiri..
Ke manakah jiwa2 yang tandus itu
Akan melampiaskan kerinduan mereka?
Lalu kubiarkan sahaja..ku pulangkan kembali.

Lalu terkuburlah seketika
Nama wanita Ansar yang
Pernah sesaat
Memberi inspirasi
pada penaip warkah ini..

Setiap hari..
Cuba kuingati..
Siapakah namanya..?
Siapakah wanita itu..?
Wanita yang pertama kali kukenali
di Petaling Jaya itu..
Namun Allah Taala..
Melupakan aku daripadanya..
Buat seketika
Aduh!
Kenapakah tidak ingat juga?
Hanya kisah hidupnya yang tersemat kemas
Dalam hatiku..
Akan kuingati
Sehingga mati

Berputarlah roda kehidupanku
Lalu aku selamat menamatkan
Pengajian asasku di PJ
Dan aku terdampar pula di pantai timur semenanjung
Di Kuantan..
Ibu kota Pahang yang Makmur

Sungguh, telah terlupa aku
Akan namanya..
Namun kisahnya..masih segar
dalam sanubariku
Seolah-olah
Baru semalam aku
Menyelak helaian buku lama itu.

Buku kedua
Berjudul "65 Gambaran Kehidupan Sahabat"
Kupinjam daripada seorang sahabat

Tahukah kamu apa yang berlaku?
Ummu Hurairah kembali bertemu Ummu Sulaim?
Oh..sayang sekali.
Tidak.
Belum lagi. (Senyum)
Tetapi..terdapat kisah sahabat lain yang menarik hatinya pula..
Dengarkanlah..

Ismuhu Anas ibn Malik.
Anas?
Man Anas (siapa Anas)?
Subhanallah..
Rugilah di dunia
Dan rugilah di akhirat
Bagi mereka yang tidak mengenali
Anas ibn Malik.

"Diriwayatkan drpd Anas ibn Malik, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda.."

Ya sahabat2ku.
Inilah dia
Salah seorang daripada 3 insan
Yang berjasa paling besar
Kerana meriwayatkan paling banyak hadis Nabi SAW
Buat generasi terkemudian..
Buat kamu dan saya.

Lelaki Ansar ini
Telah bersama-sama Rasulullah
Sedari umurnya 10 tahun
Ketika budak2 kecil yang lain bermain dengan teman2 sebaya
Budak lelaki Ansar ini menghabiskan kebanyakan hayatnya
Dengan Rasul Allah penyelamat manusia
Sehinggalah wafatnya Nabi tercinta
Tika umurnya masuk 20 tahun

10 tahun yang amat berharga
10 tahun yang amat kudamba
10 tahun yang dikurniakan Allah
sebagai hadiah
buat Anas ibn Malik.

Lalu kenapakah..
puisi yang semakin berjela
semakin berjeda ini
didedikasikan
Buat Ummu Sulaim binti Malhan?
Sedangkan penulisnya mengisahkan Anas ibn Malik sekali di dalamnya?
Bukankah lebih adil
Untuk judulnya berbunyi
"Dedikasiku Buat Ummu Sulaim dan Anas ibn Malik"?

(Tersenyum)
Bahkan..
Sahabat-sahabatku..
tidakkah kamu perasan sesuatu?
Sesuatu PERSAMAAN antara kedua karakter
Yang menakjubkan hati penulis?

(Tersenyum lagi)
ANSAR
Mereka berdua drpd golongan Ansar.

Jadi..ia tetap tidak memberikan
klu buat hati2
Yang sudah penat membaca jedaanku ini
Yang sudah tidak tahu ke mana arah tujunya..

Maaf
Maaf ya sahabat2ku sekalian.
Hanya sahaja aku menangguhkan sehingga di penghujung
Supaya efek klimaks itu benar2 terasa! (ketawa)

Ummu Sulaim binti Malhan
ialah ibu Anas ibn Malik

Anas ibn Malik ialah anak Ummu Sulaim dan suaminya,
Malik, sewaktu kehidupannya sebelum Islam.

Aku juga terkejut
Kerana..
Rupanya Allah Taala
Menghidupkan kembali
Namanya yang sekian lama aku mencari
Dengan cara yang begitu halus sekali
Dia..mengingatkanku kepada
Antara wanita yang paling kuhormati,
Ummu Sulaim
Dengan kisah anaknya pula, Anas ibn Malik
Sekaligus menambah pengetahuanku
Tentang para sahabat Nabi yang lain
Yang sememangnya kuingin mengetahui
Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah
Wallahu akbar.

Bagaimanakah akhirnya ku mengetahui hubungan anak dan ibu ini?
Pada buku ketiga
"35 Sirah Shahabiyah" karya Mahmud al-Mishri.

Ya Ummu Sulaim..
Niatku bukan untuk merepek
dalam dedikasiku kepadamu
Kini..akan kukongsikan
Bersama sahabat2ku di luar sana
Tentang
Kenapakah
Engkau begitu menakjubkan hatiku.

Ya Ummu Sulaim,
Tahukah engkau bagaimana aku membuka ke helaian cerita mengenaimu?
Sedangkan ada 34 shahabiah Rasul yang lain di dalamnya
Lalu..bagaimanakah aku..
Mengetahui bahawa kamulah
WANITA YANG TELAH KU TERLUPA NAMANYA..
TETAPI TETAP KUINGATI KISAHNYA..?

Kerana ini..
"16. UMMU SULAIM - Mas Kawinnya adalah Dua Kalimat Sahadat"

Ya!
Kerana isi kandungan yang tertulis sebegitu
Kerana itulah..
Aku lantas mengenali
Bahawa engkaulah
WANITA YANG TELAH KU TERLUPA NAMANYA..
TETAPI TETAP KUINGATI KISAHNYA.

Dan di sinilah aku mengetahui..
Bahawa Anas ibn Malik
Budak kecil yang engkau berikan kepada Rasul
Supaya dididik dan diasuh oleh Baginda SAW
Bahawa dialah anakmu.

Katamu,
"Ya Rasul - Anakku Anas..yang masih kecil ini, biarlah dia menjadi pelayan (khadam mungkin) anda. Sudilah kiranya, anda berdoa untuknya."
Rasul lalu bersabda,
"Ya Allah, perbanyakkanlah harta dan anaknya."

Ya Ummu Sulaim,
Sesungguhnya engkau amat meyakini kebenaran yang dibawa Rasul Allah
Lalu engkau telah buktikan dalam catatan sejarah
Melalui dua perkara:

Pertama,
Engkau memberikan anakmu Anas
Untuk diasuh di bawah jagaan Rasul Allah SAW
Kerana engkau amat meyakini
Bahawa Muhammad ini memang sebenar-benar Nabi dan utusan
Dan beruntunglah sesiapa yang hidup bersamanya..

Dan yang kedua wahai Ummu Sulaim,
Engkau mencipta sejarah
Sebagai wanita muslimah pertama
Yang menetapkan syarat mas kahwinmu
..Syahadatain..

Ketika datang Abu Thalhah meminangmu
Kau katakan kepadanya dengan santun,
"Orang sepertimu tidak pantas ditolak. Akan tetapi kamu orang kafir. Sedangkan saya seorang muslimah. Tidak patut bagi saya menikahimu."
Balas Abu Thalhah,
"Lihatlah mas kahwinmu."
"Apa mas kahwinku?"
"Emas dan perak."
"Aku tidak ingin emas dan perak. Aku ingin kamu masuk Islam."

Kata2mu itu..
Yang menyebabkan namamu
Ku terlupa kerana alpanya seorang manusia
Tapi kisahmu
Melekat kuat
Seperti gam gajah (Aduh, slack kat sini :) )
Di dalam ingatanku..

Ya Ummu Sulaim!
SATU lagi kisah..
Yang ingin kukongsikan pada malam ini
Berkenaan denganmu..
Dan berkaitan denganku.

Lantaran mengambil subjek "Halaqah"
Maka aku harus menghafal beberapa ayat dan hadis
Antara ayat Al-Quran al-Karim yang harus kuhafal ialah
Surah Al-Hasyr : 8-10

Ya Ummu Sulaim..
Hanya kamu dan suamimu Abu Thalhah
Yang mengerti apakah maknanya
Ayat2 ini kepada kamu berdua

Mahukah kamu..
ya kamu sahabatku yang sedang membaca
tahu apakah rahsia
apakah makna di sebalik ayat2 ini?

Allah berfirman,
"..Dan mereka (orang2 Ansar) mengutamakan (orang2 muhajirin) di atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka sangat memerlukan (apa yang mereka berikan itu).." -Al-Hasyr:9-

*Abu Hurairah menuturkan, "Seorang laki2 menemui Rasul dan berkata, 'Ya Rasul, saya mengalami paceklik (?? - bhs indonesia).'" Rasul bertanya kpd para isterinya, "Mereka tidak memiliki suatu makanan pun." Lalu Rasul berkata kpd para sahabatnya, "Siapa saja yang menjamu orang ini, pasti dia dirahmati Allah."

Seorang lelaki Ansar berdiri dan berkata, "Saya sanggup ya Rasul." Sahabat ini lalu mengajak tamu tadi ke rumahnya. Ia berkata kpd isterinya, "Di ruang tamu ada tamunya Rasul. Suguhkan semua makanan yang kita punya." Si isteri menjawab, "Demi Allah, kita hanya punya makanan untuk si kecil."

Si suami berkata, "Kalau begitu, jika si kecil terasa lapar dan meminta makan malam, maka usahakan agar ia tertidur. Setelah itu marilah kita ke ruang tamu dan jangan lupa matikan lampu. Biarlah malam ini kita melipat perut kita." Si isteri pun melakukan apa yang diminta suaminya.

Keesokan harinya, laki2 itu menjumpai Rasul, lalu Rasul bersabda,
"Allah takjub kepada sepasang suami isteri tersebut. Lalu Allah menurunkan firman-Nya;
"..Dan mereka (orang2 Ansar) mengutamakan (orang2 muhajirin) di atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka sangat memerlukan (apa yang mereka berikan itu).." -Al-Hasyr:9-

Suami isteri tersebut ialah Abu Thalhah dan Ummu Sulaim.

Wahai Ummu Sulaim~
Kisahmu menambat hati~
Keteguhan imanmu tiada setanding~
Lelaki kafir memeluk Islam kerananya~
Anakmu menjadi muhaddisin hasil didikannya~
Oh, alangkah indahnya..
Jika kita dipertemukan Allah di syurga..~

Rujukan:
1. 35 Sirah Shahabiyah, Jilid 2, tulisan Mahmud al-Mishri. (2006). Terjemahan Asep Sobari, Muhil Dhofir. Al-I'stishom Cahaya Umat: Jakarta Timur. m/s 35, 39, 41.
2. 65 Gambaran Kehidupan Sahabat, Jilid 1, tulisan Dr. Abdul Rahman Ra'fat al-Basha. (2006). Terjemahan Ust Abdul Hakam bin Jaafar dan Ust Mohd Noor bin Daud. Prospecta Printers Sdn. Bhd: Kuala Lumpur. m/s 1.

No comments: