Friday, April 2, 2010

Kok kok kok, Ayam Berkokok. Kroh kroh kroh, Insan Berkeroh*

Friday, April 2, 2010.

?

Apa kaitan ayam dengan manusia? (tersenyum)

Eh, ada. Banyak kaitannya.

Ayam makanan manusia. Manusia makanan ayam..

Eh! Silap2! Manusia bagi ayam makan..(dah songsang dah..penat jawab exam kot..)

Walau apa pun kaitannya, kita selalu terlupa pasal SATU HUBUNGAN yang penting.

Lupa telefon emak? Tak kot, kita semua anak yang baik, insya Allah. (puji diri sendiri)

Lupa mesej pakwe/ makwe? Hm..tak mainlah mesej2 ni. Dating terus lah..(nauzubillah)

Lah..habis tu hubungan apa lagi?

Aduhai insan yang sifatnya cepat lupa..hubungan hati dengan penciptalah.

Hubungan yang sangat abstrak sifatnya. Memang susah untuk digambarkan, malahan hanya hati-hati yang MAHU berhubung sahaja yang dapat merasainya. Saya sengaja men’stress’kan perkataan MAHU, sebab itulah hakikatnya.

Hubungan kita, manusia dengan Allah SWT, memang tidak akan datang bergolek begitu sahaja. Tidak. Tetapi ianya berputik daripada KEMAHUAN kita. Daripada KEINGINAN HATI kita. Percayalah kata-kata saya..hubungan ini DIMULAI dengan DIRI kita sendiri.

Sesungguhnya tiada paksaan dalam Islam. Seperti itu jugalah, tiada paksaan dalam mengingati Allah Taala. Yang Maha Tinggi. Lagi Maha Penyayang.

Saya ingin berkongsi ‘pengalaman’ diri..semoga menjadi panduan buat hati-hati yang bingung lagi keliru..tentang apakah tujuan hidupnya di muka bumi ini. Tentang ke manakah arah tuju hidupnya. Dan kenapa hati-hati kita..sebenarnya akan ‘mati’ tanpa sesuatu yang menjadi arah tuju kehidupan kita.

Sesungguhnya aku bersaksi, bahawa cintaku pada Rabb bukanlah paksaan.
Cintaku pada Rabb..kerana keinginanku sendiri. Keinginan yang didorong oleh suatu persoalan..kenapa aku di sini? Untuk apa aku di sini? Untuk apa aku di university? Untuk apakah kebijaksanaan anugerah Ilahi ini? Untuk apa? Untuk SIAPA?

Lalu aku mencari. Mencari jawapan. Jawapan kepada persoalan yang menghantuiku seumur hidupku. Aku mencari pada unsur duniawi. Hmm..aku belajar untuk bekerja. Menyara hidup sendiri. Kalau ada rezeki nak mendirikan keluarga. Bila sudah berkeluarga, jadi pekerjaanku akan menjadi punca makanan kami. Hmm..lepas dah berkeluarga, anak-anak akan membesar, mereka pula akan berkeluarga. Dan selepas itu…

Ya, itulah dia. Aku tak tahu apa lagi selepas itu. Bagaikan ayat yang tiada bernoktah. Kalau ada noktah pun, noktah yang panjang bagaikan ayat yang tergantung gitu. (…)

Habis itu sahajakah penamatnya? Bukan-bukan. Seolah-olah tiada penamat.

Hidupku tergantung?

Aneh. Aku tak dapat menerima kehidupan yang tergantung sebegitu. I just..cannot accept that. It’s weird and ..unnatural. Tidak mungkin kehidupanku berakhir begitu sahaja.

Lalu pencarianku menemui dinding kebuntuan. Jalan mati. Dead end.

Arrggh! Aku tak puas hati! Hatiku geram. Kenapa persoalan ini tak pernah nak berhenti? Fikiranku buntu. Aku pening. Sakit berdenyut-denyut.

Di manakah jawapannya?

Di mana?

Siapa ada JAWAPANNYA??

Aku menangis. Hatiku merintih. Tidak diketahui kenapa. Kenapa hendak menangis kerana satu persoalan? Kenapa hendak menangis kerana tidak dapat menjawab satu soalan itu? That particular question.

Now. Finally, I have the answer.

Bukan skema jawapan untuk peperiksaan. Sesungguhnya jawapan ini bukan skema yang boleh diperoleh dengan begitu mudah. Sekelip mata dan anda sudah tahu jawapannya. Jawapan ini..hanya boleh diperoleh dengan pencarian selama bertahun-tahun. Oh, amat bernilai jawapan ini. Setinggi nilainya kasihku pada Ilahi. Namun, setinggi mana kasihku pada-Nya, Maha Luas lagi kasih-Nya padaku. Pada hamba-hamba-Nya yang beriman. Kerana Dialah Ar-Rahim..Yang Maha Penyayang.

Di manakah berakhirnya pencarianku? Di sini (menunjuk bahagian dada). Jawapan yang selama ini aku cari di luar, pada duniawi, pada nilai material dunia..rupa-rupanya..berada denganku. Rupa-rupanya, ia bersembunyi dalam ketulan daging yang berdenyut dalam diriku. Di dalam hatikulah jawapannya.

Maha Suci Tuhanku yang menunjukki sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Segala pujian hanya milik-Nya kerana memilihku sebagai salah seorang untuk diberi petunjuk-Nya. Hidayah-Nya. Oh, sungguh indah hidayah-Nya.

Kalaulah anda tahu..perasaannya. ketenteraman hati yang luar biasa ini..yang tidak bisa digugat oleh apa jua keadaan, apa jua ujian yang datang..ia..hatiku..tetap tenang. Damai. Tenteram. Tiada perkataan yang benar-benar dapat menggambarkan gelombang hati ini. Yang pasti..ia..tenang. seolah-olah dibuai sesuatu.

Tapi, anehnya..buaian ini tidak melalaikan. Tidak seperti buaian seorang anak kecil, yang akhirnya tertidur di dalam buaian ibunya. Tidak. Ia tidak pernah membuat aku tertidur. Bahkan dengan setiap hari yang berlalu..aku dapati ia semakin membuka hatiku. Membuka mindaku. Membuka mataku (yang sepet) dengan seluas-luasnya.

Tentang satu realiti.

Iaitu dunia ini..tiada nilai.

Tiada apa di dalamnya.

Ada apa dengan dunia? Bila kita menantikan akhirat yang kekal abadi.

Akhirat..dengan syurga yang penuh kenikmatan. Kita tidak pernah ke sana. Pernahkah anda melancong ke sana? (soalan apa ni..) tidak inginkah kita ke sana? Melihat dan merasai nikmat yang tak pernah terbayang di minda seorang manusia.

Kecuali Nabi Adam a.s. tidak perlu hairan, kerana baginda memang pernah tinggal di sana. Pada saat kematiannya, tahukah anda, apabila ditanya oleh Izrail a.s tentang perkara apakah yang paling engkau idamkan..apakah jawapan baginda?

“Sesungguhnya aku mengidamkan syurga.”

Baginda a.s mengidamkan syurga. Baginda yang pernah tinggal di sana sangat mengidamkan untuk kembali hidup di syurga. Kalau kita tidak percaya pada kata-kata bekas penghuni syurga..kata-kata siapakah lagi yang boleh dipercayai? Tentang kenikmatan yang diberikan di sana..alangkah beruntung jika kita seperti S. Abu Bakar..yang sudah terjamin masuk syurga. Indahnya ..

Snap!

Jangan berangan!

Jangan sekali-kali membiarkan diri kita berangan di siang hari. Itu Abu Bakar As-Siddiq. Kita siapa? Kita siapa sahabat-sahabat?

Kita siapa dalam PANDANGAN ALLAH TAALA??

Kita siapa..layakkah kita. Untuk meminta-minta nikmat syurga. Sedangkan nikmat dunia dipandang sebelah mata!

Berapa kali kita membaca doa selepas bangun tidur? Berapa kerap kita membaca doa sebelum makan? Adakah kekenyangan perut disudahi dengan “Alhamdulillah” atau “buurrp!..oops, excuse me.”?

Astaghfirullah al-Azim.

Bagaimanakah hubungan kita dengan Rabb? Pernahkah kita periksa..sebagaimana seorang pelajar diperiksa nilai ilmunya dengan peperiksaan penggal? Pernahkah kita menguji diri sendiri..setakat manakah iman di hati?

Macam mana? Apa kayu ukurnya?

Kayu ukur YANG UTAMA: S.O.L.A.T.

SOLAT.

SEMBAHYANG.

Kenapa?

Kerana sahabat-sahabat..pada waktu itulah kita hamba-hamba-Nya menghadap-Nya secara “rasmi”. Pada ketika yang lain, di luar solat, apakah kita mengingati-Nya? Apakah menuntut ilmu kerana-Nya? Apakah makan kerana lapar semata atau kerana inginkan tenaga untuk bekerja, kerana-Nya? Demi keredhaan-NYa? Alhamdulillah kalau anda mengingati-Nya. Tetapi berapa ramai insan seperti itu?

Kalau di luar solat sedikit pun tidak ingat..bagaimanakah halnya dengan di dalam solat itu sendiri?

Cuba kita kira..dalam sehari, berapa banyak solat kita yang betul-betul khusyuk?

Tak ada terngiang-ngiang lagu yang baru didengari tadi.

Tak ada terfikir, “Lepas ni aku nak buat apa ye?”.

Tak ade terfikir, “ aduh, laparnya!”

Berapa agak-agaknya ye? Puratalah. Kita ambil purata senang.

Aduh, hendak tergelak pun ada rasanya. Honestly, kadang2 tak ada satu pun solat saya yang 100% tak terganggu, dalam seharilah. Memang mesti, wajbal ghunnah ada kecacatan. Terdengar roommate bersembang pun..habislah. dah hilang khusyuk. Aduhai, lemahnya orang yang bersolat ini.

Sebenarnya, tak elok gelak kan? Tidak elok ketawa tentang perkara penting macam ni. Perkara paling asas seorang muslim dalam menjalani kehidupan sehariannya.

Asas sebuah bangunan terletak pada tapaknya. Kestabilannya bergantung kepada keluasan tapaknya. (betulkan, pelajar architecture?) Sama juga prinsip asasnya dengan hati seorang manusia. Asasnya ialah “ash hadu alla ilaha illallah. Wa anna muhammadur rasulullah.” Syahadatain. Kesaksian keimanan kepada Allah SWT.

Proses seterusnya ialah membina tiang atau struktur bangunan. Apakah tiang hati manusia? Dengan kata lain, apakah struktur yang mengukuhkan asas hati seorang mukmin itu tadi, seperti mana kukuhnya asas sebuah bangunan dengan kekuatan materialnya dan cerucuk besinya?

Perkara yang sedang kita bincangkan inilah. As-solat.

As-solat, as-solat. Pembina keimanan. Pengukuh keimanan. Jambatan antara hati mukmin dan pencipta-Nya.

Itulah pengukuh hubungan YANG UTAMA.

Jadi..berbalik kepada tajuk kita..kenapa ada ayam? (tergelak)

Ayam pun solat ke? (tergelak lagi)

Tak..tak. ayam tak solat. Tapi ia mengingatkan manusia supaya bangun solat.

Kan pagi-pagi lagi dia berkokok, “kok kok kok kok!!” ..anehnya yang menyahut, “krooohh…zzzz…krooohh..zzzz..”. Tahu tak makhluk mana yang berbunyi pelik pada waktu pagi tu? (tergelak) Hm..sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula ye?

Hai, tak malunya manusia ini. Ayam yang tak solat tu pun dah bangun awal-awal pagi. Sebelum tebrit fajar lagi tu. Hebatnya! Lain pula halnya dengan manusia yang sepatutnya bersolat. Wajib pula tu. Perkara wajib jangan main-main, nanti ditanya di akhirat, apa nak jawab?



“Ya Allah, masa tu aku tengah exam. So, aku study smpi lewat mlm. Akibatnya aku terlalu penat untuk bangun Subuh, pastu terlepaslah Subuhku. Ampunkan aku ya Allah..”

Berani kita nak menjawab macam tu di hadapan Allah Taala? Dengan “so” dan “pastu” lagi..hm..manusia, manusia. Tak kenal tempat diri.

Kalau kita benar-benar ‘merasai’ keagungan Zat Allah Taala..kita takkan berani nak mengangkat muka pun di hadapan-NYa. Hendak bersuara apatah lagi. Hendak menjawab jauh sekali.

Jadi, sahabat-sahabat sekalian, sebelum kita malu dengan Allah Taala di akhirat nanti, apa kata kita malu sekarang..waktu masih bernafas ni. Selagi boleh bernafas, jagalah solat kita. Selagi upaya dan masih muda, solatlah pada awal waktu. Carilah muslim lain, solat berjemaah.

Solat..solat dan solatlah kamu. Sebelum kamu disolatkan.

Sabda Rasul Allah SAW (maaf mungkin tak berapa tepat);

“sesungguhnya tidak akan berganjak seorang manusia itu dari tempatnya sehinggalah dia ditanya tentang amalan solatnya.”

*berkeroh eja macam ni ke?

p/s: mendapat inspirasi daripada “A morning person” karangan Hj Muhammad Zakaria, Solusi isu 17 m/s 42. Bacalah. Menarik. :)

p/s/s: maaf ada sedikit masalah teknikal (semua tulisan jadi rapat2..bencinya~)

No comments: