Thursday, June 18, 2009Manusia memang pandai bercakap. Lihat sajalah pemimpin-pemimpin Malaysia yang pandai bercakap.
Apabila menyentuh soal pemimpin di Malaysia, atau di mana-mana negara sekalipun, sudah pasti kita tidak terlepas daripada membahagikannya kepada dua; kerajaan dan pembangkang. Ia merupakan fitrah. Keadaan semulajadi yang tidak dapat dielakkan. (tersenyum) Tapi..benarkah? Benarkah tidak dapat dielakkan?
Sebagai seorang manusia yang masih muda usianya, saya tidak layak untuk berkata apa-apa. Apalah sangat yang saya tahu mengenai 'hal-hal orang tua' dalam mentadbir sebuah negara. Mentadbir..SEBUAH NEGARA. Besar frasa-frasa itu! Ingat senangkah hendak menguruskan sesebuah negara?
Negara yang didiami oleh jutaan makhluk yang 'paling pintar' di antara semua makhluk di alam ini. Makhluk yang dikurniakan Tuhan sesuatu yang tidak dikurniakan-Nya kepada makhluk-Nya yang lain. Dalam erti kata lain; istimewalah. Ya, maka makhluk-makhluk yang kononnya 'paling pintar' di alam semesta itu mula merasakan betapa 'istimewanya' diri mereka. "Oh, hebatnya aku! Aku ada akal! Tiada satu pun makhluk yang sepertiku! Boleh berfikir untuk diri sendiri! Hm..hebat tu!"
Susah bukan, hendak menguruskan makhluk yang bernama "manusia" ini?
Mereka bukannya seperti ayam atau kambing. Pada waktu pagi, bukakan pintu kandangnya dan lepaskanlah mereka. Biarkan mereka merayau-rayau mencari makan sendiri di bumi Tuhan yang subur, mencari cacing atau meragut rumput-rumput yang tumbuh meliar di tepi jalan. Kemudian, apabila hari hampir senja, halau mereka kembali supaya masuk ke dalam kandang mereka semula. Habis cerita! Senang kan, kerja menjadi penternak ayam atau kambing?
Tapi, bagaimana pula halnya dengan makhluk bernama manusia tadi? Adakah senang seperti itu kerjanya untuk menuruskan keperluan mereka? Macam cerita ayam dan kambing tadi? Hei, tentulah..tidak! Awak dan saya sangat arif tentang kelecehan seorang manusia. Ehem, kita kan dua orang manusia juga..
Akhir-akhir ini, pemimpin-pemimpin kita kelihatan 'sedikit bersusah payah' dalam menguruskan negara tercinta ini. Mereka tidak lagi boleh duduk sahaja di pejabat-pejabat mewah mereka itu, atau sekali-sekala mengeluarkan kenyataan-kenyataan sensasi di media, iyalah, untuk menunjukkan kepada rakyat yang mereka itu 'masih wujud'! Apabila mengeluarkan kenyataan, kemungkinan besar gambar mereka akan turut tersiar. Jadi, barulah orang ramai tahu, yang pemimpin itu masih ada rupanya. Kalau tidak, senyap sahaja. (Minta maaflah, sedikit pedas ye. Siapa makan cili terasa pedasnya!)
Sekarang, kerajaan telah mewujudkan satu sistem baru, khas untuk para pemimpin kita. Itulah sistem KPI (Key Performance Indicators). Bukan pelajar sahaja yang ada sistem untuk menulai pencapaian akademik, sekarang ini, wakil rakyat pun ada sistem yang seumpama dengannya. Seronok juga hati saya, sebagai seorang rakyat. (Dan sedikit geli hati) Seperti yang saya katakan, saya bukanlah sesiapa untuk mengutarakan pendapat. Bahkan, siapalah yang membacanya, mendengarnya atau memikirkannya?
Well, cuma anda dan saya, mungkin. (Senyum)
Tapi..ahh. Ya, ada tetapi kali ini. (Sebenarnya banyak kali dah saya cakap macam ni) Saya..terasa seperti tidak boleh nak berdiam diri dengan isu yang terbaru sekali di media. Tak lain, tak bukan ialah isu "Kerajaan Perpaduan".
"Kerajaan Perpaduan". Sedap bunyinya bukan? Aduh, namanya saja yang sedap, tetapi isunya hangat tak kena tempat!! (Eeii geramnya..)
Wahai Allah Tuhanku Yang Maha Agung, siapakah yang tidak sukakan perpaduan? Siapakah yang tidak sukakan kedamaian? Ok, mungkin ada pihak yang tak sukakan kedamaian dan perpaduan seperti para penjenayah di luar sana.
Saya juga mahukan perpaduan. Dengar tak wahai pemimpin-pemimpin di luar sana? Saya MAHU PERPADUAN.
Saya INGIN PERPADUAN.
Saya SUKAKAN PERPADUAN.
Alamak, buat penat saja saya menjerit. Tak ada orang dengar pun. Well, tak ada
pemimpin yang mendengarnya.
Sebab mereka lebih sibuk 'membincangkan' isu atau namanya. Apa kata kita namakannya "Kerajaan Perpaduan"? Dalam bahasa Inggeris pun bunyinya sedapkan, "Unity Government"? OK!
Tetapi mereka
tidak membincangkan intipatinya pun. Langsung.
Umpama seorang pembuat kuih..pau! Ha,
macam pembuat pau. Asyik fikirkan namanya saja, yang resepinya, intinya semuanya diletak di tepi dulu. Padahal sepatutnya mestilah inti dan resepinya diletakkan di keutamaan paling atas. Dengan kata lain, resepinya sudah pun siap. Tinggal untuk 'diemplementasikan' saja. (Ada ke perkataan "implementasi" dalam bahasa Malaysia??)
Lagipun, LAGIPUN,
pelanggan bukannya hendak tahu sangat pasal nama pau itu, yang akan jadi keutamaannya nanti ialah rasanya dan intinya.Cuba anda bayangkan, saya cakap, "Inilah pau saya yang teristimewa di abad ini! Namanya..Pau Ekspresso de Grande Pelangi Atas Angin!!" (Ok..saya mengaku, sedikit melampau..hehe)(gelak) Pelanggannya pula mesti berkata, "Oo..key. Jadi,
apa intinya?"Ini hanyalah sekadar contoh yang mudah. Lihatlah, betapa hebatnya nama sesuatu sekalipun, orang tetap akan bertanya pada intipatinya. Masyarakat tidak peduli sangat dengan namanya, yang penting ialah intipatinya.
Fokus tetap kepada intipati.
Tapi, (Tapi lagi) apa yang berlaku dalam minggu ini jelas membuktikan, pemimpin-pemimpin Malaysia tidak serius dalam isu tersebut. Anda lihat apa yang berlaku? Parti Islam Se-Malaya mengalami keretakan pula. Perpaduan apa namanya itu. Secara peribadi, terus terang saya katakan parti UMNO sedang mengambil kesempatan di atas keretakan di dalam PAS. Saya tidak menyokong sesiapa di sini. Saya cuma menyatakan apa yang saya lihat berdasarkan peranan "orang di tepi". Saya bukan ahli politik. Saya belum pun mencapai usia berhak mengundi. (senyum) Saya cuma orang yang berdiri di tepi jalan. Tetapi, saya rasa orang di tepi pun ada hak untuk berkata sesuatu.
Saya kecewa dengan segala 'agenda' yang melanda negara-negara Islam kini. Negara Islam yang miskin kekal miskin, sementara yang 'aman' pula dilanda kekacauan politik. (Mengeluh) Sedangkan perkara yang sepatutnya menjadi agenda sebenar negara-negara Islam yang aman ini ialah bagaimana untuk membantu negara-negara saudara sendiri, di samping mennyelesaikan masalah-masalah di dalam negara juga. Melihatkan keadaan sekarang, em..perkataan yang paling dekat untuk menggambarkan perkembangan ke arah itu ialah..TAK MUNGKIN.
Ya, memang pahit, tapi dengan keadaan sekarang ini, jawapannya ialah
TIDAK MUNGKIN.
Jika keadaan sekarang berubah, atau sebetulnya diubahkan, jawapannya boleh menjadi..
MUNGKIN. Kemudian..
ADA HARAPAN. Dan akhirnya
..INSYA-ALLAH (dengan izin Allah).
Macam manalah hendak wujudnya sebuah kerajaan perpaduan jika masih terdapat pihak yang tamak dan dengki? Yang sanggup menggunakan soal kerajaan perpaduan untuk mengambil kesempatan ke atas pihak yang lain?
Bukannya ikhlas hendak memimpin.
Memetik akhbar Utusan Malaysia online, 18 Jun 2009, berkata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin,
"Saya selaku ketua pemuda berpendapat bahawa sekiranya Nasharudin tidak lagi
dihargai oleh Pas dan dihalau keluar, lebih baik beliau meneruskan perjuangan
bersama UMNO."
Baiklah. Kenyataan ini timbul selepas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
meminta Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, keluar meninggalkan parti
sekiranya masih mahu meneruskan idea kerajaan perpaduan itu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata bahawa
sebarang perbincangan mengenai kerajaan perpaduan hanya boleh dibuat selepas Pas
'menetapkan pendiriannya'.
Pendapat saya;
1. Tindakan En. Nasharudin mengemukakan cadangan kerajaan perpaduan pada ketika ini, adalah tidak wajar dan tidak kena pada masanya.
Pada waktu kini, sebuah pakatan telah ditubuhkan antara DAP, PKR dan PAS. Secara tiba-tiba, dengan tidak pernah dibincangkan di antara ahli-ahli pakatan tersebut, seorang daripada mereka mengemukakan cadangan kepada umum untuk membentuk kerajaan perpaduan, dengan parti lain, iaitu UMNO.
Tidakkah ini memalukan pakatan mereka?
Keadaan bertambah teruk apabila isu ini hangat diperkatakan media massa. Sepatutnya, apa-apa perkara pun, hendaklah dibawa berbincang bersama ahli-ahli pakatan asal. Pada pendapat saya, perkara ini telah memalukan imej Islam bukan sahaja dalam kalangan muslim tetapi juga di mata mereka yang bukan Islam. Seolah-olah..seolah-olah.. Islam itu agama yang mengkhianati kawannya. Saya tak suka nak berkata begini, tapi inilah pandangan saya.
Rasulullah SAW selalu berpesan supaya jangan mengkhianati kawan, sekalipun mereka tidak seagama dengan kita. (Maaf, saya tidak tahu hadis Rasul SAW mengenai perkara ini.)
Sultan Salahuddin Al-Ayyubi juga menghormati musuhnya, King Richard the Lionheart, salah seorang pemimpin tentera Salib. Tahukah anda, beliau malah menjemputnya menghadiri sambutan Hari Raya Aiduladha( jika tidak silap) di Baitul Maqdis? Setelah perjanjian damai dimeterai antara Salahuddin dan King Richard, Salahuddin tetap melayan musuhnya itu dengan penuh hormat. Pernah ketika King Richard jatuh sakit, Salahuddin pergi menjenguk musuhnya itu, malah memberinya buah tangan.
Itu sikap seorang pemimpin Islam terhadap seorang musuh.
Bagaimana pula sikapnya terhadap seorang kawan? Tidakkah kita malu dengan sikap kita sekarang?
2. Sekali lagi, ini semata-mata pendapat peribadi. Saya rasa Datuk Nik Abdul Aziz telah berkata yang terbaik buat masa ini. Apa lagi yang boleh dikatakannya, sedangkan pemimpin partinya sendiri telah berkata begini dan begitu? Saya rasa dia cuba menyelesaikannya masalah dengan cara terbaik yang difikirkannya.
Bahkan, saya tidak rasa Datuk Nik Aziz menghalau En. Nasharudin Mat Isa. Cuma, katanya, jika ingin meneruskan juga cadangan kerajaan perpaduan itu, maka eloklah keluar sahaja daripada parti tersebut. Datuk Nik Abduk Aziz tidak cuba menafikan atau menutup perkara ini daripada masyarakat, tetapi memberikan penjelasan serta saranan yang terbaik buat semua, baik pemimpin partinya mahupun rakyat. Ini bermakna, jika En. Nasharudin tidak meneruskan cadangannya itu, bukankah dia boleh terus berkhidmat untuk parti itu?
Saya rasa Datuk Nik Abdul Aziz telah mengambil tindakan terbaik untuk menjernihkan keadaan di dalam pakatan mereka. Mungkin supaya tidak timbul permusuhan atau perpecahan yang lebih teruk dalam pakatan mereka.
3. Kata-kata sesetengah pihak jelas menunjukkan mereka cuba mengambil kesempatan di atas perpecahan yang melanda parti lawan mereka.
En. Khairy Jamaluddin misalnya berkata sekiranya Pas tidak lagi menghargai En. Nasharudin dan menghalaunya keluar, maka dia dipelawa meneruskan perjuangannya di dalam UMNO. Pada saya ini merupakan satu tindakan yang terang-terangan mengambil kesempatan di atas masalah yang timbul dalam parti lawannya.
Masakan tidak, ketua parti pertama sudah mengeluarkan kenyataan seolah-olah menghalau pemimpinnya, manakala parti lawannya pula tiba-tiba sangat mengalu-alukan pemimpin tersebut.
Keadaan bertambah tegang apabila Tan Sri MuhyiddinYassin pula berkata, kami tidak akan berbicang mengenai kerajaan perpaduan sehingga Pas menetapkan pendiriannya. Dalam keadaan terumbang-ambing dan hampir retak, tidakkah kenyataan -kenyataan sebegini memeningkan dan lebih melumpuhkan lawan?
Ya, sebenarnya mereka sedang bersaing untuk merebut hati rakyat. Terutamanya mereka yang gemar mengambil kesempatan terhadap kelemahan orang lain.
Lihatlah..tiada inti. Hanya ada nama sahaja.
Sebab itulah, saya tidak menamakan kepimpinan sekarang dunia kepimpinan. Tetapi dunia politik. (menggeleng kepala)
Posted at 8:52pm