Anda pelik tak dengan soalan ini? Yelah, dah hidup dua dekad di atas bumi Malaysia, takkanlah tak tahu siapa yang dimaksudkan dengan warga emas. Nak kata tak faham bahasa, ni yang tengah taip ni bukan bahasa ke? (mengarut dah..)
Kalau anda pelik dengan soalan ini, maka saya pula pelik dengan kepelikan anda itu. (gelak)(minta maafla, dah lama tak mengarut..)
Bukan apa, saya cuma pelik kenapa pemuda-pemudi sekarang ini tak tahu yang mereka itulah sebenarnya WARGA EMAS! Atau mungkin lebih tepat kalau saya katakan mereka ini TIDAK SEDAR bahawa mereka juga sebenarnya warga emas, bukan sahaja pak cik, mak cik serta ibu bapa atau sesiapa sahaja yang sudah lanjut usianya. Cuma, mungkin mereka, atau kita ini warga emas versi lain sedikit.
Ok, kali ini saya betul-betul tidak mengarut. Tapi..kenapa pula saya menyifatkan orang muda-mudi sebagai "warga emas"?
Baiklah. Cuba anda ikut saya..E..(ikut)..M..A..S. Cuba sebut ; emas. Apa itu emas?
Emas ialah antara benda yang paling berharga di dalam dunia ini. Emas merupakan logam galian atau hasil bumi yang tidak ternilai harganya, kerana kesukaran mendapatkannya. Anda tahu tak bagaimana susahnya pekerjaan sebagai seorang pelombong emas? Walaupun mereka ini yang menggali emas, akan tetapi hasil kekayaan itu tidak sampai secara seratus peratus kepada mereka. Semuanya gara-gara orang tengah dan pihak-pihak yang mengeksploitasikan penggali-penggali emas ini demi kepentingan serta keuntungan mereka sendiri. Mereka menyerahkan kerja-kerja yang berat kepada penduduk tempatan, dan mereka pula dengan senang-lenangnya mengaut keuntungan yang besar hasil daripada jualan emas itu. Tambahan pula, kerja sebagai pelombong emas amatlah berbahaya. Mereka dengan mudahnya boleh mati jika terperangkap di dalam lombong-lombong emas tempat pencarian rezeki mereka. Kekurangan udara juga boleh mengakibatkan kematian. Begitulah kehidupan seorang pelombong emas.
Hensem juga abang pelombong emas
Emas sememangnya sukar untuk didapati. Oleh sebab susah hendak mendapatkannyalah nilainya menjadi amat tinggi dan mahal di pasaran dunia.
Malah, sebelum sistem wang kertas diperkenalkan, raja atau pemerintah pada zaman dahulu menggunakan mata wang perak, emas dan gangsa dalam urus niaga mereka. Pada waktu itu, yang kaya benar-benar kaya dan bukan hanya setakat kaya saham di dalam syarikat, atau mempunyai wang simpanan berjumlah jutaan dolar di dalam bank.
Oleh sebab itu, kita dapat meilhat malah seluruh dunia turut merasai impaknya apabila krisis ekonomi melanda baru-baru ini. Nilai mata wang semuanya terumbang-ambing akibat sistem kewangan konvensional yang diguna pakai oleh seluruh dunia, iaitu sistem berjual beli menggunakan wang kertas sebagai perantaraan.
Sebenarnya, saya juga sudah terlupa apakah faktor asal yang menyebabkan krisis ekonomi pada akhir tahun lalu. Walau apapun, keadaan tersebut jelas membuktikan bahawa sistem ekonomi berasaskan nilai mata wang tidak menjamin kekayaan yang sebenarnya. Ramai jutawan di seluruh dunia yang bankrap dalam sekelip mata sahaja akibat krisis ekonomi tersebut. Saya tidak pasti bagaimana caranya saham berfungsi, tetapi apa yang pasti, nilai aset terpakai mereka jatuh merudum dengan begitu mendadak sekali. Di dalam dunia para orang kaya dan ternama, mereka dikira sebagai 'papa kedana'.
Anda lihatlah sendiri, betapa emas itu amat tinggi nilainya. Ianya mahal dan bukan sebarangan orang boleh memilikinya. Mereka yang memiliki kedai-kedai emas (misalnya) boleh dikira amat kaya. Sebab itulah, kedai-kedai mereka menjadi sasaran yang cukup lumayan buat...PENCURI. Rompak sahaja satu atau dua, atau mungkin juga tiga kedai emas, maka cukuplah 'hasilnya' untuk menyara seluruh kehidupan si pencuri. Tidak perlu lagi bersusah payah dan berpatah belakang untuk bekerja di bawah terik matahari demi mencari sesuap rezeki yang sedikitpun tidak lumayan. Sudahlah susah, hasilnya pun..alahai, sejemput. Lebih baik pergi merompak bank ke, kedai emas Hajah Midah ke, lagi senang. Go in, take the money, go out. Go, take, go. Prinsip yang mudah. Hehehe! Begitulah ngomelan si pencuri.
Bukankah saya dah cakap, emas itu memang teramat berharga..bagai menyeru pencuri datang. (bukanlah saya mendoakan..)
Kesimpulannya, emas itu suatu benda yang memang tidak ternilai. Jadi, salahkah kalau saya mengatakan bahawa masa mudalah masa keemasan? Jadi, bukankah sesiapa yang berada pada zaman mudanya merupakan warga di zaman keemasan? Dengan kata lain, warga emas?
Betul atau tidak, wahai remaja-remaja di luar sana?
Malang sekali, kerana saya rasa..tidak ramai pun yang menjawab pertanyaan terakhir saya tadi..(sedihnya..)
Tolonglah fahamkan diri saya, sebab saya memang tak boleh nak faham, walau macam mana cara pun saya cuba. Saya cukup tak faham, kenapa orang-orang muda boleh ada masa lagi melepak di pasar raya-pasar raya, di pusat-pusat bowling, di arked-arked permainan video, kalau nak 'naik taraf' sikit, di pub, di kelab malam, di pusat jamming atau clubbing dsb. Tidak kurang juga yang meragut, menghisap ganja, menghidu gam, dan yang semakin hangat di atas carta ialah; merempit. Sedangkan mereka tidak sedar, bahawa masa semakin berlalu. Siang bertukar menjadi malam. Malam bertukar menjadi siang. Mereka tidak sedar yang mereka semakin tua,bukannya semakin muda. Hanya beberapa tanda sahaja yang menunjukkan masa telah berlalu bagi mereka; kulit yang sedikit berkedut, janggut atau rambut semakin panjang, dan hari jadi yang ke-30. (Bila dah sampai 30 baru sedar masa dah berlalu begitu pantas.)
Sewaktu tubuh badan yang sihat dan kuat mereka pergi melepak dan keluar bersama kawan-kawan. Apabila jatuh sakit, baru teringat betapa nikmatnya badan yang sihat. Pernahkah kita benar-benar menghargai nikmat kesihatan? Tarik nafas dalam-dalam dan gerakkanlah otot-otot badan. Buat stretching. Pejam mata sebentar, kemudian buka mata luas-luas!
Tidakkah anda rasa nikmatnya dapat melihat alam dengan mata yang sihat? Tidakkah anda rasa tenaga yang begitu kuat 'berderam' di dalam badan anda, sepertimana sebuah enjin kereta baru berbunyi apabila dihidupkan untuk test drive pertamanya?
Tapi, kebanyakan kita tidak sedar akan tenaga yang kuat dan 'segar' ini. Malah, kebanyakan daripada warga emas hanya melepaskan sahaja tenaga muda mereka melakukan perkara-perkara yang tidak menjana apa-apa perkembangan berguna. Yang berkembang hanyalah penyakit-penyakit sosial yang tidak berkesudahan. Menyedihkan, bukan?
Warga emas mudah lupa
Siapakah sebenarnya diri mereka
Punya tenaga dan rencana
Tapi sayang
Rencana sia-sia
Maka tenaga juga tersia-sia begitu sahaja
Tiada pembangunan
Tiada perkembangan
Lupakah mereka
Datuk nenek meniti usia
Ayah ibu semakin tua
Selepas mereka siapakah pula
Yang akan menjadi nakhoda negara
Siapakah pelindung adik-adik mereka
Siapakah penulis masa depan negara
Siapakah yang memacu kemajuan bangsa
Adakah apabila dijajah semula
Barulah warga emas bangkit semula?
Wahai warga emas berdarah muda
Sahutlah seruan negara
Sahutlah seruan yang lebih tinggi daripada segalanya
Sahutlah seruan Ilahi
Bangunkanlah nusa, bangsa, dan agama
Akan tetapi,
Kamu harus bangunkan diri dahulu
Goncangkanlah dengan sekuat-kuat goncangan
Agar terjaga dari lena yang sudah terlalu lama
Sudahlah. Cukuplah. Hentikanlah dengkuranmu.
Bangun! Bangun! Bangun!
Sebelum terbangkitnya kamu
Dari sebuah kematian.
Posted at 12:14pm
1 comment:
ohh..saya ialah warga emas ! baru sy tahu ! trima kaseh cik timmy !
Post a Comment