Tuesday, May 12, 2009

Antara Politik dan Kepimpinan

Tuesday, May 12, 2009

Kecewa.

Itulah satu-satunya perkataan yang paling tepat menggambarkan perasaanku ketika ini.

Aku tidak akan kecewa kerana soal cinta. Kerana yang aku cintai tidak pernah mengecewakanku walaupun sekali. Hanya aku sahaja, hamba-Nya yang berkali-kali mengecewakannya.

Aku kecewa pasal hal lain. Hatiku patah, kecewa melihatkan manusia yang digelar "pemimpin".
Tetapi, siapalah aku. Perasaanku tidak penting. Pada pandangan mereka, aku hanyalah satu lagi 'tiket' mereka untuk bergelar wakil rakyat. Aku hanya satu lagi undi yang tidak membawa apa-apa makna, melainkan apabila hampirnya musim pilihan raya. Mungkin cuma waktu itu aku ini begitu berharga bagaikan emas membukit. Bahkan, aku ingin ketawa saat ini. Terasa lucu untuk menuturkan kata-kata begini, kerana aku belum pun layak mengundi di negara sendiri.

Memang aku belum layak mengundi, namun suara aku juga berhak kedengaran.

Aku sedih dan kecewa melihatkan sikap 'pemimpin' pada zaman kini. Tidak payahlah lihat negara-negara maju, lihatkan tanah air sendiri pun sudah mencukupi.

Kebelakangan ini, aku semakin jarang membelek akhbar. Tapi, berita yang satu ini tetap sampai kepada pengetahuanku. Masakan tidak, seluruh Malaysia kecoh tentangnya.

Saya merujuk kepada peristiwa 7 Mei 2009 bertempat di Dewan Undangan Negeri Perak yang telah menyaksikan betapa para pemimpin yang dipilih sendiri oleh rakyat Perak telah menghancurkan demokrasi yang kononnya menjadi pegangan mereka.

Tidak kiralah siapa yang betul atau siapa yang salah, kedua-dua pihak BN dan PR benar-benar telah mengecewakan saya. Mujurlah saya bukan rakyat Perak. Kalau tidak dah berlaku gempa bumi agaknya.

Akibat kekecohan yang berlaku pada 7 Mei lalu, hanya 5 usul yang dibentangkan di Dun Perak. (atau mungkin memang ada 5 sahaja)Perkara yang paling memalukan agaknya ialah tertangguhnya ucapan pembukaan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah selama hampir 5-6 jam.

Saya bukan orang media. Apatah lagi orang yang 'masak' dengan suasana politik di negara sendiri. Saya cuma seorang..rakyat daripada 27 juta rakyat Malaysia saat ini. Jadi, apalah sangat maklumat yang saya tahu tentang peristiwa pada hari itu.

Perkara yang menjadi tumpuan media ialah keengganan speaker Pakatan Rakyat bangun dari kerusi Speaker DUN. Sehinggakan pihak polis terpaksa mengangkat kerusi itu keluar, dan kemudian barulah kerusi itu dibawa masuk semula ke dalam dewan.

Sikap apakah ini?

Mungkin PR ingin menunjukkan yang merekalah yang masih berhak ke atas pemerintahan Perak. Tetapi ini adalah satu tindakan yang menunjukkan ketidakmatangan mereka! Kalau benar mereka mahu memimpin rakyat Perak, ini bukan caranya! Kalau betul dari segi undang-undang BN merampas kuasa, maka tunggulah dahulu sehingga kes ini benar-benar telah selesai.
Kemudian bolehlah mereka menuntut hak mereka kembali. Tetapi, bukan dengan cara keanak-anakan seperti ini!

Saya tidak berpihak kepada sesiapa pun. Saya cuma tidak suka pemimpin menunjukkan contoh yang tidak elok. Apatah lagi saya masih awal remaja. Kalau 'kecil-kecil' lagi saya sudah melihat mereka begini, maka bagaimanakah saya akan menyokong mereka pads masa hadapan? Meskipun mereka adalah pihak yang benar-benar dianiaya.

Pihak PR menuduh BN merampas kuasa di Perak. Kemudian BN pula mempertahankan keputusan mereka, mengatakan kepada rakyat umum bahawa keputusan mereka mengikut undang-undang negeri Perak dan tidak bertentangan dengan Perlembagaan Negara. Aduhai..di celah-celah semua ini, isu siapakah Menteri Besar Perak yang sah juga masih hangat dalam perdebatan.

Dan, berita yang terbaru ialah, semalam (11 Mei) Mahkamah Tinggi Negeri Perak memutuskan bahawa Dato' Seri Nizar masih ialah Menteri Besar Perak yang sah.

Sekarang persoalannya, siapakah pula yang bakal memerintah kerajaan negeri Perak? Adakah kini kuasa beralih kepada Dato' Seri Nizar dan PR? Tetapi, mengikut akhbar NST 11 mei semalam, Perdana Menteri pula berkata "sekarang ini apa yang penting ialah semua pihak saling menghormati hak masing-masing. Tidak semestinya membentuk kerajaan yang baru." (Lebih kurang begitulah yang saya rumuskan)

Habis tu, bagaimana sekarang? Apakah keputusannya??

Geram saya melihat semua yang berlaku ini. Kalau awal-awal tadi saya katakan saya cuma kecewa, sekarang saya jadi geram pula.

Bagaimana tidak geram? Sementara orang-orang besar, wakil-wakil rakyat yang berada di 'atas' itu berbalah sesama sendiri, siapa yang sebenarnya mendapat impak daripada semua ini?? Siapa lagi kalau bukan rakyat! Rakyat Perak!

Kasihan saya melihat pergolakan di negeri Perak. Tidak kira siapa yang menang, siapa yang kalah, yang sengsara rakyat juga! Siapa yang mahu membuka perniagaan dan melabur wang di negeri yang keadaan politiknya begitu tidak menentu? Ibarat menabur wang dalam ribut taufan, habis terbang duit-duit itu nanti. Usaha yang sia-sia, tidak menjamin apa-apa pulangan, bahkan merugikan sahaja. Ini hanyalah satu contoh antara kerugian-kerugian lain yang telah dan bakal dialami rakyat Perak.

Para rakyat sekalian, inilah orang-orang yang memimpin dan menentukan nasib 'pelayaran' negara ini.

Sangat berbeza dengan para pemimpin yang menjadi idaman hati.

Apabila tibanya saat-saat seperti ini, saya akan bertambah-tambah rindu untuk menoleh ke belakang. Untuk mengenang kembali, cahaya kepimpinan Islam pada zaman sebelum kita.

Saya merindukan Salahuddin Al-Ayyubi. Tariq bin Ziyad. Abu Ubaidah Al-Jarrah. Umar Al-Khattab. Abu Bakar As-Siddiq. Umar Abdul Aziz. Ramai lagi. Dan bagaimana mungkin tidak merindui insan yang menjadi perintis kepada semua pemimpin unggul ini, yang mencungkil bakat kepimpinan dari dalam diri mereka, sehinggakan nama mereka tercatat puluhan ribu kali di dalam buku-buku sejarah? Nabiku, Muhammad SAW, Rasulullah SAW.

Pada saat dunia di ambang kejatuhan sosial, sungguh ironi ketika mana teknologi dan ilmu-ilmu sains semakin pesat berkembang menguasai dunia. Bagaimana kemajuan teknologi boleh menyebabkan kemerosotan bangsa? Tak faham saya.

Rasulullah, apa yang kamu takutkan sudah menjadi.

Dunia penuh fitnah, tidak tahu lagi siapa yang bercakap jujur dan siapa pula yang berdusta.

Apa yang patut kami lakukan? Apa yang harus kami lakukan, ya Ilahi?

Turunkanlah hidayah-Mu kepada hati-hati yang masih berhajat kepada-Mu.

Ya Rabb, turunkanlah hidayah-Mu kepada kami,pimpinlah kami dan pimpinlah pemimpin-pemimpin kami yang masih teguh kepada-Mu. Amin.


Lihatlah 'pemimpin' kita 'beraksi'...

p/s: tiada niat untuk menimbulkan perpecahan di sini. Itu perkara yang paling saya minta dijauhkan daripada menimpa Malaysia. sekadar pendapat dan luahan rasa.

Posted at 11:30am

No comments: