Sunday, May 24, 2009

Iblis Berdialog dengan Nabi Muhammad SAW-bhgn 3

Sunday, May 24, 2009

Panjang juga perbualan Iblis dengan Nabi Muhammad SAW. Sudah masuk bahagian ke-3.

Sebenarnya saya sengaja pecahkan perbualan ini kepada beberapa bahagian. Sepertimana ayat-ayat Al-Quran diturunkan secara berperingkat, saya juga membahagikan perbualan yang mengandungi seribu satu pengajaran ini kepada beberapa bahagian. Tujuannya adalah untuk memudahkan pemahaman dan supaya lebih mudah meresap ke dalam hati kita. Bukankah kaedah yang sama telah digunakan dalam penurunan Al-Quran? Lihatlah kesannya kepada masyarakat Arab pada zaman Rasulullah SAW. Daripada masyarakat yang maksiat merupakan sebahagian daripada cara hidup mereka, Rasulullah SAW telah berjaya mengubah mereka menjadi manusia yang berakhlak tinggi yang terus-menerus menjadi contoh teladan sehingga ke hari ini. Alangkah bijaknya Tuhan. Alangkah geniusnya Tuhan. Tuhan alam ini, Allah Al-Hakim.

Saya hanya meniru cara Allah SWT mengajar manusia melalui pesuruhnya, Muhammad SAW. Kalau kita benar-benar menggunakan segala panca indera dan akal kurniaan Tuhan, sebenarnya kita dapat melihat pelbagai 'keajaiban' dan hikmah yang tersirat di sebalik setiap takdir Tuhan.

Baiklah. Marilah kita sambung kembali perbualan antara Iblis dan Rasulullah SAW. Isi kandungan perbualan mereka kali ini berkisar tentang ibadat-ibadat umat Islam yang lazim dilakukan, iaitu solat, haji, puasa dan membaca Al-Quran. Ibadat-ibadat ini ialah antara ibadat terpenting di dalam kehidupan seorang muslim. Tidakkah kamu mahu tahu apa 'pandangan' Iblis, raja segala syaitan yang bersumpah menarik sekalian anak Adam masuk neraka bersama-samanya, tidakkah hati kamu tertarik ingin mengetahui apa perasaan Iblis terhadap ibadat umat Islam yang utama ini..?

Mari kita sama-sama menelusuri inti perbualan Iblis (laknatullahialaihim) dengan Rasulullah SAW..

Rasulullah SAW : Hai Iblis! Apabila umatku mendirikan solat, bagaimanakah keadaan engkau?

Iblis : Itulah sebesar-besar kesusahan kepada hamba.

Gementarlah seluruh badan hamba dan lemahlah tulang sendi hamba, maka pada waktu itu, hamba menyuruh puluhan syaitan dan iblis menggoda setiap orang yang hendak bersolat menerusi anggotanya supaya malas bersolat dan hatinya supaya was-was dalam solatnya serta terlupa bilangan rakaatnya dan bimbangkan pekerjaan dunia dan hatinya hendak cepat-cepat menamatkan solatnya.

Dan sesetengah iblis masuk ke dalam mata orang yang hendak bersolat supaya ia tidak khusyuk dalam solatnya sehingga mereka berpaling atau menjeling ke kanan dan kiri semasa solat. (Maka) tidaklah tetap hatinya serta hilanglah khusyuknya.

Dan sesetengah iblis memasuki telinga orang yang bersolat supaya memasang telinga mendengar perbualan orang, bunyi-bunyian dan sebagainya yang sia-sia.

Dan sesetengah iblis duduk pada belakangnya supaya orang yang bersolat itu tidak berupaya lama-lama semasa bersujud atau bertahiyat.

Di dalam hatinya sering berkehendakkan agar solatnya segera tamat, dan ini tentunya akan mengurangkan pahala solat. Jika sekalian iblis berkenaan gagal menggoda seperti yang demikian, nescaya mereka akan hamba hukum dengan seberat-beratnya.

Mari kita berhenti sebentar, berfikir sejenak. Pernah tak di dalam hati, kita merasa perasaan-perasaan seperti yang dikatakan Iblis itu? Ketika sedang bersolat, terasa ingin cepat-cepat saja menamatkan solat, kalah pelumba F1 agaknya. Ketika sedang rukuk, hati kita tidak senang kerana 'terpaksa' meninggalkan gerai kita buat sementara kerana perlu menyahut tuntutan solat Jumaat terlebih dahulu. Entah-entah hati turut menghamburkan sumpah seranah kerana imam rukuk terlalu lama. "Eeei..lama pulak imam ni rukuk. Cepatlah sikit, nanti silap hari bulan ada pencuri singgah kat kedai aku tu!" Dan sebagainya. Sekarang kita dah tahu bukan, angkara siapa semua perasaan itu sebenarnya. Kalau begini, semuanya salah syaitan la?

Tidak! Jangan kita berkata begitu sahaja, melepaskan segala tanggungjawab kita sebagai hamba Allah dan meletakkan segala kesalahan di bahu syaitan yang durjana itu. Ya, benar, raja Iblis sendiri mengaku kepada Nabi Muhammad SAW bahawa memang dia menyuruh bala tenteranya menggoda orang yang sedang solat. Tetapi, bolehkah kamu bayangkan apa yang terjadi kalau segala ketidakkhusyukan kita itu kita menyalahkan syaitan semata-mata? Seolah-olah kita telah menyerah kalah sebelum bertempur. Seolah-olah kita telah biarkan syaitan memijak dan kencing di atas kepala kita!! Kamu mahu begitu?? Kamu mahu syaitan yang kafir itu mentertawakan kita? Bersorak-sorak kegembiraan dan mengatakan, "Horee! Lepas ni tak payahlah kita susah-susah nak goda mereka ni lagi! Mereka dah mengalah sebelum apa-apa lagi..kita dah berjaya! Horee!!"

Ya Allah, di manakah maruah kita sebagai orang-orang yang beriman? Orang mukmin lebih rela syahid, lebih baik terputus tangan, lebih baik buta kedua-dua mata daripada kalah kepada syaitan musuh Allah itu. Kitalah tentera Allah. Di saat kita mengucapkan "La Ilahaillah, Muhammadar Rasulullah", bermula dari saat itulah kita telah mengisytiharkan bahawa kita ialah tentera Allah. Pertahankanlah iman kamu, hai orang-orang yang beriman. Pertahankanlah solat kamu. Pertahankanlah kekhusyukan solatmu. Jangan kalah dengan tipu daya syaitan itu. Jangan dengar cakap mereka. Bertempurlah. Berjuanglah habis-habisan. Walaupun kita tidak mempunyai otot berketul-ketul seperti The Rock, tapi kita ada kekuatan yang otot pun tak boleh lawan. Kata orang, "tak boleh celen(challenge)"! Itulah iman kita. Iman itulah perisai kita. Gunakannya dalam peperangan memenangi kekhusyukan di dalam solat.

Rasulullah SAW : Jika umatku membaca Al-Quran kerana Allah, apakah yang engkau rasa?

Iblis : Jika mereka membaca Al-Quran kerana Allah, maka terbakarlah rasa tubuh hamba serta putus-putus segala urat hamba, maka larilah hamba dari mereka.

Rasulullah SAW : Hai Iblis! Jika umatku mengerjakan haji kerana Allah, apakah yang engkau rasa?

Iblis : Telah binasalah diri hamba dan gugurlah tulang hamba kerana mereka telah menyempurnakan rukunnya.

Sebelum kita teruskan, mari kita berehat sebentar. (lagi) (gelak) Marilah minum secawan air kosong untuk menyegarkan minda kita yang penuh sesak dengan berbagai-bagai masalah kehidupan..

Sudah..? Ok, sekarang pejam mata. (Macam mana nak baca kalau tutup mata??) Buka balik. Pejam balik. Buka balik. Buat lebih kurang sepuluh kali. Tarik nafas dalam-dalam. Lepas. (Fuuuh). Tiga kali ye.

(Haha)Ok, ini bukannya petua apa-apa. Saya cuma nak minda kita segar kembali untuk mengikuti isi perbualan yang seterusnya. (Apa pasal pulak?)(Soalan yang bagus.) Isi kandungan yang seterusnya, secara peribadinya, saya rasakan cukup penting dan bermakna buat kita umat Islam.

Mari ikuti...

Rasulullah SAW : Hai iblis! Jika umatku berpuasa kerana Allah, apakah yang engkau rasa?

Iblis : Ya Nabi Allah, inilah suatu bencana yang besar bahayanya terhadap hamba kerana apabila masuk malam awal Ramadhan, maka memancarlah nur `Arasy dan Kursi serta segala Malaikat menyambut dengan gembiranya. Bagi orang-orang yang berpuasa mendapat sebesar-besar anugerah Allah SWT Yang Maha Pengampun (diampunkan) segala dosa yang telah lalu serta digantikan pula dengan pahala yang amat besar serta tiada ditulis segala kesalahannya selama ia berpuasa.

Tambahan pula yang menghancurkan hati hamba ialah segala isi langit, bulan dan bintang serta Malaikat sehinggalah burung-burung dan ikan-ikan laut dan air tawar juga tiap-tiap yang bernyawa di atas muka bumi mendoakan siang dan malam memohon ampun bagi orang-orang yang berpuasa.

Satu lagi setinggi-tinggi kemuliaan orang yang berpuasa ialah Tuhan menjadikan 1000 kemerdekaan dari azab neraka. Pada setiap hari dalam bulan Ramadhan, segala pintu neraka ditutup, segala pintu syurga dibuka, angin/bayu syirah yang amat lembut berhembusan ke dalam syurga.

Maka pada hari mulanya umat Tuan Hamba berpuasa, datanglah segala bala tentera Malaikat yang garang tanpa mengira lawannya menangkap hamba dengan perintah Tuhan serta ditangkapnya segala bala tentera hamba iaitu jin, syaitan dan ifrit serta dipasung kaki tangannya dengan besi panas - dan dirantainya hamba sekaliannya serta dibenamkan hamba ke dalam bumi yang amat dalam dan ditambah pula dengan beberapa azab sengsara sehingga selesai ibadat puasa umat Tuan Hamba, baharulah hamba dilepaskan supaya hamba tidak boleh mengganggu mereka. Dan umat Tuan Hamba sendiri telah merasa kesenangan dalam menjalani ibadat puasa sebagaimana mereka bekerja untuk bersahur pada waktu tengah malam seorang diri sekalipun tanpa sedikit perlu merasa takut seperti malam-malam yang lain..

Sekarang kita semakin mengetahui perangai si Iblis ini. Dan di sini, kita boleh mengambil beberapa panduan ataupun tips, bagaimana nak memutuskan urat-urat iblis, menghancurkan tulangnya, dan menghancurkan hatinya pada bulan Ramadhan.

Contohnya, kita tidak perlu lagi lari daripada syaitan..kerana kita telah mengetahui bagaimana caranya untuk membutakan mereka yang lari daripada kita. (Macam mana?) Seperti di dalam perbualan di atas, kita bacalah Al-Quran kerana Allah, maka iblis sendiri yang akan lari daripada kita.

Tunaikanlah solat kerana Allah, maka kita telah menggentarkan dan melemahkan segala tulang sendi Iblis.

Pergilah mengerjakan haji kerana Allah, maka kita telah menggugurkan tulang-tulang si Iblis disebabkan kita telah menyempurnakan rukun Islam.

Tapi, saudara-saudari sekalian, jangan pula salah faham dengan bicara saya. Walaupun kita telah tahu apa akibatnya kepada Iblis sekiranya kita melakukan ibadat dengan cara yang betul(seperti tubuhnya rasa terbakar dsb), tapi, JANGAN PULA KITA LAKUKAN SEGALA IBADAT KEPADA TUHAN KERANA MAHUKAN AKIBAT TERSEBUT TERHADAP IBLIS. Kamu faham maksud saya? Lihat kembali kata Rasulullah SAW :

Apabila umatku membaca Al-Quran kerana Allah..
Apabila umatku mengerjakan haji kerana Allah..
Apabila umatku berpuasa kerana Allah..

Apakah kata-kata yang selalu diulang-ulang?

Tepat sekali. KERANA ALLAH. KERANA ALLAH. KERANA ALLAH.

Kamu faham? Ertinya, tunaikanlah segala perintah Allah, solatlah, berpuasalah, bekerjalah, bacalah Al-Quran, malah tidurlah..kerana Allah. Tidur kerana Allah boleh diumpamakan seperti kita niatkan tidur kita pada malam ini untuk mengumpul tenaga supaya mampu bangun menunaikan solat Subuh berjemaah di surau pada keesokan harinya. Atau kita berniat melelapkan mata lebih awal pada malam ini, misalnya pada pukul 10 malam, dengan harapan dan niat supaya ada tenaga untuk bangun solat malam. Semua ini hanya contoh. Sebenarnya segala aktiviti jika kita niatkan kerana Allah, untuk mencari keredhaan-Nya, insya-Allah, akan menjadi ibadah pada pandangan-Nya.

Siapa lagi yang perlu dihiraukan..kalau Allah SWT sendiri telah memandang
kita..

Posted at 1:35pm

No comments: