Tuesday, May 26, 2009

Iblis Berdialog dengan Nabi Muhammad SAW-bhgn 4

Tuesday, May 26, 2009

Kali ini perbualan mereka berkisar tentang pendapat iblis tentang sahabat Nabi yang masing-masing akhirnya menjadi khalifah selepas kewafatan Nabi.

Rasulullah SAW : Hai Iblis! Bagaimanakah halnya para sahabatku kepada engkau?

Iblis : Ya Nabi Allah, adalah sekalian sahabat Tuan Hamba adalah sebesar-besar seteru kepada hamba, kerana tiada upaya hamba melawan mereka dan tidak ada satu pun tipu daya hamba dapat memasuki mereka, kerana Tuan Hamba pernah berkata,

"Sekalian para sahabatku adalah umpama bintang di langit, jika kamu
mengikuti mereka nescaya kamu akan mendapat petunjuk."


Ya Nabi Allah, sekalian para sahabat Tuan hamba sangat taat mengerjakan perintah Tuan Hamba lagi setia serta bersungguh-sungguh menyiar dan menghebahkan syiar Tuan Hamba kepada sekalian manusia menerusi Al-Quran dan Al-Hadis.

Adapun Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq bin Abi Quhafah r.a. itu semasa sebelum beliau bersama Tuan Hamba pun, hamba gagal menghampirinya apalagi sekarang beliau telah mendampingi Tuan Hamba. Beliau amat kuat bersaksi di atas kebenaran Tuan Hamba sehingga beliau telah menjadi wazirul `azam dan Tuan Hamba telah berkata bahawa,
"Kiranya ditimbang kebajikan Abu Bakar dengan amal kebajikan sekalian isi
dunia ini, nescaya lebih beratlah kebajikan Abu Bakar."


Tambahan pula, beliau telah menjadi bapa mertua Tuan Hamba dengan mengahwinkan puterinya Sayyidatina `Aishah r.ha. yang sangat hafiz hadis-hadis Tuan Hamba.

Adapun sahabat Tuan Hamba, Sayyidina `Umar al-Khattab r.a., hamba tidak berani memandang wajahnya kerana beliau sangat tegas dalam menjalankan hukum syariat Tuan Hamba. Jika hamba terpandang wajahnya, maka gementarlah segala tulang sendi hamba kerana tersangat takut kepadanya kerana imannya yang sangat kuat apalagi Tuan Hamba pernah bersabda,
"Jikalaulah ada lagi Nabi selepas aku, nescaya `Umar boleh menggantikannya"
kerana harapan besar Tuan Hamba padanya.


Perlu diingatkan buat semua umat Islam, bahawa Nabi Muhammad SAW ialah rasul dan nabi yang terakhir. TIADA LAGI NABI SELEPASNYA. Namun, seperti yang berlaku pada zaman khulafa' ar-Rashidin, telah muncul kelompok-kelompok manusia yang mengakui diri mereka sebagai utusan Allah. Mereka semuanya PENDUSTA. Jika kita benar-benar orang yang beriman, kita wajib menolak bahkan diizinkan memerangi golongan pendusta ini. Al-Quran ialah wayhu terakhir yang Allah anugerahkan kepada anak-anak Adam menerusi rasul-Nya yang terakhir, Muhammad SAW. Kita juga generasi umat yang akhir. Antara yang terakhir. Semuanya akan berakhir tidak lama lagi. Tiada siapa pun yang dapat lari daripada dihadapkan dan dibicarakan di dalam mahkamah Allah SWT nanti. Saya, kamu, ibu-ibu kita, ayah kita, abang dan adik, datuk dan nenek, kawan baik kita. Dan..SEORANG PUN TIDAK DAPAT MENGHULURKAN PERTOLONGAN KEPADA ORANG LAIN, TIDAK KIRA BETAPA SAYANGNYA KITA KEPADANYA. Masa itu dah tak boleh. Tapi..sekarang masih boleh. Nasihatilah orang-orang kesayangan kita, sahabat dan keluarga, supaya berpegang teguh dengan Al-Quran dan sunnah Rasulullah, sebab hanya kedua itu dapat menyelamatkan kita daripada dibakar hidup-hidup..dalam neraka. Tiada siapa pun yang pernah melihat bagaimana rupa neraka. Yang saya tahu, hanya Rasulullah SAW sahaja yang pernah melihat keadaan neraka..bagaimana rupa sesetengah seksaan di dalamnya..jadi, kenapakah kita tidak mahu mendengar nasihat orang yang pernah melihat kegerunan azab neraka itu? Kenapa susah sangat nak solat? Kenapa liat sangat nak pergi berjemaah di masjid, padahal pahala digandakan 27? Padahal, dosa kecil dipadamkan dan siap Allah SWT gantikan dengan pahala lagi, dengan SETIAP LANGKAH YANG KITA AMBIL UNTUK KE MASJID..? Beruntunglah mereka yang berkaki pendek, macam saya..sebab mereka tentunya memerlukan langkah yang lebih banyak.

Kenapa kita tidak serius dengan wasiat Rasulullah? Pernah tak kamu lihat orang yang sedang sakit? Ataupun yang sedang nazak? Pernah duduk sebelah atuk yang sakit, pernah tak mereka menceritakan bagaimana rasa sakitnya..dan memang tahu diri di ambang kematian?

"Man..atuk rasa dah tak lama dah ni..masa atuk dah nak sampai. Kalau tak hari ni, esok. Kalau tak esok, lusa.."
Begitulah rintihan datuk yang semakin nazak.

Bolehkah kamu bayangkan..rasul utusan Tuhan ketika sedang sakit nazaknya, dia masih ingatkan kepada kita. Kalau kita sakit, kita akan ingat siapa? Bolehkah kita peduli kepada orang lain lagi waktu itu?

Tapi..lain pula insan seorang ini. Dia ingat pada kita, umatnya yang dia langsung tidak mengenali hati budi. Tapi, dia tak peduli, tak kisahlah kita baik atau jahat, kita tetap umatnya. Umat yang lahir selepasnya. Orang yang menggunakan nafas-nafasnya yang terakhir di dunia, untuk berwasiat.."As-Solah..as-Solah (Solat..solat..)" dan akhirnya, "ummati..ummati..(umatku, umatku)"..dan..terbanglah rohnya menghadap Tuhan.

Sayangnya, ya Rasulullah, berapa ramai yang benar-benar mendengar wasiatmu? Berapa ramai yang pegangnya dengan kuat, seperti kuatnya seekor anjing menggigit tali, tidak mahu lepaskan tidak kira apa pun..? Berapa ramai yang memelihara solatnya? Saya tak ada jawapannya, ya Rasul Allah, bahkan saya sendiri tidak termasuk golongan yang engkau mahukan..

Ya benar, Nabi Muhammad SAW, nabi terakhir. Penutup. Full stop. Tapi, untuk baginda menuturkan sabdanya itu (tentang S. `Umar), menunjukkan keperibadian S. `Umar yang tinggi, sehingga diakui sendiri oleh Nabi Muhammad boleh menggantikan nabi yang seterusnya, kalaulah ada nabi lagi, katanya. Seolah-olah S. Umar mempunyai ciri-ciri seorang nabi. Sebab itulah iblis turut gentar padanya. (Agak-agak iblis gentar tak pada kita..?)

Iblis : Beliau juga mampu membezakan antara iman dan kafir sehingga beliau mendapat gelaran `Umar al-Farouk.

Adapun sahabat Tuan Hamba, Sayyidina `Uthman Al-`Affan r.a itu lebih-lebih lagi tidak dapat hamba hampiri kerana lidahnya sentiasa bergerak membaca Al-Quran siang, malam, pagi dan petang. Dialah penghulu segala orang yang sabar dan penghulu segala syuhada dan menjadi menantu Tuan Hamba sebanyak 2 kali. Kerana ketaatannya, beliau dikunjungi para malaikat dengan penuh hormat kerana sangat malunya malaikat pada beliau. Tuan Hamba telah berkata,
"Barangsiapa menulis 'Bismillahir Rahmanir Rahim' pada kitab-kitab atau
kertas-kertas dengan dakwat merah, nescaya mendapat pahala baginya seperti
pahala syahid Sayyidina `Uthman."


Adapun sahabat Tuan Hamba Sayyidina `Ali bin Abi Talib r.a., hamba sangat takut kepadanya kerana kehebatan kelakuannya serta kedahsyatan melihat keperkasaannya di medan peperangan merempuh segala musuhnya. Maka apabila iblis, syaitan dan jin memandang wajah Sayyidina `Ali nescaya terbakar kedua biji mata mereka kerana beliau sangat kuat mengerjakan perintah Tuhan serta beliau adalah julung-julung kanak-kanak yang memeluk Islam serta enggan menundukkan kepala kepada sebarang berhala, sebab itulah beliau digelar `Ali Karimahullahu Wajhah(Dimuliakan wajahnya oleh Allah) dan Harimau Allah. Tuan Hamba pernah bersabda,
"Akulah negeri segala ilmu dan `Ali ialah pintunya." Tambahan pula, beliau
telah menjadi menantu Tuan Hamba, maka terlebihlah ngeri hamba kepadanya..

Contohilah mereka. Terapkanlah acuan-acuan akhlak mereka kepada anak-anak yang lebih muda drpd kita, adik-adik kita, junior-junior kita. Didik mereka..supaya satu hari nanti iblis dan bala tenteranya akan kembali gerun dengan kekuatan umat Islam. Didik mereka supaya muncul kembali singa dan harimau Allah yang akan menghapuskan kebatilan dengan nama Allah. Terapkanlah acuan iman dan takwa supaya tiada lagi dinding antara kita dengan Ilah..maka akan tumbanglah kebatilan..seperti jatuhnya bowling pin dek terkena balingan kemas seorang jaguh. Jaguh Allah!

Posted at 12:30pm

1 comment:

cik grrr said...

"Barangsiapa menulis 'Bismillahir Rahmanir Rahim' pada kitab-kitab atau
kertas-kertas dengan dakwat merah, nescaya mendapat pahala baginya seperti
pahala syahid Sayyidina `Uthman."


Apa maksud nye??!