Thursday, May 14, 2009

Iblis Berdialog dengan Nabi Muhammad SAW - bahagian 1









Thursday, May 14, 2009
Apa pendapat anda? 'Comel' tak gambar-gambar ini?
Beristighfar banyak-banyak dan mintalah perlindungan Ilahi (Astaghfirullah wa na`uzubillah).
Tidak kiralah bagaimana 'comel' imaginasi pelukis tentang paras rupa syaitan, berwaspadalah, mereka tetap MUSUH ANAK ADAM.
Siapa ANAK ADAM ?
Kitalah, cucu-cicit Nabi Adam a.s
Mereka ini banyak kawan-kawan sekelian. Sangat banyak. Entah-entah sama bilangannya dengan jumlah anak Adam Sekarang ini. Boleh anda bayangkan.. betapa ramai bala tentera iblis ini?
Dan mereka ini sangat berbahaya. Bahaya sebab dendam mereka. Mereka tidak akan sekali-kali membiarkan kita hidup aman, selagi kita tidak ikut cara hidup mereka yang melalaikan, menjijikkan itu, selagi kita tak kafir macam mereka, selagi kita tidak ikutkan kata-kata manis mereka, selagi itulah mereka tidak akan MELEPASKAN KITA.
Anda perasan atau tidak, segala pesanan Nabi Muhammad SAW (hadis Baginda) serta banyak perintah Allah (firmanNya di dalam Al-Quran) banyak mengingatkan kita tentang BAHAYA SYAITAN.
Berapa kali anda ketemu "Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata." atau "Dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana mereka itu musuh kamu yang NYATA."
Setidak-tidaknya, anda membaca surah YaSin pada malam Jumaat setiap minggu, bukan? Pasti ketemu firman Allah yang tidak jemu mengulang-ulang benda yang sama ini.
Untuk apa diulang begitu banyak kali peringatan ini? Bukannya Allah tidak mengurniakan manusia dengan akal fikiran, (Maha Suci Allah) Sesungguhnya Dia Amat Berkuasa lagi Maha Mengetahui segala ciptaany-Nya. Janganlah kita sombong sebegini.
Kamu tahu kenapa Allah berkali-kali mengulangi, "Sesungguhnya syaitan itu MUSUH KAMU YANG NYATA." ?
Pertama : Memang syaitan itu seteru manusia pun! Kamu tak perasankah berapa banyak manusia yang bertopengkan syaitan? Merata-rata kat bumi ni! Pembunuh, perogol, pembuang bayi, peragut..
Kedua : Sebab dendam syaitan tak pernah akan padam. Bagaikan api neraka yang tidak akan padam. Kalau malap sikit, Allah SWT akan menjadikan api itu lebih tinggi dan menjulang-julang daripada sebelumnya! Macam tulah dendam kesumat syaitan terhadap manusia!!
Tetapi, tak kira betapa kuat aku menjerit pun, suaraku tak mungkin sampai kepada hati-hati yang gelap itu. Seperti ketika Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim a.s supaya menyeru manusia mengerjakan haji, maka berkatalah Nabi Adam kepada Tuhan, "Wahai Tuhanku, suaraku tidak dapat sampai kepada (hati) mereka." Maka firman Allah SWT, "Sesungguhnya tugasmu hanyalah menyeru dan kamilah yang menyampaikan."
Maka di sini saya berdoa semoga Tuhan membuka kembali tirai hati-hati kita agar kembali mengingatiNya. Agar kita kembali sedar dengan musuh manusia yang nyata ini.
Sesungguhnya musuh manusia hanya satu. Bukan pemimpin yang zalim. Bukan hakim yang tidak adil. Bukan pencuri, perogol. Bukan Israel.
Tetapi : AS-SYAYATIN (syaitan)

Sebab syaitan yang menghasut mereka menjadi begitu. Ditambah pula dengan hati mereka yang sememangnya tidak sukakan perintah Allah SWT.
.
Pernahkah anda terdengar suatu cerita, iaitu kisah Nabi Muhammad SAW berdialog dengan iblis, musuh sekalian anak adam?

Jika belum, marilah kita sama-sama 'mendengar' perbualan yang benar-benar terjadi hampir 1430 tahun yang lalu...

Allah SWT telah menitahkan Malaikat untuk berjumpa Raja Iblis dan menyuruh Raja Iblis menghadap Baginda Junjungan Besar Nabi Muhammad Rasulullah SAW bagi membuka segala rahsia kegemaran dan kebencian Iblis. Peristiwa ini juga membayangkan ketinggian darjat Baginda Rasulullah SAW serta menjadi perisai dan peringatan kepada sekalian umat Baginda SAW.

Malaikat menyatakan titah Allah SWT kepada Iblis :
"Hai Iblis!! Bahawa Allah SWT Yang Maha Mulia lagi Maha Besar telah menitahkan engkau supaya engkau menghadap ke hadhirat Rasulullah SAW dan hendaklah engkau membuka segala rahsiamu dan apa-apa yang disoal oleh Nabi Muhammad SAW. Hendaklah engkau menjawab dengan benar dan sekiranya engkau berdusta walau satu perkataan sekalipun nescaya diputuskan segala anggotamu dan uratmu serta engkau akan diseksa dengan azab yang amat keras."
Mendengar sahaja perkataan Malaikat berkenaan, Iblis berasa dahsyat dan amat gerun sekali.

Dengan segera Iblis datang menghadap Baginda Rasulullah SAW dengan menyamar menjadi seorang tua yang buta sebelah matanya serta berjanggut putih sebanyak 10 helai yang panjangnya seperti ekor lembu.

Iblis memberikan salam dengan penuh hormat dan takzim sebanyak 3 kali yang tiada dijawab oleh Rasulullah SAW.

Iblis pun bertanya :

"Ya Rasulullah! Mengapakah tuan hamba tidak menjawab akan salam hamba kerana bukankah salam itu sangat mulia di sisi Allah SWT?"

Maka sabda baginda Rasulullah SAW :

"Hai aduwullah musuh Tuhan! Kepada akukah engkau menunjukkan helahmu? Patutkahengkau dengan urusanmu itu hendak menipu aku sebagaimana engkau menipu Nabi Allah Adam a.s sehingga terkeluar dari syurga dan Habil mati teraniaya dibunuh oleh Qabil dengan sebab hasutan engkau serta Nabi Allah Ayub a.s engkau tiup asap racun semasa Baginda sujud di dalam solatnya hingga begitu lama Baginda menanggung sengsara oleh perbuatan engkau. Dan Nabi Allah Daud a.s dengan perempuan pahlawan Urya dan Nabi Allah Sulaiman a.s meninggalkan kerajaannya kerana engkau menyamar sebagai isterinya untuk melarikan cincin Baginda; demikian juga beberapa Anbiya a.s.w.s serta para ulama yang telah menanggung kesengsaraan dan pengkhianatan oleh perbuatanmu yang khianat."

"Hai Iblis! Sebenarnya salam itu sangant mulia di sisi Tuhan Azza Wajalla. Hanya salam engkau sahaja aku tidak ingin menjawabnya kerana telah diharamkan oleh Tuhan dan engkau ini terlaknat serta telah ditentukan kepada engkau ke dalam neraka yang amat keras bagi menyiksa dirimu. Maka aku kenal sangat bahawa engkaulah Iblis yang menjadi raja segala syaitan telah datang dalam bentuk penyamaran. Apakah tujuan engkau datang menghadapku ini?"
Maka sembah Iblis,

"Ya Nabi Allah, janganlah Tuan Hamba murka. Demi sesungguhnya, Tuan Hambalah Nabi terakhir lagi mulia dan kekasih Allah SWT maka dapatlah Tuan Hamba mengenali hamba. Ya Nabi Allah! Tujuan kedatangan hamba ke mari adalah dengan izin Tuhan Azza Wajalla. Allah SWT telah mengutuskan MalaikatNya dengan titah supaya hamba datang menghadap ke hadhirat tuan hamba. Ini supaya Tuan Hamba dapat bertanyakan apa juga persoalan mengenai umat Tuan Hamba. Hamba sedia mengkhabarkan secara terus terang mengenai tipu daya hamba di atas sekalian manusia bermula dari zaman Nabi Allah Adam a.s sehinggalah ke zaman yang akan datang selepas zaman Tuan Hamba. Mereka yang hamba goda kepada beberapa banyak simpang dan jalan yang sesat supaya mereka binasa dengan tipu daya hamba yang amat halus."

"Ya Nabi Allah! Setiap pertanyaan Tuan Hamba akan hamba jawab satu persatu dengan sebenar-benarnya tanpa sembunyi."

Kemudian raja Iblis pun bersumpah dengan nama Tuhan dan berkata :

"Ya Nabi Allah! Sekiranya hamba berdusta barang sepatah kata sekalipun, nescaya hancur leburlah diri hamba terbakar menjadi abu!"

Mendengarkan pengakuan raja Iblis dan sumpahnya, maka Rasulullah SAW berasa amat sukacita dan merasakan inilah peluang keemasan untuk menyiasat segala perbuatan raja Iblis dengan disaksikan oleh sekalian sahabat yang hadir di majlis berkenaan. Ianya juga akan dijadikan senjata atau perisai kepada sekalian umat hingga kemudian hari.

DIALOG

Rasulullah SAW : Wahai Iblis! Siapakah yang sebesar-besar seteru engkau dan apakah pandanganmu terhadap aku ini?

Iblis : Ya Nabi Allah, Tuan Hambalah musuh hamba yang paling besar dari segala seteru hamba di muka bumi ini.

Maka Rasulullah SAW merenung wajah Iblis hingga membuatkan Iblis menggeletar segenap tubuh badan dan anggotanya disebabkan terlalu gerun akan kebesaran Baginda.

Iblis : Ya Nabi Allah! Hamba mampu menyamar sebagai sesiapa juga termasuk haiwan bersekali dengan suara-suara yang tepat. Hamba ditegah Tuhan Azza Wajalla untuk menyamar sebagai Tuan Hamba kerana jika hamba melakukan yang demikian, nescaya terbakarlah hamba menjadi abu!

Hamba bersungguh-sungguh merentap iktikad anak Adam supaya menjadi kafir ialah kerana Tuan Hamba bersungguh-sungguh menasihatkan mereka dengan memberikan pedoman kepada seluruh manusia supaya berpegang teguh dengan Islam. Begitulah juga kesungguhan hamba menarik mereka kepada kafir, murtad dan munafik. Hamba tarik sekalian umat Islam supaya meninggalkan jalan yang lurus dan beralih kepada jalan yang sesat. Hamba berharap mereka akan masuk ke neraka bersama-sama dengan hamba serta kekal di dalamnya buat selama-lamanya.

Rasulullah SAW : Hai Iblis! Bagaimanakah perbuatanmu kepada makhluk Allah SWT?

Iblis : Ya Nabi Allah! Hamba goda perempuan-perempuan supaya merenggangkan kedua pahanya kepada lelaki yang bukan suaminya dan sesetengahnya hingga menghasilkan benih yang bersalah-salahan sifatnya.

Hamba goda segala manusia supaya meninggalkan solat dan leka dengan makan minum dan berbuat kemungkaran.

Sesetengahnya hamba lalaikan dengan harta bendanya daripada emas, perak, rumah dan ladang dan hasilnya dibelanjakan ke atas segala pekerjaan yang haram. Telah banyak kaum lelaki dan perempuan yang terpesong imannya menerusi tentera jin, iblis dan syaitan yang hamba perintahkan supaya menarik mereka ke jalan kemungkaran.

Kalau terdapat sesuatu pesta yang melibatkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan, maka hamba akan menggoda dengan bersungguh-sungguh supaya mereka kehilangan maruah, meminum arak dan mempengaruhi rakannya dengan cara paksaan supaya meminum arak sehingga hilang akal dan hilang rasa malu mereka.

Lalu hamba hulurkan tali percintaan yang asyik sehingga terbuka beberapa pintu maksiat yang besar supaya mereka berhasad dengki sehingga melakukan perzinaan.

Apabila lelaki dan perempuan berkasih-kasihan, maka terpaksalah mereka mencari wang menerusi tipu daya serta mencuri.

Sekiranya mereka menyedari kesalahan masing-masing dan ingin bertaubat atau beramal ibadat, hamba akan halang mereka sehingga mereka bertangguh dan bertempoh dalam berbuat kebajikan.

Hamba juga akan menggoda dengan lebih kuat supaya melazimkan maksiat dan menyukai isteri orang.

Maka telah ramai umat Tuan Hamba telah hamba sesatkan dengan jalan ini dengan bantuan jin, syaitan dan iblis di mana hamba menyuruh mereka menghasut seluruh anggota manusia hingga ke dalam tubuh badannya.

Apabila mereka digoda pada hati, maka mereka akan sentiasa riak dan takbur, `ujub serta melengah-lengahkan amalnya dan berlaku sombong.
Apabila mereka digoda pada lidah, maka sentiasalah mereka gemar berdusta, mencela dan mengumpat satu sama lain.

Demikianlah hamba menghasut mereka semasa siang, malam, pagi dan petang...

Petikan buku Rahsia untuk Umat Islam, E Noble Marketing, Ogos 2007, susunan Nazri bin Zakaria.

Posted at 8:45pm.

No comments: