Mari kita terus bersama-sama mengenali dan membongkarkan rahsia Iblis terhadap umat Islam, bersama Rasulullah SAW.
Sebelum itu, saya ingin memberi sedikit peringatan kepada mereka yang ada penyakit lemah jantung, supaya membaca perlahan-lahan, atau lebih baik meminta orang lain membacakan permulaan dialog pada kali ini. Saya khuatir anda tidak dapat nak..menerima hakikat perbuatan Iblis yang dibongkarkan pada kali ini. (Sebab kali pertama saya membaca bahagian ini, saya juga rasa seperti nak tercabut jantung dari badan..apabila dibaca berulang kali juga, masih terasa perasaan yang sama..walaupun sudah boleh dikawal sedikit..) Sebenarnya saya tidak tahu macam mana nak tulis permulaan dialog kali ini, sebab saya mestilah terlebih dahulu membacanya. Dah menggigil-gigil dah ni. Tapi, tidak mengapa! Demi anda semua, saya gagahkan jua! (Berlagaknya..)
Rasulullah SAW : Hai Iblis! Siapakah yang benar-benar menjadi kegemaranmu?
Siapa pula yang Iblis paling suka?
Iblis : Iaitu apabila lelaki dan perempuan tidak mencukur atau mencabut atau menggunting bulu di ari-arinya (kemaluannya) selama 40 hari, maka hamba akan tinggal mengecilkan diri seperti pepijat bersarang di situ, begitu juga, menjadi tempat hamba bergantung dan berbuai pada bulu ketiak orang yang tidak mencukur atau mencabutnya..
(Menggigil) Tidakkah kamu ge..geli mendengarnya? Memang tidak dinafikan lagi, Iblis dan syaitan ialah puak yang pengotor! Ada ke patut dia..main..buai-buai kat bulu ketiak manusia? (Buai laju-laju sampai pokok sena..) Geli, geli! Tapi, salah kita juga. Siapa suruh simpan bulu panjang-panjang? Siapa yang pengotor, syaitanlah sahabatnya..eeii..
Rasulullah SAW : Hai Iblis! Siapakah saudaramu?
Iblis : Iaitu orang yang tidur meniarap atau tidur (nyenyak) di waktu subuh, maka dia masih tidur dan tidak segera solat subuh, maka hamba akan mengulitnya sehingga dia lena sehingga terbit matahari dan begitu juga pada waktu zohor, `asar dan maghrib, hamba akan beratkan hatinya sehingga menjadi malas mengerjakan solat.
(Apabila hendak tidur bacalah, "bismillahir rahmanir rahim" sebanyak 21 kali)-Ini pedoman daripada buku yang sama, tetapi jika anda berasa keberatan untuk membacanya, kerana merasakan terlalu panjang, pada hemat saya, cukuplah sekiranya anda membaca doa sebelum tidur yang anda ketahui, walaupun anda mahu tidur siang sebentar. Mohonlah kepada Allah SWT supaya dijauhkan daripada gangguan syaitan, supaya kita akan terjaga apabila masuk waktu solat yang seterusnya.
Rasulullah SAW : Hai Iblis! Dengan jalan manakah yang boleh membinasakanmu?
Iblis : Orang yang banyak menyebut nama Allah dan banyak memberikan sedekah dengan tidak diketahui orang, memperbanyakkan taubat, memperbanyakkan tadarus Al-Quran serta solat di waktu malam.
Rasulullah SAW : Hai Iblis! Apakah pula yang memecahkan penglihatan engkau?
Iblis : Orang yang banyak beriktikaf di masjid kerana Allah, serta beriktikaf di dalamnya.
Lafaz niat iktikaf
Nawaitul `itikafa fi hazal masjidi sunnatal lillahi ta`ala. (Sahaja aku
iktikaf di dalm masjid ini sunat kerana Allah Taala.)
Rasulullah SAW : Hai Iblis! Apakah lagi yang memecahkan penglihatan engkau?
Iblis : Orang yang taat kepada ibu bapanya serta membantu menjaga makan dan minum serta pakaian mereka kerana Tuan Hamba telah bersabda, "Bermula syurga itu adalah di bawah (tapak) kaki ibu bapa".
Rasulullah SAW : Hai Iblis! Apakah pula yang merantai engkau?
Iblis : Penjual yang betul timbangan dan sukatannya, ukuran dan tukarannya.
Rasulullah SAW : Hai Iblis! Apabila umatku memberi salam antara satu dengan yang lain, bagaimanakah keadaanmu?
Iblis : Apabila dua orang (muslim) bertemu di tengah jalan, lantas memberikan salam (Assalamu `alaikum warahmatullahi wabarakatuh), dan dijawab oleh saudaranya, maka terasa seperti pecah dada hamba, maka hamba pun meratap kerana kedua-duanya telah diampunkan (dua muslim tadi) apabila berpisah keduanya.
Kenapa seseorang menangis? Yang pastinya bukan kerana saja-saja atau suka-suka. Melainkan orang itu gila atau tidak waras akalnya. Iblis meratap kerana kita, anak Adam yang beragama Islam diampunkan dosa oleh Allah SWT apabila memberi dan menjawab salam.
Sekejap. Kenapa pula hendak meratap tentang perkara yang baik seperti itu? Jawapannya cuma satu, iaitu Iblis tidak suka kita diampunkan dosa. Dia dan segala yang bersekutu dengannya mahukan manusia melakukan banyak dosa, supaya kita turut masuk ke dalam neraka, bersama-sama dengan mereka.
Baiklah rakan-rakan, perhatikan dan ambillah pengajaran, bahawasanya inilah satu contoh dendam kesumat yang tiada tandingan, tiada bandingan di dunia ini. Iblis tidak ingin melepaskan kita, sangat benci dan dendam kepada kita, sehinggakan tindakannya meratapi pengampunan dosa itu (seperti di dalam perbualan) seolah-olah menggambarkan, "Kalau aku tidak dapat menikmati syurga, maka kamu hai anak Adam, jangan harap dapat masuk syurga!" Ini ialah pandangan saya.
Sedangkan Nabi Muhammad SAW tidak sukakan sikap berdendam, baginda lebih banyak mengutamakan sikap pemaaf daripada segala-galanya. Pernah saya terbaca di dalam buku "Cerita-cerita Peperangan di Zaman Rasulullah SAW", karangan Syed Semait, diterbitkan di Singapura, yang menceritakan pelbagai kisah perang yang dialami oleh baginda rasul. Diceritakan di dalam Perang Uhud, di mana tentera muslimin mengalami kekalahan dan mayat-mayat tentera Islam yang tumpas di medan perang diperlakukan dengan sebegitu kejam oleh tentera musyrikin. Tentu anda tahu tentang peristiwa Sayyidina Hamzah r.a, bapa saudara nabi sendiri, yang diburaikan segala isi perutnya ke tanah, malah hatinya(jantungnya pada hemat saya) turut digigit oleh Hindun. Bukan beliau sahaja, malah ramai lagi tentera Islam yang diperlakukan dengan kejam, dipotong-potong anggota badan mereka, padahal mereka telah menjadi mayat. Di dalam buku tersebut, diceritakan lagi bahawa Rasulullah SAW sangat sedih dan pilu dengan kejadian yang menimpa tentera Islam itu, sehinggakan baginda mahu membalas dendam pada peperangan yang akan datang. Tetapi, Allah SWT menenangkan baginda dan melarangnya daripada berbuat demikian serta Allah menyuruh baginda memaafkan kekejaman musyrikin itu. Maka Nabi menuruti perintah Allah SWT lalu dimaafkan kesemuanya.
Apabila kisah-kisah ditulis dan dibukukan, kebanyakannya telah diringkaskan, demi beberapa sebab. Mungkin penulis tidak mahu terlalu memanjangkan cerita, atau tidak mahu pembaca terlalu menumpukan perhatian kepada kisah tertentu, kerana bukan itu matlamat utama buku tersebut. Mungkin juga untuk mengelakkan buku menjadi terlalu tebal, nanti tiada pula yang sanggup membacanya. Hakikatnya, cerita di dalam buku tidak dapat memberi gambaran yang sebenar tentang kisah yang diceritakan. Sekadar bergantung kepada ilmu dan kepintaran pengarang untuk menggambarkannya dengan sebaik mungkin. Mana mungkin kita memahami perasaan kehilangan ahli keluarga di medan perang. Tambahan pula, terpaksa melihat jenazah mereka dipermain-mainkan. Rasa cukup terhina, terluka, pilu. Betapa besarnya sifat pemaaf baginda, walaupun baginda berasa amat marah, namun tetap baginda maafkan, kerana mengikut perintah Tuhan. Allah lebih mnegetahui yang terbaik untuk hamba-hambanya. Dan ternyata, sehingga kini, ramai yang mengagumi sikap pemaaf Rasulullah, sehingga menjadi teladan yang berguna buat manusia. Mungkin itulah hikmahnya Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW memaafkan perbuatan jahat kaum musyrikin ketika itu.
Rasulullah SAW : Hai Iblis! Siapakah pula sahabat karibmu?
Iblis : Orang yang minum arak atau tuak atau (ketagih) candu atau ganja (termasuk penyalahgunaan dadah) kerana bahayanya telah nyata menyebabkan perpecahan, perkelahian dan penceraian.
Rasulullah SAW : Hai Iblis! Siapakah yang bersekutu dan bersekedudukan dengan engkau?
iblis : Apabila bertemu lelaki dengan perempuan-perempuan muda, maka hamba duduk pada leher perempuan-perempuan muda itu, hamba hiaskan wajahnya dengan jelingan dan senyuman yang menarik hati serta apabila lelaki terpandang belakang perempuan itu, maka terpandanglah lehernya yang halus dengan pinggang dan punggungnya melenggang yang membangkitkan nafsunya (si lelaki).
Manakala jika terpandang hadapannya (hadapan si perempuan), hamba hiaskan dadanya supaya bergetaran serta hamba panah tepat pada jantung hati keduanya, atau salah satu (antara lelaki dan perempuan) sehingga tergerak syahwatnya.
Orang yang tiada memelihara hatinya, nescaya tidak terpelihara farajnya, dan apabila tidak memelihara farajnya, maka tidak terpeliharalah imannya...
Posted at 11.46pm