Thursday, April 16, 2009

KESUSAHAN BUKAN PENGHALANG

Akhirnya aku berpeluang melihatnya dengan mataku sendiri.

Akhirnya aku berpeluang melhatnya dari jarak yang sungguh dekat.

Aku dan dia hanya berjarak lebih kurang 1 meter. Begitu dekat sekali.

Aku dan adik Nik Nur Madihah.

Tak percaya?

Kenapa pulak tak percaya?



Aku tengok dia dan dia menatapku kembali. Yang berbeza hanyalah aku sedar dia melihatku tetapi dia tidak sedar aku sedang menonton dia.



Ya. Aku menontonnya di MHI pagi tadi.(kih3x…kene tipu..)

Tak sampai pun satu jam tadi aku melihatnya di kaca televisyen. Dia dan ayahnya yang tercinta, Encik Nik Mohd Kamal Husni bersama hos yang tidak asing lagi, Ahmad Fitri( ke Fikri..) dan seorang lagi hos yang aku tak begitu kenal. Turut serta ialah Encik Mohd Faizal, seorang lelaki misteri…

Wah, misterinya..siapa lelaki itu? Apakah hubungannya dengan adik cilik kita dari Kelantan itu? Jangan-jangan..lelaki tu…

a. ‘stalker’
b. pak cik dia
c. sepupu dia
d. tunang..??



Jeng..jeng jeng!

Semuanya pun bukan..(kukuku)

Sebenarnya lelaki itu seorang penulis. Dia dah pun siap menulis sebuah buku bertajuk, “Catatan Hati Nik Nur Madihah : Kesusahan Bukan Penghalang”. Terbitan PTS.


Jadi, pagi tadi adik Nik Nur Madihah dijemput ke Sri Pentas untuk ditemu ramah.

Berjubah hijau tua, ‘matching’ dengan tudung labuh hijau muda ‘apple’, itulah kali pertama aku dapat menatap sepuas-puasnya gadis berusia 17 tahun itu.

Aku mengaguminya.

Nik Nur Madihah bersama ayah dan ibu tercinta
Sinar bahagia jelas terpancar
Bukan sahaja kerana keputusan SPM yang begitu cemerlang, sehingga dinobatkan yang terbaik di bumi Malaysia ini bagi sesi 2008. Sesungguhnya 20A..itu satu nombor yang cukup besar. Dan pastinya cukup bermakna buat Encik Nik Mohd Kamal dan isterinya.

Anak sulung itu..kamu tahukah betapa besar pengorabanannya..betapa perit kesusahan mereka sekeluarga..

Sambil menikmati sarapan pagi Kellogs Frosties, perkataan yang kerap kali kedengaran di tengah-tengah perbualan mereka ialah ‘kesusahan’.

Tiba-tiba suapanku jadi semakin perlahan. Lalu terhenti. Aku terfikirkan kehidupan keluarga seperti keluarga adik pintar itu. Apakah pernah mereka menjamah sarapan pagi yang begitu lazat seperti yang aku makan sekarang ini?

Apakah yang menjadi rezeki mereka setiap hari?

Tiba-tiba sahaja perutku sudah kenyang..Kemudian telingaku menangkap kembali perbualan di MHI..

“Jadi, macam mana adik Nik Nur Madihah boleh menempuh kesusahan hidup dengan berpuasa dan sebagainya. Adakah dirasakan beban apabila terpaksa berpuasa demi menahan lapar dan dahaga? (Lebih kurang mcm ni kot..)

Jawab adik Madihah,


“ Sebenarnya berpuasa bukanlah suatu bebanan. Saya berpuasa kerana puasa itu
sendiri. Sebab puasa itu amalan sunat.”



“Dalam buku ni yang saya sempat baca sedikit tadi, saya mendapati yang adik Nik Nur Madihah banyak berdoa dan berserah pada Tuhan. Jadi, boleh kongsikan sedikit doa-doa yang diamalkan?”

Dijawab kembali,


“ Sebenarnya apabila berdoa ni, satu benda saja yang paling penting. Iaitu hati.
Apabila berdoa hati juga mestilah hadir bersama, supaya kita hayati doa itu.
Apabila saya berdoa, saya akan luahkan segala masalah saya kepada Allah SWT. Doa bukan maksudnya dalam bahasa Melayu atau bahasa Arab, tapi yang penting ialah kehadiran hati.”



Begitulah sedikit potongan drpd perbualan mereka. Namun, apa yang paling menyentuh hatiku ialah ucapan akhir daripada bapanya, Encik Nik Mohd Kamal sendiri, apabila diminta untuk memberikan apa-apa petua kepada para ibu dan bapa di Malaysia ini.
(Diam seketika) “ Saya ni bukanlah orang yang banyak ilmu ke apa..tapi satu sahaja yang menjadi prinsip saya ialah cari rezeki yang halal dan jauhi yang syubhah. Takpe, biarlah rezeki itu sedikit asalkan halal, daripada banyak tetapi syubhah.”

Semoga rezeki yang baik sentiasa bersama Encik Nik Mohd Kamal sekeluarga.

Cak! Eh, sori2.Teruskan belajar..!

Nik Nur Madihah turut menyatakan cita-citanya untuk menjadi seorang “Islamist Physician”. Katanya dia meminati subjek Fizik, tambahan pula tidak ramai yang sanggup terjun ke bidang ini, jadi dia mengambil keputusan untuk mendalami ilmu fizik di Jordan. Tetapi institusi pilihannya masih belum ditetapkan.

Hmm..itulah kisah seorang kakak sulung dari keluarga nelayan, yang tinggal di sebuah rumah usang dengan membayar sewa RM90 sebulan.

Ketika ditanya pernahkah dia menangis lantaran kesusahan hidup, dia dengan tenang dan ringkas menjawab,



“Menangis tu memang banyak kali. Bila tengok orang lain senang pergi sekolah, kita pulak susah nak pegi sekolah. Tapi saya selalu ingat pada keluarga saya. Saya sedar tanggungjawab sebagai anak sulung memang sangat besar dan memang mak dan ayah meletakkan harapan yang tinggi pada saya. Kalau saya rasa sedih dan susah, saya ‘motivate’kan diri sendiri supaya terus belajar dan berjaya dalam peperiksaan. Saya percaya kalau berjaya dalam peperiksaan saya tahu saya akan mampu membawa keluarga keluar dari kepompong kemiskinan.”



Keluarga. Kesusahan. Kemiskinan. Itu sememangnya bukanlah tembok penghalang, bahkan motivasi yang cukup kuat buat anak kelahiran Kelantan itu.

Tahniah, adik Nik Nur Madihah. Semoga berjaya dalam apa jua yang diusahakan.

Terbanglah ke Jordan dengan doa ibu, ayah dan seluruh warga Malaysia, dan pulanglah semula ke pangkuan tanah air dengan membawa seribu kebanggaan buat kami.

Kami menanti.

No comments: