Thursday, April 30, 2009

Atas Nama Industri

Apakah maksud industri? Industri bermaksud perusahaan, biasanya secara besar-besaran, untuk membuat , menghasilkan atau mengeluarkan barangan.( Kamus Dewan Edisi Ketiga, m/s 490)

Pada zaman sekarang, perkataan “industri” merajai dunia. Lebih daripada itu, ia merupakan titik ukur kemajuan sesebuah negara.

Lihat sahajalah, berapa banyak kategori industri yang sudah lama bertapak beserta kemunculan industri-industri baru, bagaikan cemdawan tumbuh selepas hujan. Industri perikanan, industri asas tani, industri barangan kosmetik, industri pembalakan, industri desa, industri perbankan. Industri, industri, industri. Hai, pendek kata, semua aktiviti hendak dilabel “perindustrian”.

Malang sekali, abad ke - 21 telah menyaksikan tumbuhnya aktiviti salah laku atau lebih spesifik lagi, maksiat dengan begitu berleluasa, juga atas nama industri.

Anda tahu apa yang saya maksudkan?

Itulah industri seni tanah air.

Sejak seminggu yang lalu, setiap kali ada segmen iklan di televisyen, sudah menjadi kewajipan iklan AIM 16 terpampang di skrin. Malah, saya sudah dapat mengagak, selang satu iklan, pasti selepas itu iklan AIM ke-16 akan menyusul. Terutamanya di ntv7. Sampaikan muzik tema iklan itu pun dah terngiang-ngiang dalam kepala saya.

Apa yang paling menyedihkan hati ialah anugerah-anugerah sedemikian akan lebih menggalakkan pertumbuhan “industri” tersebut.

Saya amat suka sekiranya diadakan majlis-majlis penganugerahan kepada individu-individu tertentu, bagi meraikan pencapaian dan sumbangan mereka dalam bidang yang diceburi. Majlis anugerah cemerlang di sekolah-sekolah, sambutan Hari Guru dan Hari Pekerja yang diadakan setiap tahun adalah antara contoh-contoh majlis-majlis anugerah yang positif.

Masakan tidak, kita meraikan para pelajar yang cemerlang di dalam pelajaran dan menghargai para pendidik serta kakitangan awam yang bertungkus-lumus dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing. Hasilnya, tentulah kalau bukan semua, tetapi sekurang-kurangnya segolongan daripada mereka akan lebih bersemangat untuk terus menjalankan tugas masing-masing, sama ada belajar, mengajar atau mentadbir urusan-urusan am.

Sangat berbeza dengan AIM atau anugerah yang seumpama dengannya. Bukanlah bermaksud untuk menghentam habis-habisan majlis sebegini, tetapi sememangnya industri tersebut tidak perlu wujud ‘in the first place’!

Perlukah kita kepada “indusri-industri” sebegini? “Industri” yang menggalakkan pendedahan aurat, terutamanya aurat wanita, juga mempromosikan suara mereka yang sepatutnya ialah aurat. Bahkan, kini majlis-majlis berprestij itu dijadikan medan bagi pereka-pereka fesyen untuk mempromosikan rekaan-rekaan mereka di atas ‘karpet merah’. Suatu lagi industri yang tidak perlu tetapi malangnya semakin diminati dek dorongan yang diberikan secara tidak langsung.

Selepas ini apa pula? Adakah majlis-majlis anugerah industri seni tanah air akan membuka suatu bidang baru, misalnya menjadi medan ‘pertempuran’ penggunting-penggunting rambut profesional pula? Inilah ‘cendawan-cendawan’ yang tumbuh selepas hujan.

Rakyat Malaysia selalu bersuara mahukan kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran supaya ditukar kembali medium pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik kepada bahasa ibunda, iaitu bahasa Malaysia. Mereka mahukan supaya bahasa Malaysia dimartabatkan kembali di tanah air sendiri. Kita mesti mempunyai identiti sendiri, kata rakyat Malaysia.

Soalnya, mengapakah mesti mereka atau sebenarnya kita berdebat tentang isu-isu sebegini sedangkan gaya hidup masyarakat kini sangat cenderung ke arah barat?

Soal bukti, tidak perlulah diungkitkan lagi, sebab majlis-majlis yang dilabelkan ‘berprestij’ inilah merupakan antara bukti yang jelas rakyat Malaysia, terutamanya yang mengaku beragama Islam, sememangnya tidak sayangkan identiti sendiri. Majlis yang dikaitkan dengan “glam”/’glamorous’ dan ‘red carpet’ bukankah asalnya dari Barat?

Buat pengetahuan umum, sekarang ada satu rancangan realiti bernama “Worldstar Search” (kalau tidak silap) yang mencari model dan artis untuk diberikan peluang untuk ke Hollywood. Memang ramai yang menyertai rancangan tersebut di mana mereka akan diadili oleh beberapa orang juri di atas kriteria-kriteria tertentu sebelum mereka akan mara ke peringkat terakhir. Di penghujungnya, mereka yang ‘bertuah’ akan dapat pergi ke Hollywood. Sebenarnya, saya kurang pasti apakah motif rancangan ini. Apa-apa pun, para artis dan model yang saya tonton di kaca tv semalam kelihatan teruja kerana terpilih ke peringkat akhir. Teruja kerana dapat peluang untuk bertemu bintang pujaan mereka di Hollywood…

Jadi, kalau budaya sendiri tidak diangkat, buat apalah hendak berdebat isu-isu yang relatifnya kecil (seperti PPSMI) jika dibandingkan dengan isu kemerosotan akhlak ini.

Anehnya, kalau orang kata “kemerosotan akhlak” ataupun “peningkatan gejala sosial” semua orang akan marah. Tapi, apabila BENDA YANG SAMA tetapi kita cuma ‘rebranding’ sikit kepada AIM, Worldstar Search, OIAM dan lain-lain ‘brand’, diam seribu bahasa..

Inilah realiti negara Islam Malaysia..atas nama agama melalak tapi tidak bertindak, atas nama industri bisu dan dibiarkan, agaknya bunyi cengkerik di pagi hari pun lagi kuat.

1 comment:

yusrina said...

cik timi, buh la shoutmix balik.
ko kna masukkan gadget2 tu suma balik.
btw, nice templet.
cik timi dh berjya ubah.
yeyeyeye